Hafiz Hamidun beri inspirasi melalui lagu


Umum sedia maklum, tahun 2017 telah meninggalkan satu kisah pahit dalam diri penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun.

Manakan tidak, lelaki berusia 34 tahun yang selama ini terkenal dengan imej ‘bersih’ itu terpalit dengan kontroversi paling hangat. Semuanya berlaku akibat kisah keruntuhan rumah tangga yang pernah dibina bersama wanita bernama Siti Arifah Mohd. Amin atau Joy Revfa menjadi perhatian meluas media dan netizen.

Mengakui sebagai manusia biasa, dia juga mengalami rasa tertekan dan pernah berharap semua yang terjadi hanya mimpi. Bagaimanapun, pelantun lagu Jodoh Berdua itu percaya, kehidupan tetap perlu diteruskan.

Justeru, bagi memberi inspirasi kepada peminat agar jangan mudah tewas dan berputus asa biarpun besar masalah yang mendatang, Hafiz kini tampil dengan single baharu berjudul Jangan Berhenti.

“Selepas isu tahun lalu, ramai bertanya bagaimana saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Setiap orang mempunyai masalah berbeza, antaranya dalam hal rumah tangga dan kerjaya.

“Sebenarnya jika kita terus berusaha ia pasti dapat diselesaikan dengan baik. Tujuan saya mengeluarkan single ini kerana mahu orang lain mendapat inspirasi untuk terus bertahan dan ke depan jika terjadi sesuatu masalah,” katanya yang ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Menggunakan khidmat komposer Azlan Abu Hassan, lirik Jangan Berhenti pula merupakan hasil nukilan dari hati Hafiz sendiri.

Kongsinya, dia mengambil masa selama dua minggu hanya untuk mencari patah demi patah perkataan yang dirasakan sesuai untuk single berkonsepkan pop tersebut.





“Memang saya ambil masa lama hanya untuk menulis lirik kerana mahu memilih perkataan yang benar-benar dekat dengan hati pendengar, seterusnya boleh dikaitkan dengan kehidupan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz sempat diusik soal mencari pengganti yang sesuai sebagai teman hidupnya. Sambil tertawa, dia berkata ‘tragedi’ berkenaan masih baharu.

“Saya akui ramai yang ingin berkenalan, malah menawarkan diri untuk menjadi isteri saya. Sehinggakan, ada yang sanggup datang ke rumah saya di kampung.

“Bagi saya, tragedi itu masih baharu, jadi berilah saya masa dan fokus kepada kerjaya terlebih dahulu,” katanya.

Jelajah
Bercerita lanjut, bermula 14 April lepas, Hafiz telah memulakan siri jelajah ke-11 buah negara antaranya Bosnia, Kroasia, Greece, Turki, Jordan dan Australia.

“Ini merupakan jelajah kerja sambil bercuti bersama sebuah syarikat pelancongan. Saya sangat teruja, lebih-lebih lagi berpeluang menjejakkan kaki ke negara yang belum pernah dilawati.

“Sambil berjalan, saya akan bekerja seperti mencari idea baharu dan merakam video pendek tentang perkara menarik sepanjang jelajah berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga jelajah yang diadakan khas untuk menjayakan kerja amal, misalnya kunjungan saya ke negara Jordan nanti,” kongsinya sambil mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post