Ayda Jebat sedar ruang


Tiada secebis pun rasa kecewa dalam jiwa Ayda Jebat sewaktu namanya tidak diumumkan sebagai penerima anugerah bagi kategori Lagu MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) yang berlangsung tempoh hari.

Hal ini kerana, ada segelintir peminat menyifatkan karier Ayda mula berada dalam fasa mendatar dan ada pula meletakkan zaman kegemilangan wanita bertubuh genit itu sebagai penyanyi dan dramatis televisyen sudah sampai ke babak penghujung.

Ironi, sungguhpun dimomokkan dengan pelbagai andaian, wanita berusia 26 tahun itu masih rasional dalam menilai keberadaannya sebagai seorang pelaku seni.

Menurut Ayda, jika lagunya tidak setanding dengan lagu milik calon-calon yang lain, atau kurang memberi impak terhadap khalayak untuk satu jangka masa panjang, dia tidak berasa kekalahannya pada sesebuah majlis penganugerahan menjadi satu kekesalan yang sangat besar.

“Sejujurnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap pencalonan pada malam itu.

“Bukan tidak percaya pada sokongan peminat dan undian mereka, tetapi, calon-calon bertanding memiliki lagu yang diterima jauh lebih baik berbanding lagu saya,” ujar Ayda jujur.

Anugerah

Menurut Ayda, dia sendiri tahu untuk menilai prestasi dirinya berdasarkan pada lagu yang dipasarkan.

“Saya sedar yang lagu Nakal Nakal Nakal tidak mencuit jiwa banyak orang seperti lagu Pencuri Hati. Jadi, jika saya gagal dalam acara anugerah sekalipun, saya tidak terkilan.

“Apa yang boleh saya katakan, malam tersebut bukan malam saya dan rezeki pula berpihak pada penyanyi lain yang barangkali lebih berusaha untuk mengeluarkan lagu-lagu berkualiti demi kelompok peminat masing-masing,” kata Ayda yang sering memantau jumlah penstriman di beberapa platform muzik digital untuk memastikan prestasi dan populariti lagu-lagunya dalam kalangan pendengar.

Melanjutkan bicara, Ayda berkata, dia hanya akan berasa bangga dengan kemenangan jika produk, yakni lagu yang dipertaruhkan menepati piawaian untuk dipilih sebagai pemenang.

“Jika mahu naik ke atas pentas menerima anugerah, biarlah anugerah tersebut setimpal dengan kualiti lagu yang kita pertaruhkan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai anugerah, ada segelintir artis yang lebih menghargai anugerah yang dijurikan secara profesional.

Karier

Menurut mereka, anugerah tersebut lebih mengiktiraf bakat seseorang anak seni itu berbanding anugerah yang diberikan atas undian peminat.

Ditanya adakah Ayda kini lebih memberi fokus terhadap karya-karya yang bagus untuk melayakkannya menerima anugerah yang dijurikan secara profesional, ini jawapan Ayda:

“Kita memilih kerajaan juga menerusi kaedah undian. Jadi, ia menunjukkan bahawa undian peminat mampu menunjukkan kredibiliti seseorang artis itu secara majoriti,” tutur Ayda.

Beralih pada perkembangan kerjayanya, Ayda menjelaskan yang dia bakal menerbitkan sebuah single baharu kelak.

Single yang dikeluarkan selepas lagu Bagai Pelangi itu dijangka menemui peminat seminggu selepas sambutan hari raya, iaitu sekitar Jun depan.

“Lagu terbaharu saya sudah siap dirakam dan akan dilancarkan pada Jun depan.

“Saya berasa teruja kerana ia sangat berlainan dengan lagu-lagu yang pernah saya luncurkan sebelum ini,” kongsinya.

Menurut Ayda, dia turut meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu tersebut kerana ia bakal mengembalikan adrenalinnya untuk menari semula di atas pentas.

“Seperti semua sedia maklum, saya sememangnya gemarkan lagu-lagu berirama pop. Kebetulan lagu ini juga berentak pop dan tidak sabar untuk peminat mendengarnya,” katanya dengan penuh bersemangat.

Selain menunggu masa untuk melancarkan single ketujuh, Ayda juga sedang sibuk melunaskan kerja-kerja penggambaran bagi drama bersiri terbaharu, Cinta Bukan Kristal.

Drama yang turut menggandingkannya buat kali yang kedua bersama pelakon Sharnaaz Ahmad tersebut bakal mengangkat sisi Ayda yang jauh berbeza berbanding watak-watak lakonannya sebelum ini.

“Watak Aryana yang saya lakonkan dalam Cinta Bukan Kristal jauh berbeza dengan watak yang pernah dijayakan sebelum ini. Menerusi drama ini, saya merupakan seorang wanita yang terkena kejutan budaya sehingga jatuh hati terhadap suami orang lain.

“Agak risau juga membawakan watak sebegini kerana saban hari, kita disogokkan dengan kisah kegagalan rumah tangga pasangan suami isteri akibat kehadiran orang ketiga.

“Namun, saya percaya yang lakonan dalam Cinta Bukan Kristal mampu memberi mesej yang baik kepada khalayak, khususnya mereka yang telah berkahwin dan yang mahu mendirikan rumah tangga,” katanya jujur.





Cinta, keluarga

Terlanjur berbicara perihal cinta, Ayda ditebak mengenai statusnya di sisi pelakon Redza Rosli yang dilihat cukup rapat dengannya.

Menolak sebarang kemungkinan mereka kini sedang bercinta, Ayda berkata, dia dan pelakon drama Ku Kirim Cinta itu hanya berkawan rapat.

“Saya sebenarnya tidak mempunyai ramai kawan, baik dalam kalangan orang biasa mahupun selebriti. Namun, saya selesa untuk bersahabat dengan Redza kerana dia tahu membawa diri.

“Jika ditanya soal kahwin, saya rasa sekarang bukanlah masa yang sesuai. Banyak tanggungjawab yang perlu saya lunaskan sebagai seorang kakak dan juga ahli keluarga lain,” katanya.

Ayda turut memberitahu, biarpun ada dalam kalangan adik-beradiknya telah bekerja, dia tetap memberi wang saku kepada mereka sebagai tanda berkongsi rezeki.

“Selain meletakkan ibu sebagai tanggungjawab utama, saya juga masih mengeluarkan belanja untuk adik-adik yang lain.

“Mereka tidak pernah meminta, tetapi, saya sendiri ikhlas memberi kerana mahu berkongsi apa yang saya ada untuk yang lain,” tutup Ayda.

Post a Comment

Previous Post Next Post