Jodoh rakan sekolah Dynas Mokhtar, Shazrik


Kegagalan rumah tangga yang dilalui pelakon tinggi lampai, Wan Intan Edrinas Datuk Seri Wan Mokhtar, 35, atau Dynas empat tahun lalu telah membina sebuah tembok tinggi dalam kehidupan wanita itu.

Tidak malu mengakui dirinya berdepan tekanan perasaan untuk suatu tempoh agak lama selepas bercerai, Dynas tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti, dia akan berjodoh dengan bekas rakan sekolah. Lelaki yang dimaksudkan ialah Mohd. Shazrik Che Mohd Din.

Kembali bergelar isteri buat kali kedua dengan sekali lafaz pada tanggal 22 April lalu, Dynas dinikahkan sendiri oleh bapanya sambil disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Masjid Sultan Salahuddin Abd. Aziz Shah, Khairul Anuar Mulim dengan mas kahwin sebanyak RM1,001.

Anggun menyarung busana putih rekaan Syaiful Baharim, Dynas turut menerima wang hantaran sebanyak RM30,000 dan tujuh dulang daripada pengantin lelaki berbalas sembilan oleh pihak perempuan.

“Saya masih gementar walaupun ini bukan kali pertama bernikah. Sebaik sahaja lafaz akad nikah selesai, saya masih cuba menahan air mata daripada gugur, namun apabila dipeluk oleh ibu saya, Datin Rasiah Shaharuddin, perasaan sebak terus menguasai diri.

“Wajah anak-anak saya, Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 4, juga menunjukkan kegembiraan sewaktu berlangsungnya majlis pernikahan saya. Saya amat bersyukur. Semoga jodoh saya dan suami kali ini akan berpanjangan sampai syurga,” katanya selepas ditemui di kediaman keluarganya di Shah Alam usai majlis pernikahannya.

Menyifatkan suaminya sebagai seorang individu paling tenang dan sabar yang pernah dikenali, pelakon Syurga Yang Kedua itu memberitahu, antara sebab dia jatuh hati pada Shazrik ialah menerusi cara lelaki itu menghadam perangainya yang kadangkala agak keterlaluan.

“Saya seorang yang keras kepala dan panas baran, jadi kami kerap bergaduh. Namun begitu, Shazrik tidak pernah jemu memujuk dan sentiasa ada dengan saya walaupun ketika saya memaksanya pergi. Saya dapat lihat ketokohannya sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang baik untuk saya, insya-Allah,” jelasnya lagi.





Tidak pura-pura

Shazrik yang berstatus bujang sewaktu sedang bercinta dengan Dynas pula mengakui agak sukar untuk meyakinkan isterinya bahawa dia tidak pernah menganggap status janda anak dua sebagai halangan dalam perhubungan mereka.

Sering kali disuruh untuk mencari wanita yang masih berstatus anak dara, Shazrik yang juga seorang ahli perniagaan memberitahu, perkara yang membezakan isterinya dengan wanita lain ialah kejujuran yang ada pada Dynas.

“Saya mengenali Dynas sejak dia berusia 17 tahun dan dia tidak pernah berubah. Dia seorang yang telus dan menjadi diri sendiri serta tidak berpura-pura semata-mata untuk kelihatan sempurna.

“Cara dia melayan keluarga saya dan menjaga anak-anaknya sebagai ibu tunggal membuatkan saya tahu, inilah wanita yang akan bersama saya sewaktu susah dan senang,” tuturnya panjang lebar.

Memandangkan masing-masing berasal dari Terengganu, pasangan pengantin baharu itu bercadang untuk balik kampung bersama anak-anak dan mengunjungi lokasi di sana seperti Pulau Redang.

Shazrik memberitahu, buat masa sekarang mereka masih belum memikirkan soal bulan madu berdua memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya.

Tidak mahu membuat perancangan berkenaan cahaya mata, Shazrik berkata, dia dan Dynas menyerahkan semuanya kepada Allah SWT memandangkan usia mereka berdua juga sudah melepasi 30 tahun.

“Doakan yang terbaik untuk keluarga kami agar dimurahkan rezeki untuk menimang anak seramai yang mungkin,” katanya sambil tertawa dan menyimpul perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post