MANTAP - Selepas enam tahun, Ankabut menjadi album studio keenam yang mengandungi untaian karya lengkap melodi dan lirik bersifat malar segar.
Pada fasa kebanyakan penyanyi solo mahupun berkumpulan menggunakan istilah ringkas sebagai tema dalam ‘rasa’ dan bahasa lagu, Spider keluar dengan album yang likat kualiti. Kehilangan sementara dengan material dalam industri seni dan membiarkan peminat rindu dapat dimaafkan dengan kemunculan Ankabut yang diterbitkan sendiri oleh Tam, Nafie, Aie dan East. Produk tersebut dibantu secara nasihat oleh M. Nasir.
Dilancarkan pada 28 Ogos lalu di Fakulti Muzik Seni Persembahan, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, album Ankabut mengandungi 10 lagu yang akan membawa peminat setia khususnya dalam perjalanan rasa dan penelitian bahasa.
Masakan tidak, latar belakang album ini dibuat bukan dalam ruang segi empat biasa yang dinamakan studio tetapi Ankabut dibalut dengan kesegaran bau laut, bunyi deru ombak dan lambaian angin pantai yang merupakan ruang rasa album ini dibikin secara mentah.
“Peluang berkampung selama seminggu di Lanjut Beach Resort, Rompin, Pahang untuk proses prarakaman memang kami gunakan sepenuhnya. Sepatutnya cara ini sudah kami buat sebelum ini, namun rezeki Spider untuk berilham di tepi pantai datang untuk album keenam. Ia merupakan sesuatu yang baharu buat kami kerana lima album terdahulu dibikin sepenuhnya di dalam studio,” ujar Aie, pemain dram yang menyertai Spider pada tahun 2001.
Menurut si vokalisnya yang peti suaranya masih mengalirkan vokal serak basah dan menawan, Tam, mereka berkeras untuk menjayakan album tersebut dalam suasana yang berbeza.
Ujar Tam: “Memang lain hasilnya kerana bangun sahaja daripada tidur, kami terus ‘bercumbu’ dengan instrumen dan menghasilkan lagu. Seorang ahli kumpulan mula memetik instrumen, semua akan ikut serta. Jadi, semangat dan fokus masing-masing memang hanya tertumpu kepada proses pembuatan lagu dan melodi.”
Ilham Lanjut
Ombak, laut dan pantai di Lanjut membawakan ilham kepada berbelas-belas lagu dalam masa tujuh hari ‘pertapaan’ Spider. Hasil saringan, mereka membawakan 10 yang terbaik kepada pendengaran peminat.
Lagu-lagu yang tersedia untuk ditelaah dan didengari antaranya Waduh Tijah, Hidupku, Kelawar Vampira dan Akulah Cerminmu.
Gabungan tiga jaguh iaitu rasa, melodi, irama dan bahasa bergabung dalam album ini. Kesemua karya dihasilkan ilham Tam, Nafie dan pergabungan Spider. Lirik pula dijalurkan dengan cantik siratan dan suratan oleh Spider, M. Nasir serta Keon.
Cantik tersusun, jiwa ini dapat dirasakan dalam Ankabut yang membawa maksud labah-labah. Muncul dengan album keenam selepas KitaSatu enam tahun lalu, bukan hanya kematangan dari segi teknikal susunan dan pembikinan lagu, namun serampang dua mata juga, Spider terus mempertahankan kualiti bahasa dalam seni kata.
Tebal rasa tanggungjawab mereka untuk menjaga bahasa dan kecantikan seni kata setiap kali mengeluarkan lagu. Bukan sekadar berlagu ‘lalalala’, penyusunan dan pemilihan senikata mereka penuh tertib dalam maksud dan kata.
“Kami berempat percaya bahawa senikata kata akan menjadi peninggalan masa depan. Justeru, menjadi tanggungjawab untuk menghasilkan sesuatu yang dibanggakan bukan hanya kepada anak-anak kami tetapi juga buat masyarakat. Ini tanggungjawab setiap pengkarya,” luah Tam mewakili Spider yang muncul dengan lagu-lagu cukup erat akar simbolik cinta.
Mengaku rindu sentuhan bahasa dan pemahaman komposer tersohor arwah Loloq terhadap Spider, rasa itu mereka simpan dalam-dalam. Sebuah kenangan dan pengabadian untuk produk masa lalu yang mendapat kerjasama dan sentuhan arwah yang meninggal dunia pada 30 Januari 2008.
“Sudah dua album kami merasakan kehilangan air tangan Loloq dalam pembikinan lirik buat kami. Dia insan yang memahami penceritaan kumpulan ini. Secara peribadi, ada ralat yang saya rasakan, namun itu tidak bermakna bahawa insan-insan lain tidak sama taraf. Sebaliknya kami mendapat bukan calang-calang orang menulis lirik untuk lagu-lagu kami iaitu M. Nasir dan Keon,” ujar Tam tanpa berselindung.
Pembuatan album Ankabut antara lain mendapat hasil kerja Fai Zakaria untuk hasil kerja kulit album. Malah, mereka juga mendapat sokongan daripada produk Randuk untuk pengeluaran baju-T Spider.
Spider juga baru sahaja selesai dengan pembikinan klip video lagu Waduh Tijah yang telah pun dipertontonkan buat khalayak UPSI pada 28 Ogos lalu. Klip video yang diarahkan oleh Khairul Hazwan itu menampilan sisi lain pembikinan klip video Spider.
“Lagu Waduh Tijah itu merupakan lagu yang membuatkan saya terketar-ketar untuk menyanyi,” akui Tam.
Boleh diakui lagu ini sedikit berbeza dengan lagu-lagu Spider yang lain, namun masih kuat dengan perasa Spider. Mendapat hasil lantunan gendang sunda oleh pemain perkusi terkenal, Paang Zaman, Waduh Tijah dilihat sebagai senjata seterusnya oleh Spider untuk menembak telinga para pendengar dan meninggalkan kesan rasa.
20 tahun
Bukan baru semalam, sebaliknya sudah 20 tahun Spider bernyawa dalam industri muzik tanah air. Survival mereka berterusan dengan penghasilan Ankabut. Bagi mereka, kumpulan muzik patut keluar dengan album dan bukan hanya menawarkan single sahaja kepada pendengar dan peminat setia khususnya.
Spider sudah melalui zaman naik dan turun yang disifatkan sebagai resam. Malah, roller coaster itulah yang banyak mengajar mereka dalam perjalanan hingga hari ini.
“Masa suram merupakan masa yang bagus untuk kembali bangkit,” ujar Tam ketika ditanya tentang fasa suram Spider dalam sebutan pecinta industri seni.
Dalam perjalanan yang tidak singkat itu, satu hal yang merubah sedikit Spider secara individu adalah pertukaran pemain bass. Pengunduran Tony digantikan dengan East yang bermula sebagai kru dan sahabat baik Spider.
Ada terkandung rasa ralat atas pengunduran Tony tetapi mereka akur dengan keputusan yang diambil. Itu laluan yang perlu mereka lalui suka ataupun tidak.
Jika dilihat dalam himpunan katalog dan kebersamaan khalayak menyanyi sewaktu alunan lagu, selayaknya kini Spider sudah muncul dengan persembahan berskala besar.
Untaian seperti Mungkinkah Terjadi kepada berhantunya Aladin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan terkini Hidupku, kumpulan ini antara yang banyak menyumbangkan lagu hit berkualiti buat khalayak.
Kini hanya waktu yang menentukan sesuatu yang besar daripada Spider meraikan 20 tahun pembikinan jaring labah-labah dalam sarang seni.