Liza Hanim tunjuk prospek juara


Barangkali masih terlalu awal untuk menjangka siapa bakal bergelar juara Gegar Vaganza 4 (GV4). Bagaimanapun, memasuki konsert minggu keempat, penyanyi Liza Hanim semakin menunjukkan prospek bahawa dirinya sebagai bintang paling layak diangkat sebagai juara.

Selepas tiga minggu bersiaran, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu tidak pernah keciciran untuk duduk di tangga paling atas dari segi pungutan markah. Dalam kehebatan Liza semakin menonjolkan cengkaman sang juara, peserta-peserta lain tidak kurang hebatnya dan kian mengejar.

“Perjalanan pertandingan masih lagi jauh. Saya menyanyi pun main ‘belasah’ sahaja. Pada kita rasa okey, tetapi orang lain berbeza penerimaannya.

“Saya percaya kepada rezeki. Kalau orang tanya, mengapa saya tidak terlalu menonjol dalam industri sebelum ini, jawapannya ada pada rezeki yang berada pada laluan orang lain. Saya risau jangkaan orang semakin tinggi terhadap saya dalam pertandingan, tekanan juga tinggi,” ujar Liza yang mendapat markah tertinggi daripada juri untuk dua minggu berturut-turut.

Dalam pada itu, juri tetap, Hetty Koes Endang yang memberikan tepukan sambil berdiri buat Liza untuk dua minggu berturut-turut memuji kesungguhan penyanyi berusia 37 tahun itu.

“Liza sedar yang dia berada dalam sebuah pertandingan. Saya amat kagum dengan keyakinan dan kesungguhannya di atas pentas.

“Walaupun dalam pertandingan ini semuanya mempunyai vokal yang hebat, dia sentiasa menunjukkan kesungguhan yang luar biasa setiap minggu,” ujar Hetty.

Kaya karya

Datuk Ramli MS pula menyifatkan Liza sebagai penyanyi yang kreatif dan kaya dengan karya.

“Dia bukan seorang komposer, tetapi tahu apa yang harus dilakukan di atas pentas dari segi muzik dan sebagainya.

“Dulu dia ‘tercicir’ dalam industri disebabkan urusan perniagaan muzik. Artis yang muncul pada zaman Datuk Siti Nurhaliza tidak mudah menyerlah,” terang Ramli.

Pada konsert minggu ketiga yang bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil itu, Raja Azura menjadi peserta kedua disingkirkan selepas memungut markah terendah daripada pihak juri.

Pun begitu, Hetty tetap memuji persembahan pengacara yang juga seorang pelakon itu dan menyifatkan tiada rezeki buatnya untuk meneruskan kemaraan.

“Raja Azura bagus, cuma ada peserta yang lebih bagus pada malam ini. Barangkali bukan rezekinya untuk terus bertanding,” jelas Hetty.

Bagi Raja Azura sendiri yang mesra disapa sebagai Kak Engku, dia gembira kerana mampu mara sehingga konsert ketiga dan sudah melakukan yang terbaik.

“Tidak mengapa, rezeki saya sampai di sini sahaja. Sekurang-kurangnya, saya telah membuktikan sesuatu dalam pertandingan ini.

“Akan ada rezeki di luar sana. Kalau ada orang ingin menjemput untuk mengadakan persembahan pentas, saya akan terima. Kalau ingin buat album atau single, mungkin saya berfikir dua tiga kali dahulu kerana industri sekarang tidak menentu,” kata Raja Azura.

Pada konsert minggu ketiga tersebut, Liza Hanim mengungguli carta markah dengan 83.40 peratus, Firman Siagian (77.6 peratus), Lan Kristal (77.60 peratus), Hazami (75.6 peratus), Tia Jinbara (75.6 peratus), Aishah (75.4 peratus), Syura (73.8 peratus), Haida (71.8 peratus), Aqasha (63.4 peratus), Elyana (61.4 peratus), Raja Azura (61.2 peratus).

Konsert GV4 minggu keempat dengan tema Berdua Lebih Baik akan menyaksikan 10 peserta yang masih bertanding berduet dengan artis jemputan masing-masing.

Post a Comment

Previous Post Next Post