Izara sah bergelar isteri kepada Adib dengan sekali lafaz.
Pelakon jelita Izara Aishah sah bergelar isteri kepada Muhammad Adib Khalid yang juga anak tiri kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan sekali lafaz tepat pukul 9 malam tadi.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor, Ustaz Mohd. Jazlan Ali.
Pada majlis yang diadakan di sebuah lokasi di Damansara itu, Izara, 25, menerima mas kahwin berjumlah RM700 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas tujuh daripada pihak perempuan. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan.
Majlis tersebut dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan sahabat handai.
Terdahulu, Izara dan Adib, 27, telah mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu selepas menjalin hubungan cinta selama tiga tahun.
Pasangan tersebut turut diraikan dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan usai acara akad nikah.