Nourul Wahab tolak lamaran The Voice Perancis


Nourul pernah menolak pelawaan menyertai Gegar Vaganza kerana kekangan masa begitu juga lamaran menyertai The Voice Perancis kerana memberi fokus terhadap albumnya.

UMUM mengetahui penyanyi Nourul Wahab bakal mempunyai sebuah album dalam bahasa Perancis berjudul Humaine hasil kerjasama dengan komposer muda kelahiran Perancis, Kirsten Harma.

Album yang memuatkan tujuh buah lagu termasuk sebuah lagu bahasa Inggeris tersebut sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu masa daripada syarikat rakaman di sana untuk dipasarkan.

Pelantun lagu Kerana Terluka itu bagaimanapun mempunyai perancangan tersendiri untuk melancarkan album tersebut menerusi platform digital bagi membolehkan ia didengari di seluruh dunia.

Selain kisah karier, Nourul atau nama lengkapnya, Nurul Huda Abdul Wahab yang ditemui pada Majlis Makan Malam Amal: A Night of Hope di Hotel Palace of The Golden Horses, Sungai Besi, Kuala Lumpur turut bercerita tentang perkembangan peribadinya.

KOSMO!: Boleh Nourul kongsi perkembangan terkini album dalam bahasa Perancis tersebut?

NOURUL: Album tersebut bakal dilancarkan menerusi platform digital dalam masa terdekat. Setakat ini, saya dan Kirsten sudah menyenarai pendek tiga buah syarikat yang bakal bertindak sebagai pembekal tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan.

Hal ini kerana kami masih meneliti apa yang ditawarkan ketiga-tiga syarikat pembekal. Ini merupakan kali pertama saya menggunakan platform digital dan untuk itu, saya perlu mengkaji pasarannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Mengapa anda memilih untuk melancarkan album tersebut menerusi platform digital?

Saya perlu mengikuti arus perubahan industri muzik masa kini. Platform digital boleh diakses di seluruh dunia berbanding album fizikal yang hanya boleh didapati di pasaran Perancis serta Eropah sahaja.

Setakat ini, bagaimana penerimaan masyarakat di sana memandangkan nama anda masih baharu dan barangkali sangat asing buat peminat di Perancis?

Setakat ini penerimaan yang diterima sangat baik dan saya lihat mereka juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan penyanyi baharu apatah lagi pandai bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Malah faktor usia juga tidak menjadi halangan kerana semakin berusia, lagi mereka hormati ditambah pula sudah mempunyai kredibiliti sebagai penyanyi. Saya juga tidak berdepan isu agama kerana mereka menerima saya disebabkan bakat yang dimiliki.





Adakah anda perancangan untuk berhijrah ke Perancis?

Saya memilih untuk berulang alik buat masa ini dan tidak mempunyai masalah kerana sudah biasa mengalami situasi lesu pesawat atau jet lag. Sekiranya memerlukan saya untuk berada di sana bagi tempoh yang lama, saya akan membawa keluarga tetapi bergantung pada situasi kerana anak masih bersekolah.

Sebenarnya suami, Eric Daniel Depp yang menggalakkan saya menembusi pasaran Perancis kerana tidak mahu saya menyesal jika tidak melakukannya apatah lagi peluang sudah terbuka di depan mata.

Adakah anda mempunyai perancangan untuk menghasilkan album bahasa Melayu buat masa ini?

Peminat ada juga bertanya bila saya mahu mengeluarkan lagu terbaharu tetapi biarlah saya fokus terhadap album bahasa Perancis dulu. Saya ada terfikir untuk mengeluarkan single terbaharu tetapi tidak dapat dipastikan lagi.

Tidak dinafikan ada juga peminat yang mencadangkan saya untuk memasuki program Gegar Vaganza tetapi saya menolaknya kerana kekangan masa. Malah, saya ditawarkan untuk menyertai program realiti popular, The Voice Perancis tetapi memilih untuk tidak menyertainya bagi memberi fokus kepada album Humaine.

Bagaimana pula dengan rutin kehidupan sekarang?

Saya sibuk menguruskan anak-anak selain mengusahakan kelab nutrisi yang ditubuhkan sejak tahun 2010. Saya juga mengajar zumba bagi membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. Sebenarnya sudah lapan tahun saya tidak sentuh makanan segera kerana lebih selesa memasak di rumah.

Faktor pemakanan dan senaman sangat penting apatah lagi usia sudah menginjak 41 tahun. Sebagai penyanyi, saya memerlukan stamina yang baik.

Post a Comment

Previous Post Next Post