Syafiq Farhain Tidak kecewa dianggap one hit wonder


Lazimnya, dianggap sebagai one hit wonder atau sekadar popular dengan sebuah lagu merupakan perkara terakhir yang terlintas dalam fikiran mana-mana penyanyi berbakat.

Cuma, lain pula ceritanya dengan penyanyi yang semakin mencipta nama, Syafiq Farhain kendatipun menyedari single terbaharunya yang berjudul Kamar Hati disifatkan tidak sebegitu menyengat berbanding debut pertamanya, Sayang Maafkan Aku yang pernah memukau khalayak sedikit masa lalu.

Menyifatkan Kamar Hati memerlukan lebih banyak masa untuk menyaingi kekuatan lagu Sayang Maafkan Aku, pemilik nama sebenar Nursyafiq Farhain AM Salim, 24, sentiasa reda dengan pasang surut rezekinya dalam bidang seni.

“Tidak pernah sekelumit pun perasaan kecewa terutamanya apabila dianggap sebagai one hit wonder. Tidak mustahil, kurangnya promosi juga sedikit sebanyak menyumbang mengapa lagu Kamar Hati agak lambat diketahui peminat gara-gara kesibukan karier saya sebagai anggota bomba dan penyelamat.

“Berikan lagu Kamar Hati sedikit masa, jika masih gagal memikat khalayak pun tidak mengapa kerana saya sentiasa percaya kepada rezeki. Mungkin, lagu seterusnya akan kembali memikat perhatian pendengar,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Pada masa sama, Syafiq yang mula mencuri perhatian khalayak menerusi aplikasi Smule awal tahun lepas juga tidak menyalahkan sesiapa gara-gara senario berkenaan, sebaliknya percaya dengan setiap percaturan Tuhan.





“Nak kata kerana menggunakan khidmat komposer berbeza, ramai yang tidak tahu lagu Kamar Hati juga dicipta oleh komposer yang sama dengan lagu Sayang Maafkan Aku yakni Harry Khalifah dan Roomnone, jadi tanggapan sedemikian sememangnya tidak betul.

“Biarpun kurang diketahui peminat, ia masih berupaya melakar lebih 1.5 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube kira-kira tiga bulan lepas.

“Jadi tidak mengapa, asalkan saya berpuas hati dan menghiburkan peminat, itu sudah lebih daripada mencukupi,” ceritanya lagi.

Masih bertugas di Unit Pengurusan Aset di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Syafiq juga memanjat rasa syukur kerana majikannya benar-benar memahami minatnya dalam bidang seni suara.

“Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk menumpukan 100 peratus karier dalam bidang nyanyian, tambahan pula majikan tidak menghalang,” jelasnya.

Berhubung perkembangan karier, Syafiq memberitahu ketika ini dia sedang sibuk mempromosikan lagu-lagu raya seperti Hasbi Rabbi, Lebaran Mulia dan Syawal Menjelma bersama rakan-rakan yang bernaung di bawah syarikat rakaman MVM Production dan Rusa Musid seperti Atmosfera, Floor 88, Asfan Shah, Ariff Bahran, Isa Khan, Sheryl Shazwanie, Mimi, Evon serta ramai lagi.

“Selain itu, saya juga baru saja selesai merakam sebuah lagu berjudul Ya Ha Na Na serta satu lagi lagu berunsurkan ketuhanan juga masih dalam proses rakaman,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post