Misi Awal Ashaari, Scha Alyahya tingkat kesedaran peminat


Sudah menjadi lumrah apabila bergelar selebriti, tentunya setiap perkara yang dilakukan akan menarik perhatian khalayak, apatah lagi apabila aktiviti harian mereka juga seakan-akan menjadi perkara wajib untuk tontonan umum menerusi pelbagai platform laman sosial yang wujud sekarang.

Bagaimanapun, selebriti juga manusia biasa. Mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang akhirnya boleh menjurus kepada kritikan pedas netizen.

Bukan itu sahaja, terdapat juga netizen yang bersikap keterlaluan dengan menambah ‘rasa’ sehingga sanggup menyebarkan cerita palsu yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah buli siber. Hal ini tidak dinafikan turut berlaku kepada khalayak biasa.

Bertemu dengan pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya ketika pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu baru-baru ini, jelas terpancar garis wajah kelegaan pada wajah mereka.

“Saya dan isteri tidak berfikir panjang ketika dipelawa oleh Datuk Hans Isaac untuk menyertai kempen ini. Saya anggap ia merupakan peluang keemasan buat kami untuk berkongsi pengalaman kepada masyarakat di samping meningkatkan kesedaran tentang hak mereka apabila menjadi salah seorang mangsa buli siber,” kata Awal memulakan bicara.

Tanpa berselindung, kongsi Awal, keluarganya merupakan antara yang terawal menjadi mangsa buli siber sehingga mengheret kakinya berkunjung ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan bantuan bagi menangani isu berkenaan.

“Kami menerima pelbagai tohmahan ketika anak saya Lara Alana baru hendak membesar. Malah, ada pihak yang sanggup membuka sebuah blog untuk menghasut orang ramai agar membenci anak saya. Itu belum campur pihak yang memberi komen berunsur kutukan dengan menggunakan akaun palsu.

“Malangnya, ketika itu tiada akta berkaitan buli siber diwujudkan. Alhamdulillah, tahun ini apabila akta tentang jenayah ini mula diperkenalkan, tentunya kami antara orang yang berasa lega,” katanya.





Teladan

Dalam pada itu, Scha yang setia berada di sisi suaminya pula berkata, kempen melibatkan 16 orang artis ternama seperti Alif Satar, Nora Danish, Maya Karin, Neelofa, Alex Yoong, Kavitha Sidhu dan Joe Flizzow tersebut bukan sekadar sebuah kempen biasa.

“Kami bersetuju menyertai kempen ini bukan kerana disebabkan status sebagai selebriti tetapi ia lebih kepada satu tanggungjawab.

“Menerusi kempen ini, kami ingin menekankan kepada mangsa tentang sokongan yang mereka ada. Pelbagai saluran juga boleh dirujuk untuk mengadu masalah yang dialami selain memberi pengajaran kepada pembuli,” kongsinya.

Ditebak soal pembuli siber yang tertangkap kebiasaannya terdiri daripada anak-anak muda, bahkan ada yang masih di bangku sekolah, ujar pelakon drama Urusan Hati Cik Drama Queen itu, orang dewasa haruslah memberi teladan yang baik dalam mendidik generasi muda.

“Memang diakui ramai pembuli siber yang tertangkap kebanyakannya terdiri daripada orang muda, jadi kita perlu kaji semula punca yang menyebabkan mereka terlibat dengan gejala ini.

“Jika mahukan generasi yang membesar dengan persekitaran ‘sihat’, ia perlu bermula dengan ibu bapa atau orang dewasa dengan memberikan contoh teladan yang baik kepada mereka,” luah Scha.

Menambah bicara, Awal menyifatkan golongan ibu bapa sebagai pihak yang harus bertindak pada peringkat awal. Baginya, ibu bapa perlu rajin memantau aktiviti anak-anak di laman sosial.

“Tidak dinafikan ada ibu bapa yang dihalang untuk menjadi pengikut anak mereka di laman sosial. Jika hal itu terjadi kepada saya, tentu saya sudah pertikaikan kerana mereka seolah-olah merahsiakan sesuatu daripada ibu bapa.

“Jenayah siber ini terlalu luas sehingga banyak perkara yang tidak kita jangka boleh terjadi. Dengan adanya kempen ini, kami bukan ingin menangkap orang tetapi ingin mencipta kesedaran kepada pembuli siber agar berfikir dengan waras sebelum menulis sesuatu dalam laman sosial,” terangnya panjang lebar.

Kelab peminat

Sengaja menukar topik perbualan, pasangan yang mula mengikat tali perkahwinan sejak tahun 2012 itu kemudian diajak berbicara soal populariti mereka yang dilihat semakin merudum dengan kebanjiran ramai pasangan selebriti lain.

Ditanya, apakah strategi yang dilakukan bagi meningkatkan semula populariti mereka, pemenang kategori Pasangan MeleTOP menerusi Anugerah MeleTOP Era pada tahun 2015 itu kemudian tertawa kecil.

“Sebenarnya saya dan Scha antara artis yang tiada kelab peminat sejak dari dahulu. Kami tidak pernah mengadakan majlis makan malam atau mengadakan aktiviti bersama peminat.

“Selama ini sokongan mereka terhadap kami juga datang secara semula jadi. Pendek kata, jika peminat berasa kami masih relevan mereka boleh teruskan menyokong. Jika sudah bosan, kami tidak kisah kalau mereka hendak beralih kepada pasangan selebriti lain,” kata Awal.

Mengakui sudah 14 tahun berada dalam industri, Awal juga sudah melihat bagaimana perubahan kelab peminat yang bertukar mengikut populariti semasa bagi setiap artis.

“Tidak dinafikan ramai rakan artis mempunyai kelab peminat. Itu adalah inisiatif dan hak mereka. Bagi saya, situasi ini datang dan pergi. Kami sendiri pernah lalui zaman diberi perhatian dan disanjung ramai.

“Selagi kami melakukan formula yang sama sejak dahulu untuk bertahan dalam industri, saya percayakan kuasa rezeki.

“Bagi saya, cukuplah kami buat kerja sendiri dengan berlakon, mengacara dan menguruskan perniagaan, kerana Pasangan MeleTOP sekadar gelaran,” tuturnya seraya menutup bicara.

Sering kali menjadi mangsa buli siber, kesempatan menyertai Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu membuatkan pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya teruja untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam berhubung jenayah internet.

Post a Comment

Previous Post Next Post