GITARIS ternama, Man Kidal bersama Ketua Pegawai Eksekutif Global Tijari Capital, Amirullah Basarullah menunjukkan salinan repot polis dan salinan laman sesawang internet berhubung dakwaan mereka terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
GITARIS popular, Man Kidal atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mahmood mendakwa dirinya menjadi mangsa keadaan apabila dikatakan terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram atau money game.
Perkara tersebut disedarinya selepas menerima maklumat daripada beberapa individu termasuk berita yang menjadi viral di internet sejak dua minggu lalu.
Tidak berdiam diri tanpa sebarang tindakan, Man Kidal yang kini bertindak sebagai Pengerusi Global Tijari Capital Bhd. membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Pelong, Sungai Buluh, Petaling Jaya pada 24 Ogos lalu.
Pengasas kumpulan Lefthanded itu turut bertegas akan mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang cuba memanipulasikan nama dan syarikatnya untuk menjana keuntungan dengan cara mudah.
KOSMO!: Bolehkah Man Kidal terangkan bagaimana tuduhan menjalankan aktiviti penggubahan wang haram mula disedari?
MAN KIDAL: Perkara tersebut diketahui sekitar sebulan lalu apabila beberapa individu memberi maklumat mengatakan saya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram di media sosial. Pihak tidak bertanggungjawab itu cuba menggunakan kedudukan sebagai selebriti untuk mendapatkan kepercayaan ramai. Nombor telefon yang dipaparkan untuk tujuan tersebut juga tiada kaitan dengan saya.
Bagaimana perkara tersebut berlaku?
Mereka menggunakan nama salah sebuah anak syarikat saya iaitu MK Label Sdn. Bhd. untuk mendapat bayaran deposit daripada pelabur yang dijanjikan keuntungan lumayan.
Perkara tersebut secara tidak langsung menjejaskan perniagaan produk makanan kesihatan milik saya yang telah beroperasi sejak November lalu.
Adakah perkara tersebut menyebabkan anda menanggung banyak kerugian?
Perbuatan tersebut tidaklah menyebabkan saya menanggung kerugian teruk tetapi telah menjejaskan dan mengaibkan saya selain berasa dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Apakah tindakan yang diambil sebaik sahaja mengetahui tentang perkara tersebut?
Saya telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong, Sungai Buluh, Petaling Jaya pada 24 Ogos lalu. Tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang telah menjatuhkan nama baik saya.
Paling penting, saya melakukan perniagaan berdasarkan jual beli secara terus kepada pelanggan dan tiada kaitan dengan isu penggubahan wang haram sebagaimana yang diperkatakan.
Menurut pendapat anda, adakah perbuatan tersebut dilakukan pihak terdekat atau individu yang dikenali?
Sukar untuk menuduh ia angkara siapa kerana secara peribadinya saya tidak mengenali atau mengetahui identiti mereka yang terlibat.
Sekarang saya serahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalani siasatan.
Selain melakukan perniagaan penjualan produk makanan kesihatan, adakah anda terlibat dengan perniagaan lain?
MK Label Sdn. Bhd. merupakan salah sebuah anak syarikat milik Global Tijari Capital Bhd. yang dipengerusikan oleh saya. Selain itu, beberapa anak syarikat lain iaitu Global Tijari Holding Bhd, Inetra Solution Sdn. Bhd., NSR Solution Enterprise, MK Automotive Sdn. Bhd., MK Industries Sdn. Bhd., MK Resort Sdn. Bhd. dan Kidal Entertainment.
Tidak hanya memberi fokus kepada produk kesihatan, saya juga terlibat dengan perniagaan hartanah, automotif, dan pelancongan. Saya juga memiliki sebuah kilang pemprosesan makanan kesihatan di Rawang dan mempunyai hampir 100 orang pekerja.
Kami juga merancang untuk mengeksport air minuman kopi durian ke China dan bakal bekerjasama dengan ahli perniagaan dari India untuk memasarkan produk keluaran MK Label Sdn. Bhd. di sana.
Melihat kepada situasi anda sekarang yang memegang jawatan sebagai pengerusi syarikat perniagaan, bagaimana pula dengan perjalanan kerjaya seni?
Kerjaya sebagai pemuzik tetap diteruskan kerana itulah keinginan dan jiwa saya. Biarpun sibuk, saya tetap cuba memberi ruang untuk menerima tawaran mengadakan persembahan.
Anda juga dikatakan sudah bergelar jutawan, jadi adakah bayaran perkhidmatan sebagai gitaris juga menjadi lebih tinggi?
Situasi sebegitu tidak akan berlaku (ketawa). Seperti yang diperkatakan tadi, muzik adalah keinginan dan jiwa saya. Selagi masih mempunyai peluang untuk berkarya, pastinya saya akan lakukan.