Suami isteri perlu membuat sistem giliran balik ke kampung demi untuk mengelakkan berlakunya bermasam muka. Justeru itulah yang diamalkan oleh penyanyi Haiza.
Tahun ini merupakan giliran untuk Haiza dan suaminya, Norhanapfe Omar balik ke kampung Haiza yang terletak di Benut Pontian, Johor.
“Sejak berkahwin suami seorang yang sangat memahami dan bijak mengatur masa serta pandai menjaga hati. Sebab itulah wujudnya sistem giliran.
“Untuk lebaran tahun ini giliran saya pula, raya kedua dan ketiga di rumah mak mertua kemudian saya kembali bertugas untuk memenuhi undangan persembahan majlis rumah terbuka,” katanya kepada Sinar Harian.
Sungguhpun dapat pulang beraya ke desa tercinta, bagaimanapun kata Haiza masih ada lagi impiannya yang belum tercapai setiap kali menyambut musim perayaan.
“Dalam kita asyik bergembira di hari raya ini saya juga mengimpikan satu keluarga dapat berkumpul tetapi perkara itu sukar saya nak dapat lagi.
“Ini kerana abang saya ada di Perak. Manakala kakak pula di Kelantan. Kalaulah dapat berkumpul seperti dahulu dalam sehari pun jadilah, insya-ALLAH saya harap impian saya ini akan tercapai satu hari nanti pasti,” jelasnya mengakhiri perbualan.