Eyra Hazali sentiasa jaga batas


Kelibatnya semakin mula dikenali selepas menggalas peranan sebagai heroin menerusi drama bersiri popular Mr. Grey dengan memegang watak sebagai Nisa Ardina. Sejak itu, bakat pelakon yang menggunakan nama pentas sebagai Eyra Hazali ini semakin menjadi bualan.

Mungkin masih ada yang tidak mengetahui bahawa pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini sebenarnya sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak usianya enam tahun lagi. Bahkan, pemilik nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali ini juga pernah diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2010 menerusi telefilem Anak-Anak Lorong.

Jika sebelum ini, Eyra perlu memberikan fokus kepada akademik, namun sejurus tamat persekolahan, dia kini mula memberikan fokus kepada kerjaya lakonan yang memang menjadi kecintaannya sejak kecil lagi.

Diterima baik

Ternyata laluannya untuk membuat kemunculan semula dalam lapangan seni memberi tuah kepadanya. Sevagai bukti, Eyra berjaya memberi penangan hebat dengan lakonannya sehingga membuatkan lebih ramai orang keliling buka mata dengan kemampuan dan bakatnya.

“Tidak dinafikan drama Mr. Grey itu membuatkan lebih ramai orang mula mengenali diri saya.

“Ada peminat yang perasan tertanya-tanya adakah saya pelakon masa zaman kanak-kanak yang pernah mereka lihat sebelum ini,” kata Eyra.

Respons positif yang diterima daripada orang ramai itu membuatkan saya berasa sangat dihargai.

“Sekurang-kurangnya, orang mengenali diri saya disebabkan oleh lakonan dalam drama-drama yang pernah mereka tonton sebelum ini. Apa yang penting, mereka kenal saya bukan dengan cerita gosip atau kontroversi yang bukan-bukan,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Dedah Eyra, sewaktu di awal pemilihannya untuk diangkat sebagai heroin dalam drama arahan Riza Baharudin itu, dia tidak menafikan bahawa terdapat netizen yang meragui dengan kebolehannya waktu mula-mula dahulu. Bagaimanapun, persepsi mereka berubah selepas penonton melihat dan menilai sendiri lakonannya.

“Ada juga yang mempersoalkan boleh ke saya membawakan watak tersebut. Antara komen mereka kata, hero okey, tetapi heroin itu boleh ke? Maklumlah, pada masa itu, pelakon gandingan saya, Fendy Bakry sudah mula dikenali dengan jolokan Abang Surau dalam lakonannya terdahulu.

“Bagaimanapun, selepas tayangan itu bermula barulah mereka nampak keserasian watak itu dengan diri saya,” luah pelakon yang kini sudah menginjak usia 19 tahun.

Jika dahulu, katanya, watak yang diberikan lebih cenderung kepada karakter kanak-kanak mengi­kut kesesuaian umurnya ketika itu. Justeru, sebolehnya kini seiring dengan peningkatan usia, dia mahu menggalas lebih banyak watak yang mencerminkan wanita matang.

“Dahulu watak kanak-kanak menangis, tetapi sekarang kena bawa watak bercinta pula. Memang janggal pada mulanya nak terlibat dengan babak romantik, maklumlah sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Bagaimanapun, inilah masa untuk mencuba sesuatu yang baharu. Lagipun, saya mahu nampak kepelbagaian dalam lakonan,” kata pelakon drama Samudera Rindu itu.





Jaga batasan

Menurut Eyra lagi, dia mengakui banyak cabaran yang perlu dilalui sebagai seorang pelakon pada masa kini. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang segala-galanya mudah menjadi viral dengan kekuatan media sosial. Justeru, katanya, dia tidak boleh tersilap langkah.

Sebolehnya, dia tidak mahu ada cerita-cerita kurang senang yang boleh memberi kesan buruk kepada perjalanan kariernya sebagai anak seni. Biarpun tidak pernah diletakkan syarat dan peraturan khusus daripada ibu bapanya, namun sebagai pelakon Eyra tahu ada batas-batas yang perlu dijaganya.

“Ayah memang tidak ada letak syarat apa-apa pun sejak dahulu lagi. Cuma katanya, jangan lakukan perkara yang boleh mencemarkan nama keluarga dan diri sendiri sahaja. Jadi, sekarang ini kena pandailah jaga diri,” katanya yang tidak mahu terpalit dengan jajaan cerita peribadi.

Mengakui rata-rata hero dan heroin sering berdepan dengan gesaan penonton untuk terbabit dengan cinta lokasi, namun perkara itu katanya, tidak mungkin akan terjadi pada dirinya.

“Rapat macam mana sekalipun hanyalah sebagai rakan sekerja sahaja. Bahkan, kalau nak buat babak romantik pun akan bincang terlebih dahulu agar tidak dilihat keterlaluan,” jelasnya yang bakal muncul dengan filem Ratu Kala Jengking yang kini sedang dalam proses penggambaran.

Bercerita mengenai naskhah terbitan A. Aida Production itu, menurutnya, pada asalnya dia juga berdepan dilema apabila diminta untuk melakukan aksi berkemban yang disifatkan boleh menimbulkan kontroversi.

“Bagaimanapun, babak berkemban itu tidak dapat saya tunaikan bagi menjaga sensitiviti. Selepas perbincangan dan persetujuan daripada pihak produksi, mereka bersetuju. Lagipun, perkara seperti inilah yang perlu dijaga agar saya tidak terpalit dengan cerita yang kurang enak didengar di kemudian hari.

Jelas Eyra lagi, dia bukanlah seorang yang gemar untuk berpakaian seksi. Sejak dari kecil lagi, dia seorang yang cukup menjaga penampilan dirinya dan tidak gemar mengenakan busana yang terlalu terdedah.

“Saya pernah disuruh pakai dres tanpa lengan ketika sesi fotografi sehingga saya menangis dalam bilik kerana malu melihat diri berpakaian begitu.

“Saya bukanlah seorang yang suka tampil dengan pakaian yang seksi,” kongsi pelakon yang mempunyai kemahiran seni silat itu.

Dalam pada itu, Kongsi Eyra lagi, dia berkecimpung dalam bidang lakonan ini kerana mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri. Baginya, selain berlakon, dia juga melihat potensi diri untuk duduk di kerusi pengarah pada satu hari nanti. Ini kerana, kecintaannya itu diwarisi daripada bapanya yang juga merupakan seorang pengarah drama.

“Kalau boleh saya mahu menjadi pengarah muda satu hari nanti. Barangkali membawa landskap berbeza dari segi pengarahan drama itu sendiri. Jika boleh buat perubahan, mungkin saya mahukan sebuah karya yang lari daripada cerita cinta sahaja, sebagai contoh dengan memperbanyakkan karya bergenre aksi,” katanya yang banyak mempelajari selok-belok pengarahan di set penggambaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post