Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi dan pelakon versatil, Norliza Abdullah, 55, atau lebih dikenali dengan nama Liza Abdullah.
Pelakon ini cukup popular sekitar era 1980-an dan masih lagi aktif dalam industri seni sehingga kini.
Memulakan langkah dalam bidang seni sebaik sahaja tamat persekolahan, Liza mengakui tidak pernah langsung bercita-cita untuk bergelar artis sebelum itu.
Malah segalanya bermula secara kebetulan apabila dia diajak menyertai uji bakat ketika menemani sahabat baiknya menghadiri sesi pencarian bakat baru di Hotel Merlin,
“Bila gambar dah masuk majalah, ramailah yang hubungi saya suruh datang pelbagai sesi uji bakat termasuklah Jaafar Onn. Saya turut terlibat dalam iklan F&N sekitar tahun 1981.
“Ketika itu saya buat bukan kerana nama atau glamor, tetapi lebih kepada nak cari duit poket,” katanya.
Liza kemudiannya berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila mendapat tawaran membintangi bangsawan Laksamana Bentan di RTM, juga melalui uji bakat.
“Saya ingat sampai sekarang, watak pertama lakonan saya sebagai Wan Saribani dalam Bangsawan Laksamana Bentan digandingkan dengan Hail Amir, Azlina Aziz dan ramai lagi pelakon senior yang hebat.
“Saya sempat berlakon drama TV hitam putih pada tahun 1982 arahan pengarah terkenal Abdullah Zainol dan dalam masa yang sama turut berbangga apabila menjadi antara pelakon yang terlibat dalam drama TV berwarna pertama pada tahun 1983,” imbas ibu kepada empat anak ini.
Pun begitu, kata pelakon cantik ini, namanya mula dikenali ramai selepas membintangi drama yang mencetuskan fenomena ketika itu, Penghujung Rindu (1984) bersama ND Lala.
Nama Liza terus menjadi buruan apabila dia turut mendapat tawaran berlakon filem Pagar-Pagar Cinta arahan A. R. Badul yang menjadi filem pertama lakonannya diikuti Ali Setan (1985), Balik Kampung (1986), Marah Marah Sayang (1987), Jejaka Perasaan (1987), Driving School (1990) dan lain-lain.
“Sebenarnya dari awal saya tidak sedar pun yang saya berbakat tapi apabila terjebak secara tidak sengaja barulah saya tahu saya boleh berlakon dan menyanyi.
“Apabila saya sudah mula minat dengan apa yang saya lakukan ini, semua benda saya buat dengan sungguh-sungguh dan ikhlas. Bukan sebab nak kejar glamor atau populariti semata-mata,” tegasnya yang bakal tampil dalam filem terbaru lakonannya, KL Special Force tidak lama lagi.
Ligat jayakan persembahan pentas
Tidak hanya berbakat dalam bidang lakonan, tapi nama Liza juga cukup dikenali sebagai penyanyi sehinggakan kerap kali diminta menyumbangkan suaranya untuk album runut bunyi filem mahupun drama.
Sebelum tampil dengan album solo pertama, Semalam Yang Indah (1988), Liza terlebih dahulu merakamkan lagu duet bersama penyanyi Safar Ghafar, duet bersama ND Lala untuk lagu tema drama Penghujung Rindu dan tidak ketinggalan terlibat dalam album runut bunyi filem Marah Marah Sayang.
Walaupun hanya tampil dengan album solo pada 1988, Liza sebelum itu mendapat pelbagai undangan sehingga ke Sabah dan Sarawak.
Liza juga pernah berada selama tiga bulan di Sarawak untuk persembahan walaupun hanya dengan menyanyikan lagu penyanyi lain kerana penganjur tahu kebolehannya.
“Begitu juga dengan program TV di mana ketika itu saya terlibat dengan program hiburan popular di TV1 iaitu Mekar Sejambak bersama dengan penyanyi lain yang semuanya memiliki album sendiri kecuali saya,” katanya yang kali terakhir tampil dengan album duet Samarinda (1998) bersama Ringgo Arrow, Ziela Jalil dan Izam EYE.
Berkongsi cabaran yang pernah dilaluinya, kata Liza, pada era 1980an, bukan mudah menempatkan diri kerana industri masih kecil dan tidak banyak peluang.
“Cabaran waktu itu, kita kena buat kerja betul-betul kerana apa sahaja peluang yang datang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Sesiapa yang dapat berlakon filem waktu itu sudah dikira hebat,” katanya yang memperlahankan kerjaya seni selepas mendirikan rumah tangga pada 1988.
Hampir 35 tahun bergelar anak seni, Liza melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis
“Dulu masa tengah popular, kalau pasal surat dan hadiah tu jangan cakaplah, memang ada sahaja kejutan peminat termasuklah menghantar surat lucah selain gambar bogel untuk menarik perhatian saya.
“Namun ada satu kejadian yang saya tidak dapat lupakan sehingga hari ini di mana saya pernah menerima ‘hadiah’ daripada seorang hamba Allah iaitu sebuah patung, tuala basah yang busuk dan beberapa lagi barangan lain yang diletakkan dalam sebuah kotak untuk saya.
“Saya tidak tahu apa niat dia, malah saya tidak mahu menuduh atau bersangka buruk kepada sesiapa, cuma selepas kejadian itu saya sentiasa berjaga-jaga dengan langkah saya,” ujarnya yang kini turut dikenali di kalangan peminat generasi baru.