Fahrin Ahmad bahagia bersama isterinya, Elena dan anak mereka, Khalifa Fahrel.
Status sebagai suami kepada Elena Hani Eleas dan bapa buat Khalifa Fahrel menjadikan aktor Fahrin Ahmad lebih mementingkan kualiti masa bersama keluarga.
Hero filem Pilot Cafe itu turut mengakui dia lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya dalam bidang pengacaraan, tidak mengira sama ada program berbentuk bual bicara mahupun sukan.
Tidak dinafikan, Fahrin turut mengamalkan sikap berhati-hati dalam soal pemilihan naskhah di kaca televisyen mahupun layar perak bagi mewujudkan kepelbagaian karakter.
Meskipun memilih untuk bersikap selektif, pelakon itu bagaimanapun tetap berusaha memastikan kerjaya antara lakonan dan pengacaraan seimbang.
KOSMO!: Sekiranya dibandingkan pada awal kemunculan dahulu, kemunculan Fahrin Ahmad di kaca televisyen kerap dapat dilihat. Namun, situasi tersebut berbeza kini, mengapa?
FAHRIN AHMAD: Berbeza berbanding dahulu, sekarang saya banyak terlibat dengan pengacaraan berbanding lakonan. Tidak dinafikan tawaran berlakon masih ada dan akan dilakukan sekiranya mendapat skrip yang menarik serta bersesuaian. Tambahan, buat masa sekarang saya lebih memberi fokus kepada bidang pengacaraan berbanding lakonan.
Mengapakah anda lebih memberi tumpuan kepada pengacaraan berbanding lakonan?
Sejak berumah tangga pada tahun 2015 dengan Elena Hani Eleas dan kini telah bergelar bapa kepada Khalifa Fahrel, saya mengharapkan agar mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga.
Tambahan, keadaan Khalifa Fahrel masih kecil, menjadikan saya tidak mahu melepaskan peluang melihat dia membesar memandangkan dia baru berusia dua tahun.
Tidakkah berasa bimbang sekiranya kurang muncul di kaca televisyen membuatkan peminat melupakan kehadiran anda dalam industri?
Dikatakan tiada langsung itu tidak, kerana saya masih terlibat dalam beberapa buah program bual bicara dan pengulas sukan. Pada saya itu sudah cukup membuatkan peminat mengetahui Fahrin Ahmad masih aktif dalam industri. Bezanya, saya kini lebih selektif dalam soal pemilihan naskhah. Bukan berasa megah tetapi saya ingin terlibat dalam naskhah yang berbeza seperti yang dilakukan dalam My Coffee Prince. Sekiranya diberi peluang seperti itu, insya-Allah saya akan terima.
Kemunculan pelakon baharu masa kini adakah memberi ancaman. Anda kini pula lebih selektif dalam tawaran berlakon?
Pada saya, ia hanya satu kitaran kerjaya sebagai pelakon. Saya tidak perlu berasa terancam mahupun tertekan kerana itu semua rezeki masing-masing. Segalanya bergantung pada kredibiliti seseorang pelakon itu untuk menterjemahkan watak mahupun karakter yang ditawarkan.
Meskipun tidak aktif dalam bidang lakonan, saya masih mempunyai tempat sebagai pengacara dan melakukan pekerjaan lain bagi menyara keluarga.
Alhamdulillah, buat masa sekarang rezeki sebagai pengacara itu tidak putus dan jadual saya telah penuh sehingga bulan Jun depan.
Apakah aktiviti seni mahupun naskhah terbaharu lakonan anda dalam tempoh masa terdekat?
Ada beberapa tawaran yang masih dalam peringkat penilaian kerana saya terikat dengan aktiviti sebagai pengacara. Ia termasuklah tawaran drama dan filem. Saya mohon maaf kerana perkara tersebut tidak dapat diumumkan kerana segalanya masih dalam perbincangan.