Hannah bersyukur kerana kerjayanya sebagai pelakon semakin mekar di Malaysia. Selain sibuk dengan drama, dia juga diberi kesempatan berlakon dalam filem Langsuir.
Sejak menempa nama sebagai anak seni di Malaysia sekitar tahun lalu, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Hannah Delisha tidak pernah memandang mudah terhadap perkembangan kariernya.
Pantang ada peluang yang dilihat mampu memberi manfaat pada bakat lakonannya, gadis berusia 21 tahun itu pasti tidak teragak-agak untuk melemparkan kata setuju.
Tidak hairan jika pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer itu sanggup berkorban masa demi meneruskan kariernya di sini.
Menurut Hannah, disebabkan jadualnya masih padat dengan sesi penggambaran bagi drama adaptasi Korea, Full House, dia mungkin tidak dapat meluangkan masa yang agak lama untuk menyambut bulan Syawal bersama keluarga tercinta.
“Pihak produksi akan memberi cuti kepada saya untuk pulang ke Singapura bagi menyambut kedatangan hari raya.
“Namun, apa yang pasti, saya tidak akan bercuti panjang dan akan segera kembali ke Kuala Lumpur untuk melunaskan baki penggambaran,” katanya memulakan bicara.
Bercerita mengenai respons keluarga apabila dia tidak dapat menghabiskan banyak masa di Singapura, pemilik nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch itu menjelaskan, dia berasa sangat bertuah kerana kedua-dua ibu dan bapanya faham akan tuntutan kerjayanya sebagai pelakon.
“Sedih memang ada memandangkan sebelum ini saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga pada bulan Syawal.
“Tetapi, dalam masa sama, saya berasa sangat beruntung kerana keluarga sangat memahami kerjaya saya dan sentiasa mendoakan kesejahteraan saya di sini,” ujarnya.
Meriah
Diminta untuk bercerita mengenai sambutan hari raya kaum Melayu di Singapura, pelantun lagu Tak Perlu Kata Apa-Apa itu menyifatkan sambutan Aidilfitri di republik tersebut sama meriah dengan sambutan di Malaysia.
“Sejujurnya, tiada banyak beza sambutan hari raya di Singapura dengan Malaysia. Cuma kami tidak ada kampung!
“Selebihnya, rutin hari raya kami di Singapura sama seperti di Malaysia,” ujar Hannah jujur.
Berkongsi lanjut, Hannah turut menjelaskan dia ada mengeluarkan sedikit peruntukan untuk keluarganya bagi membuat persiapan hari raya pada tahun ini.
“Tahun lepas, ketika nama belum dikenali, saya masih menerima duit raya. Namun pada tahun ini, saya pula yang akan memberi duit raya pada keluarga.
“Berkenaan dengan peruntukan persiapan raya pula, kami sekeluarga cuba untuk tidak membazir dan berbelanja secara berlebihan.
“Jadi, apa yang perlu sahaja yang akan disediakan,” ujar Hannah yang lebih mengutamakan perjumpaan keluarga sempena hari raya berbanding perkara lain.
Dalam perkembangan lain, Hannah turut teruja menantikan filem perdananya, Langsuir yang bakal ditayangkan pada 20 September depan.
Membawakan watak hantu langsuir bernama Suri, Hannah berpendapat bahawa naskhah arahan Osman Ali itu memberi banyak ruang buatnya untuk lebih mendalami bidang lakonan.
“Filem Langsuir merupakan sebuah naskhah yang agak berat. Selain percubaan pertama saya sebagai pemain filem, naskhah ini turut memberi banyak input kepada saya terutama tentang bidang lakonan.
“Osman Ali juga merupakan seorang sutradara yang sangat membantu, lebih-lebih lagi berkenaan dengan penghayatan watak untuk sesebuah babak. Saya sendiri tidak sabar untuk menonton filem ini,” ujar Hannah menutup bicara.