Pada usia 53 tahun, beliau masih hebat berdiri melantunkan vokal bertenaganya dan meneruskan langkah sebagai seorang anak seni yang disegani ramai. Itulah Datuk Hattan.
Lebih tiga dasawarsa berkecimpung dalam dunia seni, pengalamannya bukan satu dua dan kejayaan yang dibinanya bukan juga diukir menerusi satu malam. Justeru, pemilik nama sebenar, Mohd. Shukri Shahabudin itu wajar dijadikan teladan buat artis masa kini.
Hattan yang ditemui pada majlis Makan Malam Horey Horey 2018 anjuran Kosmo! di Hotel Sunway Clio, Petaling Jaya baru-baru ini meluahkan rasa pelik dan khuatir dengan nuansa industri muzik hari ini yang seperti terkebelakang.
Dari kaca matanya, perkara tersebut ada kaitan dengan keasyikan segelintir penyanyi baharu yang terlalu mengejar glamor berbanding menghadirkan kualiti terbaik dari segi perkongsian muzik.
Menolak untuk memiliki sebarang akaun laman sosial seperti Facebook mahupun Instagram, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Memburu Rindu itu bagaimanapun mendedahkan, beliau amat mengagumi bakat-bakat baharu seperti Kugiran Masdo dan Hael Husaini.
Sementara itu, terbaharu, Hattan kini muncul dengan single baharu berjudul Tidak Pasti Jangan Kongsi duet bersama anak lelaki tunggalnya, Adam Eiman.
KOSMO!: Apa khabar Hattan? Dengarnya anda sedang sibuk dengan single terbaharu, jadi boleh kongsikan agenda yang telah dirancang buat masa ini?
HATTAN: Khabar baik. Buat masa sekarang, saya memang sedang sibuk dengan persembahan jelajah di 48 kawasan di seluruh negara.
Persembahan jelajah ini dilakukan bersesuaian dengan kempen Tidak Pasti Jangan Kongsi yang turut mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Zaman sekarang zaman teknologi, semua benda ingin ditularkan yang akhirnya menyebabkan jenayah buli siber. Persembahan itu akan dijayakan hingga bulan Mei depan.
Bagaimana pula dengan duet bersama Adam, boleh jelaskan?
Single tersebut merupakan sebuah lagu berentak lagu reggae edaran Warner Music. Ia sudah mula boleh didapati menerusi aplikasi muzik seperti iTunes, Spotify dan Joox.
Alhamdulillah, sambutan peminat amat baik terutama di Negeri Sembilan. Di corong-corong radio juga ia semakin diterima, cuma sukar sedikit mendapat laluan siaran kerana radio arus perdana gemar memainkan lagu ikut stail pilih bulu.
Apakah yang cuba anda maksudkan dengan terma pilih bulu?
Secara jujurnya, saya cuba untuk menjelaskan pandangan peribadi terhadap senario muzik semasa. Saya tiada masalah dengan penyanyi-penyanyi baharu tetapi kalau terlalu ramai sangat lagu atau penyanyi yang mencuba untuk tampil dengan perkara yang sama atau stereotaip, ia boleh membunuh industri itu sendiri.
Semua pihak seperti terlalu ikutkan sangat kehendak trend muzik 1990-an yang ‘dilentokkan’ sehingga tiada ruang perkara atau muzik lain yang lebih membina.
Menyanyi pun entah apa-apa, harapkan glamor dan pengikut di Instagram sahaja, namun sampai bila mereka akan bertahan dalam industri kalau acuannya begitu.
Kalau ada pun penyanyi masa kini yang anda gemari, boleh anda namakan siapa dan kenapa?
Saya layan juga lagu-lagu daripada penyanyi generasi baharu seperti Hael Husaini. Saya hormat bakat dan pegangan muzik mereka yang disifatkan sebagai bagus. Nasihat saya, cuma jangan lupa diri. Apabila sudah berada di atas, jangan lupa pandang ke bawah kerana takut apabila sering dihambur pujian, mata sudah tidak nampak apa yang berada di bawah.
Selain itu, sekarang saya layan muzik daripada Kugiran Masdo. Saya tertarik dengan lagu-lagu cetusan idea 1960-an seperti Teruna dan Dara serta sebuah lagi berjudul Bunga. Bagi saya, muzik yang mereka tonjolkan bagus dan segar. Kepelbagaian muzik sebegini yang membuatkan industri muzik tempatan terus mekar dan tidak terbatas.
Berkenaan Adam (anak) yang mempunyai kecenderungan muzik berbeza berbanding anda, boleh berikan pandangan?
Saya akui, Adam mempunyai pengaruh muzik berbeza. Dia lebih ‘mat saleh’ (ketawa). Lagu Tidak Pasti Jangan Kongsi, bahagian liriknya dia yang tulis sendiri dan boleh saya katakan, dia seorang penulis lirik yang kuat kritikan sosial.
Saya tidak pernah menghalangnya untuk buat apa yang dia suka dalam hidup. Insya-Allah, sekitar bulan Ogos nanti, kalau tiada aral melintang, Adam akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Acara di University of Surrey, United Kingdom.