Yuna menghitung hari


Yuna bersama tunangnya, Adam Sinclair.

Belek-belek Instagram, ternampak gambar senyum bahagia penyanyi Malaysia yang bertaraf antarabangsa, Yuna dikelilingi bunga-bunga indah.

Orang tengah menghitung hari, tanpa bunga pun dalam hati macam ada taman, inikan pula baring di tengah jambangan bunga, mekar setaman sekebun bungalah jadinya.

Sebelum Yuna, 32, sah bergelar isteri kepada Adam Sinclair, iaitu adik kepada Aishah dan Ashraf Sinclair, mereka sudah bertunang pada Ogos tahun lalu dalam sebuah majlis di Shah Alam, Selangor.

Hujung minggu lalu, terselit nama Yuna dalam majlis pelancaran sebuah butik bunga popular di ibu negara.

Ramai juga wartawan hadir dengan harapan dapat bersua muka dengan Yuna, manalah tahu pelantun lagu Terukir Di Bintang itu sudi berkongsi serba sedikit tentang hari bahagia. Namun lantaran kepadatan acara, hasrat tersebut terbiar sepi sahaja. Yuna pun nampak sibuk, habis acara terus balik.

Tak mengapalah, sebab dia akan muncul dengan sebuah sidang akhbar pada Sabtu ini berhubung pernikahannya. Jadi, jumpa di sana sahajalah.

Sementara Mizz Lahar pun banyak kerja lain nak buat, semalam sempat juga minum-minum petang dengan seorang kawan yang kerjanya tak ubah macam mata-mata gelap.


Katanya, Yuna memang akan buat sidang akhbar tetapi ada desas-desus mengatakan bahawa sidang akhbar tersebut bukan tentang pengumuman bila mereka hendak bernikah. Sebaliknya ketika itu, mereka sudah selamat berkahwin.

Kalau betul begitu, majlis tersebut akan jadi pertemuan pertama Yuna dan Adam bersama media usai mereka bergelar suami isteri.

Persoalannya, bila sebenarnya Yuna bernikah? Ada yang bisik kepada Mizz Lahar minggu ini. Malah, tarikh majlis resepsi Yuna dan Adam juga dikatakan jatuh sehari sebelum sidang akhbar diadakan.

Apa-apa pun Mizz Lahar doakan yang terbaik buat Yuna, Adam dan keluarga besar mereka.

Jika selama ini keluarga Sinclair sudah ada bintang dari seberang, Bunga Citra Lestari sebagai salah seorang menantu, sekarang tambah lagi sebutir kejora, famili anak seni sangat!

Post a Comment

Previous Post Next Post