Penyanyi dan ahli perniagaan, Mila Jirin, 31, tetap meneruskan hasrat untuk berdialog secara terbuka dengan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berhubung isu pengambilan tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran, kedai makan dan gerai di negara ini.
Menurut Mila, maklum balas diterima daripada pengusaha restoran berminat menyertai sesi perjumpaan dan dialog bersama menteri itu sangat positif setakat ini.
"Sejak luahan perasaan terhadap isu tukang masak dan hasrat berjumpa dan dialog bersama menteri disiarkan Metro Ahad, semalam, maklum balas diterima daripada pengusaha restoran lain memberangsangkan.
"Alhamdulilah, ada pengusaha menghantar e-mel tetapi kebanyakan mereka memilih untuk 'DM' saya dan suami di platform Instagram (IG) kami sebagai tanda sokongan.
"Saya dan suami kini berusaha mendapatkan kerjasama Persatuan Pengusaha Tomyam di negara ini untuk turut serta dan membantu menyalurkan maklumat kepada kerajaan agar lebih efektif.
"Justeru, saya sangat berharap dapat berjumpa dan bercakap sendiri dengan menteri kerana yakin memang banyak pengusaha restoran tempatan bakal terkesan dengan tindakan itu jika terus dilaksanakan," katanya.
Mila atau Norsyarmilla Jirin kini sabar menunggu maklum balas dan jawapan daripada pihak Kementerian Sumber Manusia berhubung hasratnya seperti diluahkan semalam.
"Terus-terang, saya dan suami sangat risau keadaan itu kerana kami bukan fikir perniagaan sendiri saja tetapi tempias turut terkesan kepada pengusaha restoran lain.
"Jadi, saya nekad ambil tindakan lebih proaktif untuk adakan dialog ini. Biar menteri dengar sendiri keluhan pengusaha dari bawah.
"Pada saya, mungkin sebelum ini beliau (menteri) hanya berjumpa dengan satu pihak sahaja dan tidak tahu masalah sebenar dihadapi kebanyakan pengusaha restoran tempatan," katanya.
Mila turut bersedia menaja lokasi dialog berkata dia berharap segala urusan pertemuan bersama menteri itu dapat dibuat segera sekitar awal bulan depan.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.
Menterinya, Kulasegaran berkata, bagaimanapun semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan saja bekerja di restoran mereka dan peraturan baru itu akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2019.
Langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.
Beliau berkata, tindakan kementeriannya itu selari dengan langkah diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.