Ummi Nazeera harap jantina anak perempuan


Gambar imbasan bayi yang dimuat naik Ummi di Instagramnya.

Mendirikan rumah tangga pada 23 Julai tahun lalu bersama lelaki pilihan, Mohd. Izzar Anwari Abd. Khani, pelakon Ummi Nazeera bakal melalui fasa baharu dalam kehidupan iaitu bergelar ibu.

Wanita berusia 28 tahun itu berkongsi khabar gembira tersebut ketika ditemui pada majlis pelantikan duta produk kosmetik Duo Be’Cell di SukaSucre Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkongsiannya, Ummi atau nama lengkapnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin memberitahu, dia mengetahui dirinya hamil sewaktu mengalami kecederaan pada bahagian kaki ketika menjalani penggambaran filem Gol & Gincu 2 terbitan Red Films.

Kata Ummi, dia bertuah kerana memiliki kelebihan suaminya yang juga seorang doktor banyak membantu, terutama melibatkan soal penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan seimbang.





KOSMO!: Bolehkah Ummi Nazeera jelaskan secara terperinci saat mengetahui diri anda sedang hamil?

UMMI NAZEERA: Saya mengetahui diri hamil sejurus selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sewaktu menjalani penggambaran filem Gol & Gincu 2. Kemudian, saya cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik milik kenalan suami (Izzar).

Doktor menyarankan agar saya melakukan pemeriksaan imbasan sinar - X. Justeru, sebelum melakukan perkara tersebut, doktor perlu mendapatkan pengesahan sama ada saya hamil atau tidak. Kemudian, kami melakukan ujian tetapi keputusan menunjukkan samar-samar selain tidak mengetahui sama ada saya positif hamil atau negatif.

Apakah tindakan lanjut yang diambil selepas mendapat berita awal tersebut?

Doktor menasihati agar saya kembali semula melakukan pemeriksaan dua minggu kemudian. Bagaimanapun disebabkan rasa teruja, saya membeli lima batang alat ujian kehamilan dan melakukannya sendiri. Bagaimanapun, keputusannya negatif sehingga saya melakukan ujian kehamilan kedua di sebuah klinik.

Ketika itu, doktor memaklumkan saya hamil. Alhamdulillah, kini kandungan telah memasuki usia empat bulan. Insya-Allah sekiranya tiada masalah, saya dijangka bersalin sekitar bulan Oktober depan.

Tidakkah anda mengalami sebarang simptom sebelum mengetahui diri hamil?

Saya tidak mengalami sebarang alahan atau tanda-tanda seperti muntah dan pening. Biarpun disahkan hamil, saya juga masih melakukan aktiviti terutama meneruskan penggambaran seperti biasa. Saya juga tetap melakukan beberapa babak lasak seperti bermain sukan futsal dan menunggang basikal di lebuh raya.

Adakah anda mengalami sebarang perubahan setelah mengetahui diri hamil?

Saya mudah menjadi letih dan kerap berasa lapar. Kemudian, hampir setiap petang saya akan berasa pening dan muntah-muntah serta tidak boleh tahan dengan bau badan suami.

Selain itu, saya lebih gemar kepada hidangan berat berbanding sebelum ini dan sukakan masakan Thailand. Namun, segalanya berlaku pada awal kehamilan tetapi sekarang tidak lagi.

Adakah anda sedang membuat sebarang persiapan untuk menerima kehadiran cahaya mata pertama?

Buat masa sekarang saya memilih untuk bersalin di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Andorra, Seri Kembangan. Barangan kelengkapan bayi masih tidak disediakan kerana masih terlalu awal memandangkan jantina bayi juga tidak diketahui.

Antara jantina bayi lelaki atau perempuan, yang manakah anda harapkan?

Segalanya terserah kepada rezeki. Paling utama bayi sentiasa berada dalam keadaan baik dan sihat. Sekiranya soal jantina, suami mengharapkan lelaki tetapi menerusi firasat seorang ibu, saya berpendapat bayi ini perempuan. Tidak dinafikan saya sendiri mengharapkan agar jantina anak perempuan tetapi boleh dibuat teman. Jantina bayi bukan satu masalah kerana ini merupakan amanah Tuhan kepada kita.

Adakah anda merancang untuk membuka akaun Instagram anak seperti yang dilakukan oleh kebanyakan artis tempatan sekarang?

Pada saya ia masih terlalu awal selain tidak memikirkan untuk melakukannya pada masa sekarang. Bagaimanapun, sekiranya ia tidak mendatangkan kemudaratan bukan satu masalah untuk saya membuka akaun Instagram buatnya kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post