Status laman sosial Fynn Jamal.
Penyanyi dan selebriti media sosial,Fynn Jamal mendakwa bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang sepatutnya menguruskan percutian dia sekeluarga di sebuah pusat pelancongan di Port Dickson baru-baru ini.
Fynn atau nama sebenarnya Nur Afrina Yanti Jamal telah memuat naik gambar kad pengenalan dan beberapa keping foto individu yang bernama Norshafika Azha di laman sosialnya sebagai jalan terakhir mencari suspek.
“Tujuan status ini dibuat bukan untuk memalukan suspek namun ia satu-satunya cara bagi dia keluar dan mengaku perbuatannya.
“Saya hanya kerugian sekitar seribu ringgit tetapi masih ada 132 orang yang turut menempah percutian melaluinya yang mengumpul wang dengan bersusah payah namun akhirnya ditipu begini,”tulisnya pada status tersebut.
Tambah Fynn, dia sekadar ingin bertemu dengan Norshafika dan bertanya apakah yang membuatkan wanita itu gelap mata dan mengambil semua wang milik pelanggan.
“Dia tidak tahu Fynn Jamal adalah salah seorang pelanggan yang ditipu kerana saya tidak pernah memberitahu maklumat peribadi sesuka hati.
“Jadi kepada Norshafika, keluar daripada persembunyian dan datang berjumpa saya kerana saya benar-benar nak tahu apa yang untung ambil duit orang,” jelasnya lagi.
Terdahulu, situasi sama berlaku kepada pelakon Den Wahab dan Aziz M.Osman hujung tahun lalu apabila terkandas di Korea Selatan apabila ejen pelancongan mereka menipu wang yang telah dibayar.