Cuit-Cuit Che Ta kongsi aktiviti Ramadan


Apa agaknya yang dilakukan selebriti terkenal dan usahawan berjaya sepanjang Ramadan? Itulah yang cuba dikongsikan selebriti terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta dalam program Cuit-Cuit Che Ta yang bersiaran pada setiap hari, pukul 11 pagi di saluran TV Okey (saluran 109) bermula kelmarin.

Sepanjang 26 episod siaran, Che Ta akan menjelajah ke beberapa negeri untuk bertemu dengan beberapa selebriti tersohor dan usahawan terkenal tanah air untuk berkongsi aktiviti yang dilakukan sepanjang Ramadan.

Pada masa sama, Che Ta juga berkongsi keistimewaan lokasi-lokasi menarik yang boleh dikunjungi khalayak umum berhampiran kediaman selebriti berkenaan.

Menurut Che Ta, dia teruja apabila dapat berkongsi pengalaman menarik beberapa selebriti dan usahawan tempatan bersama penonton yang ingin mengetahui aktiviti masing-masing sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan ini.

“Selain memaparkan destinasi yang boleh dikunjungi penonton, kami juga berpeluang mengetahui juadah-juadah istimewa yang dijadikan pilihan oleh selebriti-selebriti ketika berbuka puasa,” ujarnya.

Pada masa sama, jelas Che Ta, suasana rakaman penggambaran juga dilakukan secara santai bagi menaikkan mood penonton mengikuti setiap episod pada setiap hari.

“Ada yang berniaga, ada yang fokus dengan kerja-kerja amal dan tidak kurang juga ada mengikuti kelas-kelas agama sebaik memperlahankan kegiatan seni masing-masing sepanjang Ramadan ini.

“Lebih istimewa, pada episod terakhir nanti, saya sendiri akan berkongsi apa yang dilakukan di kampung halaman di Alor Setar, Kedah,” ceritanya lagi.





Che Ta memberitahu, antara yang bakal dikongsikan olehnya pada episod terakhir kelak termasuklah tradisi bertukar-tukar juadah yang masih dijadikan amalan di kampung halamannya, selain turut membuat demonstrasi membungkus ketupat palas yang sememangnya lebih dijadikan pilihan masyarakat di utara tanah air setiap kali musim lebaran.

Antara selebriti yang terlibat dalam program Cuit-Cuit Che Ta termasuk jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida, rakan-rakan artis seperti Betty Banafe, Ezad Lazim, Wak Doyok, Lan Pet Pet, Mamat Khalid, Dafi, Datuk Fizz Fairuz, Nazrief Nazri, Tengku Amaris, Eddie Hamid dan ramai lagi.

Selain golongan selebriti, Che Ta juga berkongsi cerita bersama beberapa usahawan terkemuka seperti Pengarah Urusan Juliana Beauty Care & Spa, Juliana Mazlan; Pengarah Urusan dan pengasas produk kecantikan dan kesihatan Dynars, Faziani Rohban Ahmad dan ramai lagi.

Pada masa sama, Che Ta turut menemu bual pereka fesyen terkenal seperti Razman dan Razmi, Qudyn Aziz dan Ezuwan Ismail yang saban tahun menerima banyak tempahan baju raya dalam kalangan penggemar fesyen, selain berkesempatan bersama cef selebriti, Yang Jamil yang lazimnya menyediakan bubur lambuk percuma kepada orang ramai di sekitar Damansara, Selangor sepanjang Ramadan.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan keseluruhan 26 episod program Cuit-Cuit Che Ta pukul 11 pagi pada setiap hari sepanjang Ramadan kali ini hanya di saluran TV Okey (saluran 109).

Post a Comment

Previous Post Next Post