
Meledakkan panggung dengan kutipan sebanyak RM2.5 bilion sebaik ditayangkan di seluruh dunia pada minggu pertama, ada satu hal tentang filem Avengers: Infinity War yang masih meninggalkan kesan dalam diri.
Bagi sesetengah orang, mereka mungkin masih terpukau dengan letupan demi letupan yang merupakan efek ruji dalam filem tersebut. Namun, cara garapan skrip tulisan Christopher Markus dan Stephen McFeely sebenarnya menjadi sebab utama mengapa Avengers: Infinity War mampu dikategorikan sebagai salah sebuah naskhah terbaik terbitan Marvel Studios.
Pengolahan jalan cerita oleh duo tersebut dilihat begitu jelas tidak membiarkan penonton tenggelam dengan tanda tanya, dek kehadiran lebih 15 watak adiwira dalam sebuah naskhah filem.
Ia ditunjukkan menerusi kenyataan watak antagonis, Thanos lakonan Josh Brolin, yang menyuarakan hasrat untuk menghapuskan separuh penghuni bumi kerana masalah kekurangan sumber kehidupan dan dalam masa sama mengekang populasi.
Kemudian, Markus dan McFeely juga meletakkan secara seiring kepentingan Infinity Stones yang terdiri daripada Space Stone, Mind Stone, Reality Stone, Power Stone, Time Stone dan Soul Stone terhadap obsesi Thanos dengan menjadikan Infinity Stones sebagai elemen utama untuk merealisasikan cita-citanya.
Dalam erti kata lain, jika ada penonton yang belum berkesempatan menyaksikan filem-filem adiwira Marvel sebelum ini, hanya sekadar menonton Avengers: Infinity War sudah cukup memberi gambaran ringkas terhadap jalan cerita keseluruhan.
Komersial
Avengers: Infinity War juga boleh dianggap sebagai naskhah yang paling komersial berbanding francais Avengers lain dari segi penglibatan para pelakon gred A.
Terus membuktikan kepentingannya sebagai ketua, watak Tony Stark atau Iron Man lakonan Robert Downey Jr. masih kekal sebagai tarikan utama penerbitan.
Baik dari segi lakonan mahupun pengucapan dialog sedikit humor, Downey Jr. masih kedengaran seperti dahulu dan adakalanya lebih baik berbanding tiga filem solo Iron Man sebelum ini.
Begitu juga dengan Chris Evans yang membawakan watak Steve Rogers atau Captain Amerika. Dia yang kini berpenampilan ‘selekeh’ masih menampilkan gaya lakonan cemerlang.
Bercakap mengenai penampilan, ada beberapa watak yang ditampilkan sedikit berbeza iaitu Thor lakonan Chris Hemsworth kini berambut pendek, mengikut kesinambungan filem Thor: Ragnarok yang ditayangkan tahun lalu. Watak Natasha Romanoff (Black Widow) lakonan Scarlett Johansson pula tampil mewarnakan rambutnya perang keemasan.
Di samping itu, watak Vision, android yang dicipta oleh Avengers lakonan Paul Bettany pula menjelma sebagai manusia buat kali pertama.
Antara penampilan adiwira lain yang mencuri perhatian termasuklah Peter Parker yang menggalas tugas sebagai Spider-Man. Dilakonkan oleh Tom Holland, watak tersebut dikembangkan dengan cukup baik dan menjadi antara watak adi wira terpenting dalam naskhah yang menelan belanja sebanyak RM1.5 bilion tersebut.
Teknik pengarahan Anthony Russo dan Joe Russo juga harus dipuji kerana tiada satu pun momen yang membosankan sepanjang dua jam 30 minit filem berputar.
Secara keseluruhan, filem Avengers: Infinity War merupakan filem yang berbaloi untuk ditonton, terutama bagi mereka yang telah mengikuti pengembaraan Tony Stark menerusi filem perdana Iron Man terbitan tahun 2008.
Ia bukan sahaja menyimpulkan perjalanan adiwira-adiwira Marvel menentang Thanos, bahkan turut memberi gambaran terhadap kebarangkalian yang akan berlaku menjelang penerbitan filem-filem akan datang.
Filem: Avengers: Infinity War
Pelakon: Robert Downey Jr., Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Chris Evans, Scarlett Johansson, Benedict Cumberbatch, Don Cheadle, Tom Holland, Chadwick Boseman, Paul Bettany, Elizabeth Olsen, Anthony Mackie, Sebastian Stan, Danai Gurira, Letitia Wright, Dave Bautista, Zoe Saldana, Josh Brolin dan Chris Pratt.
Pengarah: Anthony Russo dan Joe Russo
Tarikh tayangan: 25 April 2018