Keterujaan Sufie Rashid


Peluang membuat persembahan pada separuh akhir Muzik-Muzik ke-32 Ahad depan dilihat sebagai platform terbaik buat penyanyi kelahiran Singapura, Sufie Rashid untuk membuktikan sesuatu kepada peminatnya di negara ini.

Tambah Sufi, kejayaan lagu ciptaan Edry Abdul Halim, Aku Sanggup yang mara ke peringkat separuh akhir program tahunan itu bersama 29 lagu lain juga menjadi kayu pengukur kepada pencapaian seninya secara peribadi.

“Alhamdulillah, Aku Sanggup dapat perhatian peminat dan bila dapat bersaing dalam Muzik-Muzik untuk ke Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun depan, sudah tentu saya rasa teruja. Lebih-lebih artis baru macam saya.

"Rasanya perasaan ini tidak hanya ada pada saya, malah kepada semua artis bertanding. Insya-ALLAH saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya kepada Media Hiburan.

Aku Sanggup bakal bersaing pada sesi kedua separuh akhir Muzik-Muzik ke-32 Ahad ini. Antara lagu lain yang turut bersaing ialah Jangan Pernah Berdusta dendangan Haiza dan Aepul (Drama Band), Jangan Menangis dari Aizat dan Separuh Mati Ku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah.

Ditanya sama ada rakan penyanyi seangkatan atau kalangan penyanyi senior yang lebih memberi saingan buat dirinya, bekas juara Akademi Fantasia 2015 ini mengakui, penyanyi senior yang turut bersaing menjadi pembakar semangat untuk dia melakukan yang terbaik.


“Bagi saya, penyanyi senior lebih banyak beri saingan sihat. Sebab kebanyakan mereka sudah ada pengalaman beraksi sebelum ini. Aura mereka cukup kuat, misalnya Dayang Nurfaizah yang kita sedia maklum kredibilitinya. Siti Nordiana pun bagus.

"Jadi mahu tak mahu, saya juga perlu lakukan sesuatu bagi memperkemaskan persembahan.

“Pada masa sama, saya juga ada mengikuti kelas vokal bersama Ernie Zakri,” jelas Sufi yang mengakui, tekanan menyanyi secara langsung tetap ada memandangkan ia bakal diadili komposer berpengalaman.

Tambahnya, dia tetap mengalami perasaan gemuruh kerana akan diadili bukan saja pada lagu tapi persembahan dan vokal. Bagaimanapun penyanyi ini berharap sokongan peminat dan percaya pada rezeki.

Terdahulu, Sufi dan Edry turut mencipta kejayaan apabila lagu tersebut diangkat sebagai Lagu Paling Popular (Singapura) di Anugerah Planet Muzik 2017 yang berlangsung di Singapura Oktober lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post