Heliza Helmi menafikan dirinya sudah berkahwin serta semakin sibuk dengan pelbagai agenda harian yang perlu dipenuhinya.
Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, nama penyanyi dan pengacara, Heliza Helmi tiba-tiba menjadi bualan apabila wanita berusia 32 tahun itu dikatakan telah mendirikan rumah tangga secara senyap.
Menurut ruangan tersebut, alumni Akademi Fantasia musim kelima itu didakwa enggan menghebahkan tentang perkahwinannya kerana mahu menjaga reputasi suaminya.
Dalam pada itu, perubahan fizikal pada wajah Heliza yang kini kelihatan sedikit tembam sejak kebelakangan ini juga menjadi penguat teori ruangan pojok tersebut.
Untuk mendapatkan kepastian, Kosmo! menghubungi Heliza yang kini cukup aktif melibatkan diri dengan program-program agama dan kemanusiaan.
Berpeluang berbicara dengannya, pengacara rancangan SIS itu menafikan khabar angin yang mengatakan dia kini telah bergelar isteri orang.
Tutur Heliza, dia masih lagi berstatus solo dan perubahan saiz tubuh yang berlaku adalah disebabkan rutin makannya yang tidak menentu.
KOSMO!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Heliza kini telah berkahwin dan memilih untuk merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan ramai?
HELIZA: Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya masih belum berkahwin. Saya sendiri hairan bagaimana kisah sedemikian boleh timbul kerana ia tidak berasas sama sekali.
Apakah komen anda apabila perubahan bentuk wajah dan tubuh yang makin berisi dikaitkan dengan khabar angin berkenaan?
Sebenarnya, saya memang mahu menaikkan berat badan. Maklumlah, dulu tubuh saya sangat kurus. Jadi, saya memang punya sasaran menaikkan berat badan untuk kelihatan lebih berisi. Dalam masa sama, jadual kerjaya yang padat juga turut menyumbang kepada pola pemakanan kurang seimbang sehingga menyebabkan saya kerap makan lewat malam.
Anda terlibat dengan aktiviti apa sehingga jadual terlalu padat?
Banyak yang saya kerjakan sejak kebelakangan ini. Selain menerima undangan untuk mengacarakan majlis, menyanyi, mengumpul dana untuk tabung bantuan Syria dan menghadiri usrah, saya juga turut terlibat dengan ceramah agama di seluruh negara.
Kemudian, saya turut mengambil inisiatif untuk membantu pesakit jantung dengan menjual tudung di bawah jenama Heliza Guzel Hive.
Jadual anda kelihatan sangat padat. Bagaimanakah anda meluangkan masa untuk diri sendiri?
Sejujurnya, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk berehat. Bagi saya, bercuti bukanlah satu keutamaan. Cara saya ‘merehatkan’ diri dan jiwa adalah dengan pergi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, tidak kira dalam dan luar negara.
Terbaharu, sekitar tahun lalu, saya sendiri ke Bangladesh untuk memberi bantuan perubatan kepada masyarakat Rohingya. Melalui pengalaman itu, kita dengan sendirinya akan berasa lebih bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada negara kita.
Walaupun penat, anda tetap memenuhi pelbagai jemputan. Mengapakah anda memilih untuk berbuat demikian?
Sebagai seorang Muslimah, saya berasa bertanggungjawab untuk melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kebaikan kepada orang lain. Disebabkan itu, saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan saya kekuatan dan pertolongan untuk menggunakan nyawa yang dipinjamkan ini ke arah kebaikan.
Heliza, bolehkah anda memberikan pandangan mengenai kebanyakan artis pada masa kini yang dilihat seperti menunggang agama untuk menghalalkan sebarang tindakan dan kehendak mereka?
Sejujurnya, saya tidak mempunyai hak untuk bercakap mengenai perkara ini. Namun, bercakap sebagai mewakili diri sendiri, kita kadang-kadang pun pernah tergelincir daripada landasan. Justeru, kita sama-sama sentiasa bermuhasabah dan sentiasa ikhlaskan diri dalam segala hal.
Bagaimanakah pula dengan tabiat pengguna laman sosial yang secara beraninya mengutuk dan menjatuhkan hukum terhadap orang lain?
Sebagai seorang manusia, sentiasalah ingat kepada Allah setiap kali ingin melakukan sesuatu. Jika kita mahu memuat naik sesuatu, fikirkan, sama ada Allah akan suka atau murka. Bukan tidak boleh menegur, tetapi tegurlah dengan lembut dan penuh hikmah. Insya-Allah, kita akan dapat kurangkan perdebatan di media sosial.