Sufian Suhaimi Dipanggil Skema Kerana Imej Mahasiswa


Sufian Suhaimi mengakui masih terbawa-bawa dengan imej 'skema'.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Terakhir, Sufian Suhaimi mengakui masih terbawa-bawa imej seorang mahasiswa sehingga ada peminat menggelarnya lelaki 'skema'.

Sufian, 24, berkata, dia menyedari akan perkara itu namun tidak mahu mengubah penampilannya secara drastik kerana dia ingin menjadi dirinya sendiri.

"Saya sedar akan perkara itu dan mungkin kerana saya masih terbawa-bawa imej seorang mahasiswa sebelum ini sehingga dipanggil lelaki 'skema'.

"Untuk mengubah imej secara drastik, mungkin tidak kerana saya masih mencari penampilan sesuai sebagai seorang selebriti dan pada masa sama ingin menjadi diri sendiri," katanya kepada mStar Online.

Sufian adalah graduan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi dan kini sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang sama.

Dalam pada itu, sufian berasa lega apabila privasi kehidupan peribadinya tidak terjejas selepas namanya mula mendapat perhatian berikutan kejayaan single pertamanya, Terakhir.


Sufian muncul dengan single kedua berjudul Harus Aku.

Sufian, berkata, pada peringkat awal dia mengakui berasa bimbang dengan tempias populariti yang diterimanya sebagai selebriti kerana sedar gerak-gerinya kini menjadi perhatian.

"Sebelum ini saya bimbang juga dengan populariti yang diterima akan menjejaskan privasi saya tetapi Alhamdulillah ia tidak seperti saya sangkakan.

"Walaupun semakin dikenali saya masih boleh menjalani kehidupan dan menjalani rutian harian seperti biasa," katanya.

Bagaimanapun kata Sufian, kebimbangannya itu bukan kerana sudah merasakan dirinya terlalu popular tetapi tekanan itu mula dirasai kerana sebelum ini peminat tertanya-tanya siapakah disebalik penyanyi lagu Terakhir.

"Sejak lagu itu mendapat perhatian orang mula mencari siapakah gerangan penyanyinya dan kerana itu saya berasa sedikit bimbang dengan tempias populariti lagu itu kepada diri saya.

"Namun saya gembira apabila pendengar menyukai lagu berkenaan dan tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa," jelasnya.

Sementara itu, Suhaimi yang baharu sahaja melancarkan single keduanya, Harus Aku mengakui gementar dengan penerimaan pendengar terhadap lagu berkenaan.

Ini kerana katanya, dia sedar peminat menjangkakan sesuatu yang lebih baik atau setara dengan lagu Terakhir.

"Harus Aku sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri dari segi melodi serta lirik tetapi saya juga bimbang pendengar merasakan ia tidak setanding single pertama saya," katanya.

Tambah Sufian, sekiranya lagu tersebut kurang berjaya mendapat perhatian dia tidak akan berputus asa sebaliknya memberitahu masih mempunyai beberapa lagu baharu dalam simpanannya untuk dilancarkan.

“Saya ada beberapa lagu dalam simpanan yang saya cipta beberapa tahun lalu dan percaya selain lagu Terakhir ada di antaranya mampu mencuri selera pendengar cuma saya harus perkemaskan melodinya terlebih dahulu,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post