Sebaik pengumuman pelakon Adi Putra sebagai pemegang watak pahlawan Melayu, Mat Kilau menerusi filem epik berjudul sama, nampaknya ramai yang terkejut.
Masakan tidaknya, status Adi sebagai pelakon kelahiran Singapura dianggap kurang sesuai dengan tema filem sejarah yang cuba diangkat oleh pembikinnya, Studio Kembara.
Bagaimanapun, pemilihan itu tidak dianggap sebagai satu masalah besar buat pengarahnya, Syamsul Yusof.
Kata Syamsul, ketika membaca skrip dan jalan cerita dia sudah terbayangkan wajah Adi sebagai tonggak dan berasakan tidak seharusnya isu kewarganegaraan menjadi satu masalah.
“Sewaktu pemilihan dibuat syarikat produksi, saya juga terbabit sama. Bagi saya, latar belakang seseorang artis itu tidak sepatutnya menjadi isu.
“Apa yang penting, kami yakin Adi dapat membawakan watak itu dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbabit di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Syamsul Yusof
Kata Syamsul, Adi Putra memiliki ketokohan pahlawan yang mampu menterjemahkan karakter itu dengan baik ke layar perak.
“Sewaktu memilih pelakon, kami tidak hanya menitikberatkan keupayaan atau bakat dimiliki tetapi aura yang ada pada diri mereka untuk menjayakan watak.
“Menggalas watak Mat Kilau bukan tugas mudah. Pelakon yang dipilih perlu meletakkan emosi yang betul selain menyesuaikan diri
dengan babak aksi yang banyak diketengahkan dalam filem kelak,” katanya.
Selain Adi, filem Mat Kilau turut membariskan beberapa pelakon popular lain seperti Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari dan Nadiya Nisaa.
Mengimbas kembali perjalanan pembikinan Mat Kilau, projek itu sebenarnya pernah memulakan penggambaran pertama pada 2014 tetapi dihentikan seketika kerana masalah yang tidak boleh dielakkan.
Hinggalah pada 2017, Syamsul dipilih Studio Kembara untuk menyambung tugas sutradara lama bagi menyiapkan naskhah yang tergendala itu.
Bagaimanapun, anak kepada pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam itu memilih untuk menggarap semula jalan cerita dan memulakan kembali penggambaran.
“Pada mulanya saya bersetuju menerima tawaran untuk menyambung kerja pengarah lama.
“Namun, apabila melihat sebahagian filem yang dirakam, saya mengambil keputusan untuk bermula semula dari kosong,” katanya yang menerima bajet sebanyak RM5 juta dan diberi tempoh dua bulan untuk menyiapkan penggambaran Mat Kilau.
Berkenaan gaya garapan filem epik terbabit, Syamsul menegaskan bahawa skrip yang ditulis bersama Studio Kembara itu bukan diadaptasi daripada kisah sebenar Mat Kilau.
Ia adalah kisah inspirasi yang disuntik dengan elemen fiksyen dan konflik tambahan.
“Karya ini bukan adaptasi kisah sebenar yang dilalui Mat Kilau sewaktu menentang penjajah tetapi lebih berupakan inspirasi perjuangannya.
“Saya menyuntik elemen fiksyen dan konflik untuk memberi lebih warna terhadap jalan cerita sedia ada,” katanya.