Selepas tujuh bulan berumah tangga, pelakon Fattah Amin mengakui teruja menyambut Syawal pertama bersama isterinya, aktres Fazura.
Sama seperti pasangan lain, Fattah menjelaskan, mereka juga mengaplikasikan konsep giliran supaya Syawal diraikan secara adil untuk kedua-dua buah keluarga.
Menurut Fattah, 28, mereka beraya di kediaman nenek sebelah ibunya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman keluarganya yang terletak di Bagan Datuk, Perak. Bagaimanapun pada penghujung Ramadan lalu, mereka telah pulang ke kediaman keluarga Fazura di Pekan, Pahang.
“Kami tiada isu untuk beraya di mana. Hal ini kerana saya akan pastikan kami berdua balik ke kampung kedua-dua belah keluarga. Tidak kiralah sebelum atau pada sambutan Syawal. Isteri juga tidak kisah dan menyerahkan hal giliran beraya kepada saya.
“Walaupun ini merupakan tahun pertama beraya sebagai suami isteri, kami meraikannya secara sederhana. Soal pakaian tidak ada masalah kerana kami berdua mempunyai koleksi pakaian raya masing-masing,” ujar Fattah yang ditemui pada majlis pelancaran single Syawal Kali Ini di SACC Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dalam pada itu Fattah menjelaskan, definisi raya baginya adalah keluarga. Tidak lengkap sambutan Syawal buat Fattah jika tidak berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara.
“Definisi Syawal bagi setiap orang berbeza, seperti saya kali ini sudah beristeri. Orang lain mungkin pertama kali beraya dengan anak. Saya bersyukur kerana bukan sahaja meraikan dengan keluarga dan isteri tetapi juga keluarga mertua.
“Ini bermakna keluarga saya semakin besar dan raya menjadi bertambah meriah. Saya juga seronok kerana pagi raya sudah ada orang menguruskan makan dan pakai. Jadi, definisi raya saya adalah menikmati masa bersama keluarga,” tutur Fattah yang kini sibuk dengan penggambaran filem Mat Kilau.
Karya pertama
Sempena dengan sambutan raya, Fattah telah melancarkan single terbaharunya berjudul Syawal Kali Ini ciptaan sepenuhnya Mel Ramlan dan Aizat yang telah dijual menerusi platform digital sejak 3 Jun lalu. Tambah Fattah, lagu Syawal Kali Ini sepatutnya dikeluarkan pada tahun lalu.
Bagaimanapun, disebabkan jadual yang begitu padat pada tahun lalu, perancangan mengeluarkan single raya ditunda ke tahun ini.
Namun apa yang lebih menarik, klip video lagu Syawal Kali Ini mendapat sentuhan pertama Fattah sebagai pengarah. Bertambah istimewa klip video itu turut menampilkan ibu bapa Fattah sebagai pelakon.
“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk mengarah. Klip video Syawal Kali Ini merupakan karya arahan saya sendiri. Alhamdulillah, penggambaran hanya mengambil masa sehari, cuma proses suntingan mengambil masa yang agak panjang.
“Kenapa saya memilih untuk mengambil ibu bapa sebagai pelakon adalah disebabkan konsep klip video ini sendiri. Biasanya lagu raya akan mengisahkan tentang anak pulang beraya.
“Jadi, daripada saya mengambil orang lain sebagai pelakon, lebih baik gunakan ibu bapa sendiri. Mereka bersetuju dan saya dapat menjimatkan kos.
“Walaupun sukar untuk memujuk pada mulanya, akhirnya mereka gembira kerana dapat melibatkan diri dalam karya arahan anak sendiri. Sebagai ibu bapa mereka sentiasa menyokong kerjaya saya. Meskipun tiada pengalaman, ibu ayah berlakon dengan baik,” kongsi Fattah tentang klip video yang menjalani penggambaran di Melaka itu.
Selain itu, Fattah juga menjawab mengenai gimik pelancaran single yang dilakukan diInstagram. Ramai peminat menyangka Fattah mahu mengumumkan berita kehamilan Fazura.
Sambil ketawa Fattah menjelaskan, dia tidak menyalahkan peminat yang membuat pelbagai andaian termasuk kononnya mahu mengumumkan berita kehamilan.
“Saya tidak salahkan peminat kerana mereka mahu melihat perkara yang baik daripada kami berdua. Dulu mereka doakan jodoh kami dan telah termakbul. Sekarang mereka mahu melihat kami mempunyai anak. Jika ada rezeki anak, kami tidak menolak.
“Namun, setakat hari ini kami memang tidak merancang dan belum ada rezeki. Saya harap peminat terus mendoakan rezeki buat kami.
“Gimik di Instagram itu sememangnya hanya untuk single Syawal Kali Ini,” kata Fattah yang kini turut bergelar Ketua Pegawai Operasi (CEO) produk wangian, AJ De Parfum.