Faizal Tahir menggunakan platform sebagai seorang selebriti untuk menyalurkan mesej positif kepada masyarakat, terutama generasi muda.
Kesibukan jadual kerja dan menguruskan enam orang cahaya mata tidak membataskan penyanyi popular, Faizal Tahir untuk meluangkan waktu terlibat dengan aktiviti berbentuk kemasyarakatan.
Bakal hadir ke acara sidang akhbar Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) pada 18 November ini di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK), Sepanggar, Sabah, pelantun lagu Assalamualaikum itu mengambil peluang tersebut untuk berkongsikan pengalaman lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
Bukan sahaja berkongsi pengalaman hidup dalam setiap lagu yang dihasilkan, Faizal juga menggunakan medium tersebut untuk meluahkan pandangan tentang peristiwa berlaku di sekelilingnya dengan khalayak.
KOSMO!: Bolehkah Faizal kongsikan penglibatan dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan apakah yang membuatkan anda tertarik untuk turut serta dalam acara itu?
FAIZAL TAHIR: Secara peribadi saya tidak mengetahui akan kewujudan SL1M sehingga ditawarkan untuk terlibat dalam aktiviti tersebut pada tahun ini. Setelah menilai tujuan aktiviti berkenaan, saya berpendapat ini merupakan peluang terbaik mendekati masyarakat dan berkongsi pengalaman dengan mereka.
Saya sendiri mengharapkan untuk terlibat dengan aktiviti seperti ini kerana kerjaya sebagai artis bukan sekadar dilimpahi dengan glamor dan populariti.
Namun, golongan artis juga dapat memberi sumbangan dan berkhidmat untuk masyarakat. Pada acara yang berlangsung pada 18 November ini, saya bukan sahaja membuat persembahan sebanyak tiga buah lagu, sebaliknya menggunakan peluang berkongsi pengalaman lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni.
Bukan sekadar pengalaman tentang kerjaya sebagai artis, tetapi lebih bersifat peribadi iaitu tentang perkongsian hidup yang membentuk saya menjadi individu lebih baik dan matang.
Bagaimanakah cara anda mempamerkan sikap positif terhadap khalayak?
Masyarakat sering menilai kehidupan artis lebih kepada kegiatan negatif. Disebabkan itu saya ingin mengubah persepsi mereka dan berusaha mempamerkan contoh yang baik kepada masyarakat.
Tambahan, penggunaan internet dan media sosial dalam kalangan remaja menjadikan saya lebih prihatin terutama anak-anak kini semakin membesar serta memiliki akaun Instagram. Disebabkan itu saya perlu memberikan contoh yang baik buat mereka.
Boleh kongsikan pengalaman sepanjang anda bergelar artis?
Saya mengetahui dan menyedari apa yang dilakukan sebelum ini. Saya sendiri tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana ia merupakan sifat lumrah manusia.
Saya juga tidak menyesal melakukan kesilapan kerana segalanya itu membuatkan kita matang serta menjadikan individu lebih baik pada masa hadapan. Tanpa kesilapan, kita tidak akan mengetahui tindakan yang diambil itu betul atau tidak.
Mempamerkan contoh yang baik tidak hanya bergantung kepada sikap tetapi, ia turut melibatkan cara pemikiran dan personaliti kita sendiri. Disebabkan itu, saya berusaha menyuntik elemen positif dalam setiap lagu yang dihasilkan agar dapat menggalak individu lain untuk turut sama melakukan kebaikan.
Menyentuh soal lagu, apakah pandangan anda tentang industri muzik masa kini termasuk penulisan lirik yang adakalanya mempunyai maksud negatif?
Saya tiada hak untuk menilai karya individu lain kerana masing-masing mempunyai pendapat tersendiri. Itu pilihan mereka. Sama seperti saya, kebanyakan lagu yang dihasilkan dahulu lebih bersifat komersial kerana ingin cepat meraih perhatian peminat.
Namun, tidak dinafikan apabila mendengar banyak lagu yang kedengaran mengandungi unsur negatif, saya berusaha untuk melakukan keseimbangan dengan melahirkan karya berbentuk nasihat dan positif.
Tidak dinafikan, masing-masing mempunyai idea tersendiri dan saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Saya sendiri menggunakan lagu untuk dijadikan sebagai medium meluahkan pandangan tentang kejadian yang berlaku di sekeliling.
Melihatkan kepada rutin aktiviti dan peribadi, jadual anda kelihatan padat. Jadi, bolehkah kongsikan bagaimana cara anda membahagikan masa untuk kedua-dua perkara tersebut?
Tidak dinafikan jadual kerja saya agak sibuk. Selain keluarga dan kerjaya nyanyian sendiri, saya juga mempunyai beberapa artis di bawah label syarikat sendiri, Faithful Music. Antara artis tersebut ialah Harris Baba, Aziz Harun, Hanie Sooraya dan Caliph Buskers.
Perkara utama adalah jangan pernah bagi alasan. Sentiasa mempunyai keinginan untuk memberikan yang terbaik. Saya juga memohon maaf kepada pihak media yang adakalanya sukar untuk mendapatkan respons daripada saya kerana terlalu sibuk.
Sebagai penyanyi senior dalam industri, apakah pandangan anda terhadap kebanjiran pendatang baharu sekarang?
Kehadiran mereka secara tidak langsung menawarkan variasi muzik buat peminat. Pada saya, ia satu persaingan baik tetapi mereka perlu gigih berusaha demi bersaing antara satu sama lain.
Seterusnya bolehkah anda kongsikan perasaan tercalon dalam anugerah MTV EMA 2017 yang telah berlangsung baru-baru ini?
Syukur, walaupun tidak menang, tetapi saya telah tercalon buat kali kedua selepas tahun lalu. Ia satu pencapaian yang baik sekali gus menjadikan saya ingin berusaha lebih gigih menghasilkan karya terbaik pada masa akan datang.