Siti Nurhaliza pilih bersederhana



Seperti keadaan wanita hamil lain, kudrat Siti Nurhaliza yang kini telah memasuki bulan ketujuh kehamilan dilihat agak terbatas.

Pergerakan beliau sedikit perlahan, manakala staminanya yang dahulu mampu menggegarkan sebuah stadium menerusi penganjuran konsert berskala besar selama dua jam tanpa henti kini susut mendadak.

Biarpun sering diserang keletihan dan sesekali tangan kanannya membengkak dan kebas, rutin harian penghibur berusia 39 tahun yang dilabel peminat sebagai penyanyi nombor satu negara itu masih berjalan seperti biasa.

Hal tersebut dibuktikan menerusi kehadiran beliau pada majlis ulang tahun Sitizone ke-14 yang berlangsung di Bizmilla Insya Hall, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Tampil mengenakan busana pastel berona biji kundang dengan olesan mekap polos pada jelapang wajahnya petang tersebut, Siti ramah menjawab soalan mengenai perasaannya yang sedang menghitung hari menanti kelahiran puteri sulung pada Mac depan.

“Biasalah, sindrom ibu mengandung yang cepat keletihan dan sakit-sakit badan. Sejak kebelakangan ini, tangan kanan saya kerap mengalami rasa kebas.

“Menurut doktor, masalah tersebut normal dan ia akan pulih sebaik sahaja bayi dilahirkan,” tutur penyanyi lagu Aku Bukan Malaikat itu membuka bicara.

Memasuki bulan ketujuh kehamilan, Siti mengakui bahawa perasaan gemuruh semakin kerap bertandang meskipun sentiasa menerima sokongan daripada keluarga dan peminat tersayang.

“Ketika baru hamil, masa terasa begitu lambat berlalu. Namun, apabila kandungan sudah berusia empat hingga lima bulan, secara tiba-tiba perasaan kerap berdebar dan gemuruh.

“Bagaimanapun, saya dan suami tidak mahu melahirkan rasa teruja. Apa yang saya dan suami mahukan hanyalah kelahiran bayi yang sempurna selain sentiasa berdoa agar dia kelak membesar sebagai seorang anak yang solehah,” katanya.


Baby shower

Proses kehamilan barangkali merupakan fasa paling manis bagi kaum wanita. Banyak perkara yang ingin didokumenkan agar memori tersebut dapat diputarkan kembali ketika anak-anak sudah menginjak usia dewasa.

Salah satu trend yang menjadi pilihan wanita sejak akhir-akhir ini adalah meraikan proses kehamilan tersebut dengan mengadakan keraian baby shower.

Sungguh trend tersebut begitu popular dalam kalangan selebriti, namun menurut Siti, beliau lebih selesa untuk mengadakan majlis doa selamat dengan mengundang kaum keluarga terdekat, pelajar-pelajar tahfiz dan juga ahli-ahli masjid.

“Seperti baru-baru ini, kami mengadakan majlis doa selamat sempena usia kandungan saya yang telah memasuki tujuh bulan. Pada masa sama, kami turut menyambut sambutan Maulidur Rasul.

“Pada pandangan saya, majlis baby shower itu kalau tiada pun tidak mengapa. Saya tidak kisah. Apa yang penting ada majlis doa selamat,” katanya lagi.

Berbicara lanjut mengenai perancangannya selepas bersalin, Siti berkata, suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mahu melihat beliau memberikan susu badan buat bayinya kelak.

“Menyusu badan mungkin akan memberi pengalaman baharu buat saya. Maklumlah ia menuntut kesabaran yang tinggi daripada seorang wanita bergelar ibu.

“Jadi buat masa ini, saya telah mula belajar daripada menantu, Tya yang masih lagi menyusu badan kepada anaknya, Arif Jiwa,” ujar beliau yang sungguh kagum dengan kesungguhan Tya mengepam susu setiap selang dua jam untuk diberikan kepada anaknya.

Nyanyian

Mengikut perancangan, Siti bakal berehat dan mengosongkan jadual seninya selepas menghadiri majlis pembukaan butik Ariani di Ostia Bangi, Selangor yang dijadualkan berlangsung esok.

Begitupun, sebelum mengambil keputusan untuk berehat panjang, beliau sempat mencuri masa sekitar dua minggu lalu untuk merakamkan lagu yang didedikasikan untuk anaknya berjudul Comel Pipi Merah.

Menurut Siti, lagu tersebut diinspirasikan daripada dodoian arwah bapanya, Tarudin Ismail yang sering didengar ketika beliau masih kecil.

“Saya memang biasa mendengar arwah abah menyanyikan lagu dodoi ketika kami masih kecil. Jadi, saya ambil bahagian dodoian tersebut dan mencantumkannya dengan lagu Can Mali Can yang telah ditukarkan lirik.

“Melodinya sangat cepat ditangkap oleh pendengar dan tidak sangka Tya juga sudah mula menyanyikan lagu tersebut untuk mendodoikan anaknya,” ujar Siti sambil tertawa.

Berkenaan dengan edaran, Siti berkata, lagu Comel Pipi Merah ciptaannya itu akan dihantar ke stesen-stesen radio dan platform digital dalam masa terdekat.

“Adunan bunyi untuk lagu ini telah siap minggu lalu, jadi saya sedang menunggu pihak pengurusan mengedarkannya ke stesen radio dan beberapa platform digital.

“Insya-Allah, peminat boleh mendengar lagu ini sebelum saya selamat bersalin,” katanya.

Tabung

Selain bertemu dan beramah mesra dengan peminat, pada hari yang sama, Siti turut melancarkan tabung kebajikan yang diberi nama Tabung Sitizoner.

Menurut Siti, tabung tersebut dilancarkan bertujuan untuk membantu ahli kelab peminatnya, Sitizone yang diserang penyakit atau dilanda musibah.

“Sejak Sitizone ditubuhkan, saya dan peminat membesar bersama-sama. Sepanjang tempoh tersebut, ada ahli kelab yang mengalami kesusahan.

“Justeru, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” ulasnya.

Namun, sumbangan tersebut hanya dilakukan pada majlis sambutan ulang tahun Sitizone, bukan secara konsisten jika ada musibah yang melanda ahli kelab pada masa akan datang.

“Sumbangan ini diberikan untuk hari ini sahaja dan ia dikumpulkan daripada yuran penyertaan peminat untuk majlis ulang tahun ini.

“Bagaimanapun, jika pada masa akan datang ada dalam kalangan peminat yang memerlukan bantuan, kami akan bantu. Seperti sebelum ini, bantuan akan dikumpulkan menerusi Facebook dan ia akan diagihkan mengikut situasi,” katanya yang tidak menolak jika ada yang mahu menghulurkan bantuan atau sumbangan secara peribadi selepas ini.

Pada majlis tersebut, empat ahli kelab menerima sumbangan menerusi Tabung Sitizone tersebut. Mereka ialah Shaihanim Shariff, Irham Hafidz, Zarina Omar dari Singapura dan ahli Sitizone yang telah meninggal dunia, Allahyarham Darjadi Duprayitno Dapat dari Indonesia.

Sementara itu, mengenai perancangannya selepas tempoh berpantang, Siti akan menumpukan perhatian kepada dua konsert besar yang bakal berlangsung di Singapura dan Indonesia.

“Buat masa ini, saya masih belum memberikan kata putus. Pihak penganjur dari kedua-dua negara telah berhubung dengan pihak pengurusan saya.

“Tarikhnya sekitar penghujung tahun ini. Jika saya bersetuju, baru mereka akan umumkan lokasi untuk konsert berkenaan,” ujarnya.

Ditebak dengan soalan adakah beliau sedar yang kebanyakan penyanyi wanita hilang sedikit keupayaan vokal selepas melahirkan anak, ini jawapan Siti.

“Saya sedia maklum ada penyanyi yang mengalami kesukaran untuk melakukan persembahan selepas bersalin. Ada juga yang saya lihat mampu menyanyi walaupun dikurniakan ramai anak.

“Suara ini anugerah Allah. Apa pun kekurangan atau perubahan yang saya alami selepas ini, saya akan terima dengan tenang. Kita bukanlah mesin. Setiap perkara yang dilakukan perlu mengikut keupayaan diri,” tutup Siti.

Post a Comment

Previous Post Next Post