Ruhainies bukan pencinta lelaki


Ruhainies menegaskan keakrabannya dengan beberapa pelakon lelaki sebelum ini tidak lebih daripada rakan baik yang boleh berkongsi masalah.

Pelakon genit Ruhainies menafikan dakwaan dia seorang playgirl atau kerap bertukar kekasih hanya kerana dirinya lebih gemar berkawan dengan kaum lelaki berbanding wanita.

Malah, keakrabannya dengan beberapa pelakon lelaki yang pernah bergandingan bersama dalam drama juga menjadi titik tolak kepada dakwaan itu. Jelas Ruhainies, 25, dia lebih selesa berkawan dengan lelaki kerana mereka lebih senang menyimpan rahsia berbanding rakan-rakan wanita.

Ikuti penjelasan pelakon drama Menantu Bilal itu yang ditemui pada majlis sidang media Festival Perkahwinan Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini selain bercerita tentang perkembangan terkininya.

KOSMO!: Acapkali digosipkan dengan rakan artis lelaki, bila agaknya Ruhainies terfikir untuk menamatkan zaman bujang?

RUHAINIES: Buat masa ini, saya tiada teman istimewa kecuali rakan baik. Jika suatu hari nanti sudah memiliki insan bernama kekasih, saya akan kongsikan dengan umum. Sekarang kalau tengok ada lelaki yang rapat dengan saya, mereka merupakan kawan baik bukannya kekasih. Jika boleh, saya mahu kahwin sebelum usia mencecah 30 tahun. Kalau jodoh sampai dalam masa terdekat, saya okey sahaja. Cuma saya mahu kakak, Risteena Munim kahwin terlebih dahulu.

Mengapa anda menyatakan lebih selesa untuk berkawan dengan lelaki berbanding perempuan?

Saya rasa bukan menjadi masalah ada ramai kawan lelaki sebab mereka sangat berbeza berbanding kawan perempuan terutama dalam aspek menyimpan rahsia. Tidak dinafikan bahawa sifat wanita memang gemar bergosip, jadi agak sukar kalau saya mahu bercerita masalah terutama hal peribadi kepada mereka. Berbanding kawan lelaki, mereka memang pandai menyimpan rahsia selain boleh diharap jika memerlukan bantuan. Kalau ada lelaki lain yang risau untuk mendekati saya kerana ramai kawan lelaki, pertama sekali mereka perlu terima diri saya seadanya.

Bagaimana pula jika perkara ini menimbulkan dakwaan bahawa anda seorang playgirl atau kerap bertukar teman lelaki?

Memang ada orang cakap begitu kepada saya. Namun, bagi yang tahu dan rapat dengan saya, mereka akan tahu sifat sebenar diri ini. Saya ingin menegaskan bahawa saya bukan playgirl. Saya akui, kalau rapat dengan seseorang kawan lelaki, orang akan salah anggap terhadap saya dan sedang bercinta. Walhal kami hanya berkawan baik. Itu perkara normal tetapi saya bukan perempuan yang suka memainkan hati lelaki. Sebab sejak di bangku sekolah lagi saya memang ramai kawan lelaki.

Bagaimana pula dengan rakan artis dalam industri?

Rakan artis pun tidak ramai yang saya baik kecuali dengan kakak sendiri. Disebabkan pernah ada pengalaman dengan rakan artis wanita lain, jadi ia membuatkan saya fobia. Susah untuk mempercayai orang sama ada artis atau tidak. Ia merupakan perkara biasa dan tidak memikirkannya secara serius sebab industri kecil untuk tidak berbaik-baik.

Baru-baru ini video anda tersungkur ketika sedang bercuti bersama keluarga menjadi perhatian peminat di Instagram. Boleh ceritakan tentang kejadian itu?

Sewaktu kejadian, saya dan keluarga sedang bercuti di Cameron Highlands, Pahang. Sebenarnya saya ingin merakam video gerakan perlahan dengan lagu Hindustan sempena sambutan Deepavali baru-baru ini, tetapi tiba-tiba kaki terpijak pada akar kayu sehingga jatuh tersungkur. Mujur saya sempat menahan badan dengan menggunakan tangan. Cuma ada sedikit luka kecil pada kedua-dua lutut. Tidak sangka pula video itu mendapat perhatian peminat yang rata-rata terhibur dengan gelagat saya.

Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Saya baru selesai menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Ombak Cinta untuk siaran RTM. Selain itu, saya bakal terlibat dengan penggambaran sebuah drama untuk slot Lestary bagi siaran TV3. Dalam masa terdekat saya akan berlakon dalam klip video lagu baharu penyanyi Asfan Shah.

Post a Comment

Previous Post Next Post