Justin Bieber jadi inspirasi Ariff Bahran


Ariff Bahran mempertaruhkan single pertama bertajuk Kata Akhirmu yang menjadi runut bunyi bagi drama rantaian Cinta Hati Batu di TV3.

Kecintaan terhadap dunia muzik telah mendorong penyanyi baharu, Ariff Bahran mempertaruhkan bakat nyanyiannya, sekali gus menjadikan media sosial sebagai platform pertama.

Mempelajari kemahiran bermain alat muzik sejak berusia 13 tahun, pemilik nama lengkap, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari itu turut menjadikan penghibur popular antarabangsa, Justin Bieber sebagai inspirasi.

Kejayaan penyanyi antarabangsa berusia 23 tahun itu mencipta nama dalam industri hiburan pada usia muda telah menjadi pendorong buatnya untuk serius memilih nyanyian sebagai kerjaya impian.

“Secara peribadi saya menggemari perjuangan muzik dan menyokong kerjaya Bieber sehingga ke hari ini. Saya menjadikan dia sebagai rujukan, terutamanya dalam bab persembahan pentas dan nyanyian,” katanya.

Rutin yang kerap memuat naik video nyanyian lagu dendangan semula di YouTube dan SoundCloud telah membuka laluan Ariff tampil sebagai penyanyi, lantas menarik perhatian syarikat rakaman, Rusa Music untuk menyuntingkan sebagai artis naungan.

Tidak mensia-siakan peluang yang ada, dia menerima tawaran tersebut dan kini mula sibuk mempromosikan single pertama bertajuk Kata Akhirmu ciptaan Rudy Kasran.

Pertaruhan lagu berentak balada bagi single pertama bukan bermaksud untuk memenuhi cita rasa pendengar masa kini tetapi genre tersebut juga merupakan antara kegemarannya.

“Melihat trend muzik tempatan masa kini tidak dinafikan lagu berentak balada mudah mendapat perhatian dan diterima ramai. Disebabkan itu saya cuba untuk memberikan yang terbaik. Pada masa sama, irama balada juga merupakan rentak yang sangat diminati,” terangnya optimis.

Ariff menjadikan permulaan tahun 2018 sebagai lembaran baharu buatnya untuk tampil bersama resolusi dan kesungguhan untuk mencipta nama dalam industri hiburan tempatan.

Harapan

Sedar tentang lambakan penyanyi baharu yang seusia dengannya, namun itu bukan satu cabaran sementelah kesemuanya mempunyai pengikut dan kekuatan masing-masing. Baginya, perkara paling utama adalah menghasilkan produk berkualiti berbanding kontroversi.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Petaling Jaya itu juga mempunyai harapan untuk menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Meskipun hanya mempunyai tiga buah lagu dalam simpanan, tetapi dia yakin kesabaran dan kesungguhan pasti akan membuahkan hasil kelak.

“Untuk permulaan, saya lebih selesa menyanyikan lagu hasil ciptaan komposer lain tetapi sekiranya diberi peluang, saya ingin mempersembahkan idea sendiri dan mengharapkan peminat menerimanya.

“Buat masa sekarang, saya tunggu respons peminat terhadap lagu Kata Akhirmu terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang perancangan pada masa hadapan,” ujarnya.

Selain itu, dia turut menyimpan hasrat untuk bergandingan dengan penghibur popular tanah air, Faizal Tahir menyanyikan lagu hasil ciptaannya.

“Saya sedar diri tidak hebat sepertinya, namun bukanlah suatu kesalahan sekiranya menyimpan hasrat sebegitu. Semoga suatu masa nanti kami dapat berduet dan menyanyikan lagu ciptaan saya.

“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan tetapi saya menjadikan impian itu sebagai pembakar semangat untuk direalisasikan,” katanya yang sangat mengagumi kredibiliti pelantun lagu Assalamualaikum itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post