Nuansa sesi fotografi Aidilfitri bersama Kugiran Masdo berjalan lancar dengan temu bual kebanyakan masa ditemani dengan gelak tawa yang memecah keadaan masing-masing penat berpuasa sewaktu dua proses itu berlangsung.
Sebagai mukadimah perbualan, pemilik nama sebenar, Aliff Fahmi Bahtiar bercerita tentang perihal dan pengalaman hari raya dirinya. Ali selaku vokalis band yang sedang hangat dengan lagu Bercanda Di Malam Indah itu berkata, dia pulang beraya di Johor Bahru.
Ali dan Rafflesia
Lucu dan pelik, apabila bercerita tentang juadah istimewa, Ali menyebut satu juadah yang dikaitkan dengan bunga Rafflesia.
“Malam raya semua keluarga dan saudara-mara berkumpul di rumah nenek di Taman Daya. Hari terakhir Ramadan memang semua akan berbuka bersama. Kira-kira 50 orang jadi memang meriah suasana di rumah nenek.
“Malam raya semua bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan mengemas rumah. Kalau tentang juadah, kebiasaannya ketupat yang biasa kita makan jenis menggunakan daun kelapa. Kalau tradisi keluarga saya, menggunakan bunga Rafflesia,” kata Ali penuh yakin.
Sejurus Ali selesai melontarkan ayatnya itu, ia disapa ejekan bersemi hela tawa tiga rakannya yang lain, Ceri, Am dan Mawi termasuk juru gambar yang membidik ‘kerenah’ mereka tempoh hari, Jeffri Iran. Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Ali bukan bunga Rafflesia tetapi ketupat periuk kera yang tidaklah begitu asing dijadikan juadah lazim pada Aidilfitri.
Sambil diekori tawa suara terkekeh-kekeh teman lain, Ali menjawab: “Sebenarnya, saya sengaja buat lawak. Saya tahu ketupat itu bukan dimasak bersama bunga Rafflesia tetapi periuk kera. Sengaja saya ingin tekan sedikit humor pada perbualan ini.”
Melanjutkan perbualan, Ali bercerita mengenai pengalamannya beraya ketika kecil. Ceritanya, ibunya dulu berniaga di bazar Ramadan dan dia suka membantu ibunya berniaga namun dengan sedikit kenakalan.
“Saya akan jadi runner membawa kuih-muih ke tempat berniaga. Dalam perjalanan ke tempat berniaga, saya akan merasmikan beberapa biji kuih sebelum sampat ke tempat ibu berniaga kerana tidak tahan berjalan kaki ke sana.
“Saya tidak suka sangat beraya ketika kecil. Apa yang penting buat saya dari kecil sampai sekarang, adalah kemaafan sesama manusia terutama daripada ibu bapa dan adik-beradik,” ujar Ali sambil diperli tiga rakannya dan diketawakan seperti akrabnya hubungan adik-beradik.
Ceri bersama mertua
Beralih kepada ceritera raya si pemain bes, Ceri, lelaki kelahiran Ipoh, Perak itu buat pertama kalinya akan menyambut Aidilfitri bersama isteri tersayang, Nadia Fareha dan putera sulung yang kini berusia tujuh bulan, Ahmad Aidan di rumah keluarga mertuanya di Jengka, Pahang.
“Saya gementar dan sedikit janggal kerana pertama kali beraya bersama keluarga isteri. Dalam band ini, saya seorang sahaja yang sudah berkahwin sedangkan yang lain masih bujang dan tidak laku,” ujarnya sambil berseloroh.
Tambahnya, dia sendiri tidak tahu apa juadah istimewa masyarakat di Jengka. Bagaimanapun, kalau Ipoh, Perak, dia sudah begitu sinonim dengan masakan seperti rendang tok.
“Tidak tahu apa masakan istimewa orang Jengka ketika Aidilfitri. Saya tidak rasa kalau beraya makan ikan patin masak tempoyak bersama bunga Raflessia pula kan? Apapun, saya sangat bersemangat untuk beraya bersama isteri, anak dan keluarga mertua.
“Satu pengalaman baharu buat saya dan tahun ini, saya utamakan perbelanjaan isteri terutama untuk anak. Itu paling penting apabila sudah berkeluarga dan tanggungjawab pula mesti berlainan, tidak seperti orang bujang,” terang Ceri atau nama sebenarnya, Ahmad Azanol Khushairie Zainudin.
Gemar membahasakan orang lain sebagai babe dalam perbualan, Ceri turut bercerita pengalamannya nakalnya beraya waktu kecil.
“Banyaklah pengalaman beraya waktu kecil. Antaranya, main meriam tin dan mercun plag motor sampai dikejar polis. Generasi sekarang mungkin tidak tahu permainan raya seperti ini. Bagi saya, ia amat seronok walaupun dikejar polis,” kongsinya.
Am beraya di KL
Paling berusia dalam kalangan tiga kawan lain dalam Kugiran Masdo, Am atau nama sebenarnya, Azham Ahmad, 38, berkata dia hanya akan beraya di Kuala Lumpur.
“Raya saya membosankan. Seperti kebiasaan, saya akan berada di KL sahaja bersama keluarga. Bagi saya, raya berjalan seperti biasa walau di mana kita berada.
“Apa yang penting adalah keberadaan bersama dengan orang tersayang seperti keluarga dan saudara-mara. Paling mengujakan barangkali juadah raya rasanya kerana setahun hanya sekali dapat makan masakan wajib seperti kuah kacang, nasi impit dan lontong,” kata Am yang amat menggemari minuman teh kundur.
Walaupun lebih dikenali sebagai pendiam antara tiga ahli kumpulan lain, Am juga gemar membuatkan orang tertawa dengan aksi spontannya.
“Zaman saya kecil dulu main mercun memang perkara biasa. Tapi kami main mercun secara berhemah.
“Tapi ingin saya kongsi trend main mercun padi waktu kecil. Zaman saya, siapa yang berjaya bakar mercun api sambil pegang mercun berkenaan, boleh dikira paling kacak dan hebat. Kopak kuku pun kopaklah, janji saya kacak,” ujarnya seraya tersenyum lebar.
Resipi nenek Mawi
Menyambung baton temu bual, Mawi atau nama lengkapnya, Muhammad Aizat Asymawi Mohd. Faizal berkata, dia beraya di Simpang Renggam, Johor bersama keluarga tersayang. Dia berbangga untuk berkongsi cerita resipi istimewa neneknya yang dipanggil beef steak.
“Juadah istimewa akan disediakan oleh nenek saya. Kegemaran saya ialah daging kicap, peliknya yang ada sambal kacang dan warnanya kelabu. Saya gelarkan masakan tersebut sebagai beef steak.
“Bagi saya juadah ini memang istimewa kerana memang tidak jumpa di mana-mana. Memang nenek saya sahaja yang boleh sediakan. Juadah lain seperti burasak memang biasa di Johor sebagai orang Bugis. Cecah dengan beef steak nenek saya memang terbaik,” ceritanya.
Mengulas lanjut, Mawi yang dilahirkan di Kluang, Johor tidak berani bermain mercun sejak kecil kerana akan dimarahi ibunya. Waktu kecil, dia juga gemar beraya bersama rakan-rakan.
“Saya dan adik-beradik lain memang tidak main mercun kerana kami amat patuh dengan arahan dan permintaan ibu. Ada juga main mercun namun tanpa pengetahuan ibu.
“Maaflah, dulu saya mempunyai satu sikap kalau beraya akan sedikit memilih. Kalau jumpa rumah papan, saya dan rakan-rakan akan mengabaikan dan pergi ke rumah batu kerana pada fikiran kami, rumah batu duit raya lebih besar mungkin lebih daripada RM1,” tutur Mawi menutup perbualan.