Melihat perkembangan industri seni suara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, boleh dikatakan dunia muzik tempatan meriah dengan kehadiran muka-muka baharu tidak kira penyanyi solo atau band.
Situasi sebegitu memberi tuah buat kumpulan Sevendays membina tapak selepas lahir daripada sebuah program realiti pada tahun 2015 dengan gelaran juara.
Tampil dengan single sulung berjudul Memori sebagai introduksi dalam industri, ada banyak harapan yang terbit daripada kumpulan yang dianggotai lima anak muda itu.
“Sejak dilancarkan pada November tahun lalu, lagu kami mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sehingga kini mencatat hampir 40,000 kali tontonan di YouTube,” ujar vokalisnya, Mohd. Kamarul Kamari atau Arul.
Lebih istimewa, lagu tersebut mendapat sentuhan daripada komposer Hang Nadim dan Freddie Hyperact.
Menyedari industri semasa yang kini lebih tertumpu kepada genre balada 1990-an membuatkan Sevendays bersiap-sedia dengan misi mereka iaitu jajaran muzik yang lain daripada kebiasaan.
Mempertaruhkan balada pop rock untuk lagu Memori, Sevendays bagaimanapun tidak akan menumpukan perhatian terhadap satu-satu genre semata-mata.
Ironi, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2013 itu mempunyai jaluran muzik sendiri iaitu new metal. Namun, memikirkan soal pasaran dan kehendak pendengar masa kini yang lebih cenderung ke arah muzik segar membuatkan mereka akur dengan pilihan yang ada.
“Bukan tidak berani untuk membawa muzik yang kami perjuangkan sejak dahulu. Cuma, risau kalau peminat terkejut dengan genre ini.
“Lagipun sekarang peminat mudah hadam dan sedang selesa dengan lambakan genre muzik sedia ada dalam pasaran. Jadi, kami ikut perancangan sebelum bersedia memberi sentuhan baharu dalam industri untuk single yang lain selepas ini,” ujar si pemain dram, Afandi.
Bukan sekadar mahu menjadi penghibur, azam dalam diri anak muda itu adalah untuk menyebarkan mesej dalam muzik yang dibawa.
“Kami jadi penyanyi bukan sekadar minat atau ikut orang. Tetapi ia adalah minat dan seiring dengan motif mahu menyemai mesej positif menerusi penyampaian lagu.
“Sebagai orang baharu dalam industri, kami sangat berharap masyarakat dapat menerima apa yang diberikan kerana muzik tidak boleh dipandang dari satu sudut sahaja,” tutup Arul.