Noah tinggalkan memori Peterpan


Uki (dari kiri) Ariel, Lukman dan David membangunkan Noah dengan kerja keras dan karya muzik yang segar.

Sudah terlalu lama nama kumpulan yang berasal dari Bandung, Indonesia, Peterpan terpateri dalam sanubari jiwa penggemar muzik tanah air.

Nostalgia karya-karya kumpulan itu tidak terhenti menjadi siulan pencinta muzik malah skandal kontroversi penyanyi utamanya, Ariel telah menggegar persada muzik rantau nusantara ini.

Begitupun, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan kembali kepercayaan peminat dengan melakukan penjenamaan semula nama kumpulan kepada Noah pada tahun 2012.

Perubahan tersebut merupakan jalan terbaik apabila kumpulan Noah diterima semula dan mendapat tempat dalam hati peminat di lapangan seni Indonesia.

Bahkan, Konsert Noah Live In Kuala Lumpur yang bakal diadakan pada 25 November depan bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur merupakan usaha menambat semula peminat-peminat di Malaysia.

Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham, 36, menjelaskan beliau perlu berbuat sesuatu supaya orang masih mengingati dirinya.

“Saya akui memorinya tidak indah dan jika saya bersandarkan pada waktu di mana segalanya terhenti, saya perlu

berbuat sesuatu supaya orang masih mengingati saya dengan karier saya.

“Tinggalkan memori Peterpan, Noah tampil dengan muzik baharu, lagu baharu dan susunan muziknya juga baharu. Biarpun dalam segala kepayahan yang datang tetapi perubahan itu harus datang dari dalam dan bukannya perubahan atau pertukaran dari segi luaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang akhbar Konsert Noah Live In Kuala Lumpur di Hotel Doubletree by Hilton baru-baru ini. Ariel ditemani tiga lagi anggota Noah iaitu Mohammad Kaustar Hikmat (Uki), Loekman Hakim (Loekman) dan David Kurnia Albert (David).

Ariel yang memiliki vokal memukau itu menambah, segala yang telah dilaluinya merupakan satu pelajaran dan pengajaran buat dirinya serta semua pihak.

Konsert

Katanya, beliau berharap peminat di negara ini dapat menerima Noah sepertimana yang terjadi di Indonesia.

“Sudah pasti perubahan datang daripada dua belah pihak iaitu diri saya dan sekeliling. Saya amat bersyukur kerana terus menerima sokongan padu daripada rakan-rakan dalam Noah, para sahabat dan peminat.

“Saya juga sangat bersyukur kepada masyarakat yang mahu menerima perubahan dan memaafkan. Semua itu memerlukan waktu dan kerja keras,” katanya.

Dalam pada itu, Ariel memberitahu kali terakhir mereka beraksi di Kuala Lumpur mengadakan satu persembahan berskala besar ialah kira-kira pada tahun 2006.

“Pada konsert Noah kelak, kami akan mempersembahkan lagu-lagu daripada album Noah dan juga dua lagu baharu yang bakal dimuatkan ke dalam album terbaharu yang dijangka akan dipasarkan pada April tahun depan.

“Kami masih mempunyai tempoh dalam satu bulan untuk persiapan konsert berdurasi selama 90 minit dan menjangkakan membawa sebanyak 15 buah lagu kepada peminat-peminat negara ini.

“Ia agak sukar untuk memilih 15 lagu yang akan didendangkan kepada peminat kerana mereka mempunyai cita rasa tersendiri,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Noah akan memberikan yang terbaik kepada peminat semasa konsert berkenaan.

“Sudah pasti konsert ini akan diselitkan dengan kejutan-kejutan kepada peminat. Kami ingin memberikan persembahan terbaik kepada peminat kerana sudah lama tidak beraksi di Malaysia,” ujarnya.

Ariel yang ditanya tentang kolaborasi bersama artis negara ini, menambah, Noah sedang dalam pertimbangan untuk

bergandingan bersama artis Malaysia.

“Noah tidak mahu menampilkan penyanyi yang sama genre dengan Noah. Jadi, dalam fikiran kami, penampilan artis Malaysia yang berbeza genre pasti menarik kerana peminat mahu melihat kelainan.

“Begitupun, semua ini belum dibincangkan secara lanjut dan terperinci. Semuanya masih dalam pertimbangan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post