Menjalani proses menjadi ‘orang baharu’ selepas memeluk agama Islam menjadi fasa pembelajaran untuk penyanyi dan pelakon Marsha Milan mengenali lebih jauh tentang agama suci itu.
Biarpun tidak banyak perubahan yang berlaku berbanding kehidupan terdahulu, namun dia menyatakan keterujaan kerana ia perkara baharu yang sedang dinikmatinya kini.
Bertemu pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh itu pada majlis pengenalannya sebagai duta barang kemas De Lunaria baru-baru ini, Marsha berkongsi perasaan menjalani perubahan kehidupannya sebagai Muslim selain turut bercerita tentang perkembangan kariernya.
Memeluk agama Islam beberapa minggu sebelum mendirikan rumah tangga pada 31 Disember 2015, Marsha berkata, masih terlalu banyak perkara yang perlu dipelajarinya dalam membentuk sahsiah diri sebagai seorang mualaf.
Peluang mengerjakan ibadah umrah pada tahun lalu juga menerima pelbagai reaksi positif daripada peminatnya. Rata-rata daripada mereka bersyukur kerana suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail dan keluarga mertuanya banyak membimbing Marsha dengan cara yang betul.
Malah, ada juga timbul harapan apabila peminat mengimpikan agar pelakon filem Jwanita itu tampil berhijab selepas pulang dari Tanah Suci.
Berterima kasih atas keprihatinan itu, Marsha dengan lembut menuturkan jawapan: “Saya sedar ramai peminat yang mahu saya tampil berhijab selepas menunaikan umrah. Ia bukan soal bersedia atau tidak. Cuma bagi saya, seseorang itu perlu memperbetulkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mahu melakukan perubahan besar seperti berhijab.
“Sebab kalau mahu berhijab, ia harus dilakukan dengan betul. Bukan sekadar pakai. Terima kasih atas perhatian anda semua, doakan saya untuk ke arah itu suatu hari nanti.”
Rumah mertua
Proses pembelajarannya sebagai seorang muslimah banyak dibantu oleh keluarga mertua sementelah dia juga kini sudah dua tahun tinggal sebumbung bersama orang tua suaminya.
Tidak merancang untuk tinggal berasingan, Marsha turut mengakui banyak kebaikan yang diperolehi sepanjang tinggal sebumbung dengan keluarga mertua.
“Selepas berkahwin, saya masih dalam proses mengenal agama Islam dengan lebih dekat. Peluang mengerjakan ibadah umrah pada tahun lepas adalah bimbingan daripada keluarga mertua.
“Malah selama ini, ibu dan bapa mertua saya yang banyak menolong dari aspek mendekatkan diri kepada Tuhan dan agama. Jadi, saya tidak nafikan inilah salah satu kebaikan tinggal bersama mereka,” katanya yang turut mengakui pertuturan menggunakan bahasa utara di rumah mertua sedikit sebanyak membantunya menguasai bahasa itu.
Namun, stigma masyarakat selalunya memandang negatif apabila mana-mana pasangan yang bernikah tinggal sebumbung dengan keluarga mertua.
Hal ini kerana, ada beberapa perkara yang menjadi igauan terutama bagi menantu perempuan kerana mereka perlu memainkan banyak peranan seperti membantu melakukan kerja rumah.
Ditanya tentang cabaran hidup bersama keluarga mertua, bukan jawapan penyedap hati yang diberikan Marsha, sebaliknya itu kejujuran yang terbit daripada hatinya memandangkan selama ini dia dilayan baik oleh keluarga suaminya.
“Sebenarnya sangat seronok tinggal dengan mertua sebab ada ramai orang. Cuma biasalah apabila duduk di rumah orang, kita perlu jaga kelakuan,” ujarnya.
Biarpun soal zuriat sering menjadi pertanyaan tatkala bertemu media, namun Marsha tidak pernah lelah menjawabnya dengan tenang tanpa ada sekelumit perasaan jemu.
“Kalau diikutkan antara kami berdua, saya yang paling teruja untuk menanti kehadiran zuriat. Suami juga sama cuma dia tidak pernah meluahkannya secara terbuka.
“Insya-Allah, saya minta semua doakan yang terbaik kerana sehingga kini pun kami masih berusaha sedaya upaya. Doktor pun memberi pengesahan saya dan suami tiada masalah berkaitan kesuburan. Mungkin ia memerlukan sedikit masa lagi,” tuturnya menaruh harapan.
Lagu Sabah
Selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia Megastar (AF Megastar) tahun lalu, perjalanan karier Marsha berjalan lancar apabila dirinya semakin dikenali sebagai penyanyi. Ironi, langkah pertamanya dalam industri adalah dengan menyertai program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pada tahun 2005.
Ditanya lanjut perkembangan terkini, penyanyi berusia 33 tahun itu merencana sebuah kejutan untuk peminat dan rakyat di negeri tempatnya membesar, Sabah.
Kata Marsha, dia bersama rakan seperjuangan iaitu Velvet merancang untuk menghasilkan lagu-lagu rakyat dari Sabah.
“Ia (idea) datang kerana hati dan perasaan. Sebagai anak Sabah yang hidup merantau di tempat orang, sudah tentu ada perasaan rindu yang mendalam terhadap kampung halaman.
“Jadi langkah ini sekurang-kurangnya dapat membantu saya mendekatkan diri dengan orang kampung. Malah kalau diikutkan, bidang hiburan agak besar dan meluas di Sabah.
“Jadi, apa salahnya kalau kami cuba sesuatu yang boleh memeriahkan lagi pasaran muzik di sana,” jelasnya.
Berkongsi perkembangannya, Marsha kini berada di Bulgaria untuk menjalani penggambaran dua buah program travelog Astro Ria (saluran 104) iaitu Solo Yolo dan Ready Set Action.
Selepas itu, dia akan ke London untuk melakukan penggambaran klip video bagi single terbaharunya berjudul Hilang sebelum menyambung percutian bersama suami dan keluarga ke beberapa destinasi.
Pada masa sama, filem lakonannya berjudul 7ujuh juga sedang menanti waktu untuk memasuki pawagam.
Masih dalam proses belajar memperbaiki diri selepas memeluk agama Islam dua tahun lalu, Marsha Milan Londoh mengakui teruja dengan perubahan hidupnya dengan banyak mendalami ilmu agama bersama suami dan keluarga mertua.