Strategi geliga Taylor Swift


Sudah hampir 18 bulan Taylor Swift memencilkan diri daripada menjayakan sebarang sesi wawancara, baik bersama media cetak mahupun elektronik.

Sepanjang tempoh berkabung itu, Swift enggan berkongsi tentang perkembangan terkini dan hal peribadinya dengan khalayak, lebih-lebih lagi apabila insiden perang laman sosial yang tercetus antaranya dengan pasangan selebriti, Kim Kardashian dan Kanye West pada Julai tahun lalu masih menjadi buah mulut ramai orang.

Segalanya bermula apabila Swift menyelar tindakan West yang meletakkan namanya tanpa izin menerusi lagu berjudul Famous. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil Swift berkata, penyanyi rap itu tidak pernah menghubunginya dan dalam masa sama memohon agar West tidak menerbitkan lagu berkenaan.

Namun, penafian Swift memakan diri apabila bukti panggilan telefon antaranya dan West yang menyaksikan persetujuan dibuat berkenaan lagu tersebut telah dimuat naik oleh Kardashian dalam media sosial.


Pembongkaran tersebut bukan sahaja mengejutkan banyak pihak, tetapi turut menjejaskan nama baik Swift yang cukup dikenali sebagai wanita baik.

Banyak pemerhati seni berpendapat, Swift telah mengaku kalah dan penyanyi lagu Tear Drops On My Guitar itu mengambil langkah untuk berdiam diri kerana malu dengan bukti yang dikemukakan oleh Kim dan West. Namun, pendapat yang dikemukakan oleh kebanyakan orang ternyata tidak benar.

Swift menggunakan senggang masa yang ada untuk menghasilkan sebuah album baharu, dan rata-rata lagu yang terkandung dalam album berjudul Reputation itu adalah berkenaan dengan pengalamannya pasca pergaduhan bersama Kim dan West.

Bermula dengan mengocak industri muzik Hollywood menerusi single utama, Look What You Made Me Do, Swift menjadikan lagu berentak rancak tersebut sebagai gawang baginya untuk mencurahkan rasa amarah dan kebencian.

Hal ini kerana, menerusi klip video Look What You Made Me Do, selain menyelar Kim, West dan musuhnya, Katy Perry, Swift turut mengadaptasikan setiap makian yang diterima menjadi satu elemen kebanggaan dalam karyanya itu.

Melihat pada corak permainan Swift dalam memasarkan muzik, pemenang Grammy Awards bagi kategori album terbaik, Fearless (2008) dan 1989 (2016) itu bijak menjual apa sahaja yang melingkari dirinya.

Sedar atau tidak, rutin tersebut telah lama diamalkan oleh Swift, iaitu menyelitkan kisah patah hati yang pernah dialami bersama setiap bekas kekasihnya.

Menerusi satu temu bual yang pernah dikelolakan oleh USA Today pada tahun 2012, Swift berkata, dia sengaja berbuat demikian kerana mahu bekas kekasihnya menjadi gila apabila mendengar lagu-lagu ciptaannya.

“Saya menulis lagu kerana tahu bekas kekasih akan menggila apabila mendengarnya di radio. Tambahan pula, ia sesuatu yang menyeronokkan,” ujarnya selamba.


Carta

Biarpun ada segelintir yang memandang rendah terhadap obsesinya, ternyata, kegemaran Swift menulis tentang masa lalu membungakan hasil yang lumayan terhadap karier nyanyiannya.

Look What You Made Me Do berjaya menduduki carta pertama Billboard 100 selepas seminggu dipasarkan, dengan jualan lebih 500,000 unit serta dimainkan sebanyak 84.4 juta kali secara online.

Ia sekali gus menjadikan lagu ciptaan Swift, Jack Antonoff, Fred Fairbrass, Richard Fairbrass dan Rob Manzoli itu sebagai lagu nyanyian wanita yang paling banyak distrim setakat ini.

Kejayaannya dalam menjual muzik bukan satu perkara yang aneh. Sejak menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya rasmi, Swift telah menanamkan cita-cita untuk sentiasa berada pada tangga teratas.

“Saya mahu lagu debut saya, Tim McGraw menduduki tangga pertama yang mendominasi carta lagu iTunes. Jadi, saya membeli lagu sendiri beberapa kali dan akhirnya, lagu yang pada asalnya menduduki tangga 11 melompat ke tangga pertama,” katanya menerusi sebuah temu bual sekitar 11 tahun lalu.

Geliga Swift makin menjadi apabila dia mengambil keputusan untuk menarik album studio kelimanya, 1989 daripada semua perkhidmatan penstriman muzik selepas lapan bulan dipasarkan. Hasilnya, album tersebut terjual melebihi lima juta unit sepanjang tempoh penarikan tersebut.

Menggunakan strategi sama, album Reputation yang mula dipasarkan pada 10 November lalu menerima respons sangat mengagumkan, sehingga ia mencapai nilai jualan sebanyak 700,000 unit hanya dalam tempoh 24 jam jualan.

Tidak hanya bergantung terhadap gimik semata-mata, kebanyakan peminat Swift begitu taksub dengan muzik yang diterbitkannya, terutama apabila dia mengambil keputusan untuk beralih genre daripada country kepada Pop dan R&B.

“Apabila lagu I Knew You Were Trouble berjaya menduduki tangga pertama carta Billboard 100 selama enam minggu berturut-turut, saya berpendapat yang orang ramai telah menjangkakan saya akan beralih ke genre muzik sebegini.

“Bagaimanapun, tidak pasti sama ada mereka mahu saya bersikap jujur atau tidak mengenai pembaharuan ini,” katanya.

Karier nyanyian Swift telah melalui satu transformasi yang agak luar biasa. Bermula sebagai seorang penyanyi desa yang memuja Tim McGraw dalam lagunya, Swift kini dikenali sebagai seorang penyanyi pop tersohor yang digilai jutaan peminat di seluruh dunia.

Saban tahun, reputasinya sebagai seorang penyanyi semakin kukuh dan pencapaiannya dalam bidang muzik pula semakin bertambah. Justeru, jika Swift mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan sebarang temu bual dengan pihak media untuk tempoh 10 tahun yang akan datang sekalipun, barangkali dia masih mampu untuk menjual albumnya tanpa sebarang masalah. Begitu hebat penangan seorang penyanyi wanita bernama Taylor Swift.

Post a Comment

Previous Post Next Post