Cukup hanya 25 tahun KRU


Album Kompilasi - Memuatkan 30 buah lagu hit sepanjang 25 tahun dalam industri, sebuah album kompilasi KRU bakal dijual secara eksklusif di Istana Budaya sepanjang tiga hari konsert berlangsung.

Saat peminat menanti penuh teruja ketibaan detik konsert kumpulan trio adik-beradik popular, KRU di Istana Budaya sempena ulang tahun ke-25 penubuhan pada Mei depan, ada berita mengejutkan berputar-putar dalam fikiran ramai.

Sewaktu hadir ke Impiana Hotel baru-baru ini atas undangan ke sidang akhbar tergempar KRU, tidak terlintas di fikiran hadirin bahawa ia bakal menjadi suatu titik perubahan terbesar kepada kumpulan itu.

Diiringi dengan titisan air mata yang jatuh pada wajah abang sulung, merangkap ketua kumpulan, Datuk Norman Abd. Halim membuat pengesahan bahawa kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 itu akan dibubarkan, sebaik sahaja tamat konsert 6 Mei depan.

Suasana menjadi tegang dan udara seperti tergamam seolah-olah apa yang terucap dari bibir Norman suatu kesilapan.

Sebaik beroleh ketenangan dan perlahan-lahan menghembus nafas, Norman menegaskan, sudah sampai masanya untuk titik penamat sebegitu dilakukan.

“Saya menangis bukan kerana sedih KRU akan dibubarkan, namun sebak apabila teringat kembali betapa lamanya kami bertahan dalam industri sambil berdepan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Mengucapkan selamat tinggal kepada peminat menerusi Konsert Gergasi 25 Tahun KRU bermula 4 hingga 6 Mei depan adalah perkara terbaik dan termampu kami lakukan untuk setiap sokongan daripada peminat selama ini,” katanya sambil diiringi anggukan daripada Yusry dan Edry.





Profesional

Secara jujurnya, perpisahan, perpecahan atau pembubaran sesebuah kumpulan muzik di Malaysia mahupun dunia bukanlah suatu perkara baharu. Ironinya KRU, hubungan keluarga antara tiga beradik itu meletakkan gambaran bahawa mereka akan kekal selama-lamanya.

Edry hanya tertawa kecil saat mendengar hal tersebut. Tekannya, mereka tetap adik-beradik, yang dilucutkan cuma nama kumpulan.

Pembubaran tersebut juga tidak melibatkan hal peribadi, bahkan lebih kepada kesepakatan atas nilai profesional yang sudah meniti di bibir mereka sejak beberapa tahun lepas.

“Saya, Norman dan Yusry sudah berada pada suatu tahap yang menyaksikan KRU bukan lagi titik fokus utama. Ia sudah berpecah ke arah beberapa hal lain yang pada masa ini lebih penting daripada kumpulan muzik yang menjadi sebahagian daripada kami sejak berusia awal 20-an.

“Saya sendiri berasa sudah tiba masanya untuk fokus kepada keluarga terutama apabila anak ketiga saya, Emre yang berdepan sindrom autism dan memerlukan pengajian khusus di luar negara.

“Alasan saya kedengaran peribadi, namun pembubaran ini terjadi kerana kami semua berasa sudah tiba masanya,” jelasnya lagi.

Yusry yang lebih banyak berdiam pada mulanya turut menyokong kenyataan Edry. Katanya, perkara ini bukanlah dirancang atau mereka sudah menetapkan jarak masa keberadaan dalam industri.

“Jika ditanya 10 tahun lalu, mungkin saya akan mengatakan perkara ini mengarut kerana perasaan itu datang seiring dengan masa dan perubahan diri serta sekeliling.

“Kami tidak menyesal bergelar KRU kerana ia yang membentuk siapa kami hari ini. Cuma, setiap perkara yang menyeronokkan pasti ada penghujungnya,” luah Yusry tegas.

Penyatuan semula
Meskipun secara dasarnya KRU hanya akan bubar selepas tamat konsert pada 6 Mei depan, persoalannya, adakah ada kemungkinan untuk mereka kembali menyatu atau membuat penampilan istimewa dalam mana-mana majlis selepas tarikh berkenaan?

Merenung sejenak dan mengatur bicara agar tidak disalahertikan khalayak, Norman dengan berhati-hati memberi gambaran bahawa perkara sebegitu agak mustahil untuk terjadi.

Apa yang berada dalam minda, baik Norman, Yusry atau Edry kini adalah menamatkan perjuangan dan menghentikan perjalanan KRU hingga 6 Mei depan.

“Bayangkanlah kami seperti sedang dalam pertandingan lumba lari dan sudah makin hampir dengan garisan penamat. Sekarang kami hanya nampak garisan itu sahaja dan tidak sabar untuk melepasinya setelah 25 tahun berlumba.

“Sebagai sebuah kumpulan, saya tidak nampak apa lagi yang ingin kami kejar. Kami pernah muda, remaja dan berseronok dalam industri. Kini, biarlah kami berehat dan mencari impian sendiri pula,” pinta Norman sambil tersenyum penuh makna.

Menyentuh sedikit soal persediaan selepas kali terakhir mengadakan konsert besar pada tahun 2002, Yusry pula menjelaskan, persiapan sedang giat dilakukan terutama dari segi latihan fizikal.

Ini memandangkan kesemua mereka sudah melepasi usia 40 tahun, maka stamina merupakan aspek paling penting dalam persembahan selama dua jam bagi tiga malam berturut-turut tersebut.

Bakal memanggil semula penari latar dan pemuzik yang pernah bekerjasama dengan KRU untuk konsert-konsert terdahulu, Yusry menjanjikan banyak kejutan istimewa khas untuk peminat yang hadir.

“Ini merupakan konsert perpisahan KRU, jadi ia pastinya bakal menjadi sesuatu yang istimewa dan luar biasa.

“Kami juga akan mempersembahkan single baharu dan terakhir KRU iaitu Tahan Lama duet bersama Joe Flizzow di pentas itu nanti,” katanya menutup perbualan.

Nama
Seiring dengan pembubaran KRU, tiga beradik itu hanya mahu dikenali sebagai Norman, Yusry dan Edry Abd. Halim, sekali gus memadamkan pangkal KRU seperti yang lazim digunakan selama ini.

Album kompilaSI

Memuatkan 30 buah lagu hit sepanjang 25 tahun dalam industri, sebuah album kompilasi KRU bakal dijual secara eksklusif di Istana Budaya sepanjang tiga hari konsert berlangsung.

Tiket
Tempahan tiket Konsert Gergasi 25 Tahun KRU yang berharga dari RM158 (tidak termasuk GST) boleh dibuat menerusi laman web rasmi KRU iaitu www.kruarena.com. Setakat ini, 900 keping tiket sahaja yang tinggal daripada 1,300 keping ditawarkan.

Syarikat KRU
Biarpun kumpulan KRU dibubarkan, syarikat KRU akan beroperasi seperti biasa dan mereka bertiga lebih banyak terlibat di belakang tabir sahaja selepas ini.

Konsert Gergasi 
25 Tahun KRU 
pada Mei depan 
pastinya akan 
tersemat sebagai kenangan abadi apabila ia akan menjadi konsert perpisahan Norman,Edry dan Yusry dengan
 peminat setia mereka sebelum KRU dibubarkan sebagai kumpulan muzik selama-lamanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post