Syafiq Farhain kini muncul dengan single terbaharu berjudul Kamar Hati.
Karier sebagai penyanyi bukanlah satu karier yang mudah. Selain perlu bergerak ke pelbagai lokasi bagi memenuhi undangan, bergelar penyanyi juga menuntut banyak pengorbanan dari segi tenaga dan masa.
Namun bagi Syafiq Farhain, biarpun namanya semakin mekar sebagai penghibur pentas dan kerap mengadakan persembahan, dia masih menjalani rutin hariannya sebagai anggota bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat, Putrajaya.
Sudah lima tahun bergelar penjawat awam, Syafiq, 24, berkata, dia tidak melihat dirinya akan meninggalkan bidang tersebut dalam masa terdekat memandangkan tugas sebagai anggota bomba memberi lebih jaminan untuk masa depan.
KOSMO!: Kebanyakan penyanyi yang bekerja tetap akan meletakkan jawatan jika percaya boleh pergi jauh dalam bidang seni, contohnya Zarul Husin yang melepaskan jawatan tetapnya sebagai pramugara biarpun telah berbelas tahun berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia. Adakah Syafiq akan mengambil pendekatan serupa jika nama semakin dikenali?
SYAFIQ: Saya masih memandang pekerjaan bergelar anggota bomba sebagai karier yang menjamin masa depan.
Biarpun pekerjaan ini tidak menjanjikan gaji bulanan lumayan, namun sekurang-kurangnya saya masih berpendapatan tetap jika rezeki sebagai penyanyi berkurangan kelak.
Adakah anda melihat faedah gaji tetap dan pencen sebagai satu perkara yang tidak patut untuk dilepaskan semata-mata mahu mengejar cita-cita sebagai penyanyi?
Benar. Seperti yang kita tahu, bidang nyanyian ada pasang dan surut. Sewaktu ‘pasang’, mungkin kita boleh gembira dengan apa yang diraih. Bagaimana nanti jika suatu hari nanti tiada tawaran nyanyian? Akhirnya, pekerjaan bergaji tetap akan membantu seseorang untuk meneruskan kehidupan.
Bagaimanakah reaksi pegawai-pegawai di jabatan apabila anda semakin aktif dalam bidang seni? Adakah mereka bertolak ansur dalam pembahagian tugas?
Saya bersyukur kerana majikan sangat memahami. Hal ini mungkin disebabkan saya merupakan anggota bomba yang aktif menyanyi dalam majlis-majlis anjuran jabatan. Jadi, mereka sudah terbiasa dengan aktiviti seni saya. Tambahan pula, waktu kerja saya sama seperti penjawat awam lain dan saya hanya memenuhi undangan nyanyian pada sebelah malam atau hujung minggu.
Pernahkah anda menggunakan cuti tahunan semata-mata untuk memenuhi undangan nyanyian?
Saya akui pernah menggunakan cuti tahunan untuk pergi menyanyi. Apabila difikirkan kembali, sayang juga sebab cuti digunakan untuk kerja. Namun, saya anggap ia sebagai rezeki dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah.
Anda kini sudah mempunyai lagu baharu yang berjudul Kamar Hati. Boleh kongsikan sedikit mengenai single tersebut?
Lagu Kamar Hati dicipta oleh Harry Khalifah dan Room None. Jika dibandingkan dengan single pertama iaitu Sayang Maafkan Aku, lagu ini lebih mencabar dari segi vokal.
Bagaimanakah respons peminat apabila lagu berkenaan diterbitkan?
Rata-rata memberi respons yang baik. Setelah sebulan, saya masih mendapat maklum balas positif daripada pendengar. Insya-Allah, pihak label iaitu MVM Music akan mencalonkan lagu ini menerusi program Muzik Muzik.
Pertelingkahan antara anda dan bapa kandung, Saleem pernah mendapat liputan yang luas sekitar tahun lalu. Isu mengenai Saleem dan isterinya, yang juga ibu tiri anda, Julia Bachok menerima pelbagai reaksi daripada peminat. Adakah ia memberi kesan dan adakah anda masih berhubung dengan mereka?
Sejujurnya, saya sudah melupakan perkara tersebut. Saya tidak mahu lagi memikirkan soal pertelingkahan yang telah berlaku. Saya juga diminta oleh pihak pengurusan agar tidak bercakap mengenai pihak yang satu lagi (Saleem dan Julia). Saya harap agar semua memahami.