Bukti - Bob menggunakan pentas AF Megastar untuk membuktikan kepada khalayak bahawa dia punya bakat yang harus diberi perhatian.
Satu Malaysia yang mengikuti final AF Megastar tahu bahawa penyanyi Bob tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan yang berakhir pada malam minggu lalu.
Nasib Bob sama seperti tiga rakan seperjuangannya yang lain iaitu Marsha, Syamel dan Shahir tidak diumumkan kedudukan mereka selepas Idayu dinobatkan sebagai juara program tersebut.
Pada malam final tersebut, Bob hakikatnya telah mencuri banyak hati penonton program tersebut menerusi persembahan dan vokal mantapnya. Persis seorang jaguh atau profesional yang sudah lama mendiami industri seni tempatan, dia telah membuat khalayak terkesima dengan nyanyian sempurnanya untuk single baharu milik komposer Hafiz Hamidun dan liriknya ditulis sendiri, Terbuang Dalam Pelukan dan hit milik Judika, Tapi Bukan Aku.
Biar tidak menang, ia bukan satu masalah atau mencetuskan kekecewaan buat lelaki berusia 36 tahun itu.
Akuinya yang sentiasa mengukirkan senyuman manis dan bicara yang tersusun, misi utamanya di dalam program tersebut bukan untuk merangkul gelaran juara. Sebaliknya, misi utama penyanyi itu adalah untuk ‘mengejutkan khalayak dari tidur’ dengan kredibiliti yang dimilikinya.
“Sejujurnya, gelaran juara berada pada misi kedua sebaik saya bersetuju untuk ikut bertanding dalam AF Megastar. Jika saya menang atau dinobat menjadi juara, itu adalah bonus. Hal ini kerana misi utama saya adalah adalah mahu khalayak yang pernah terlepas pandang tentang kemampuan saya, melihat inilah pentas dan konsert saya. Saya mahu mereka melihat bakat dan kebolehan saya,” katanya sambil tersenyum.
Menyambung bicara, hakikatnya juga kata Bob, dia telah berjaya mencapai misinya apabila banyak khalayak kembali memutarkan radar perhatian kepadanya. Dia juga sudah kembali dihujani dengan pelbagai persembahan korporat yang diakuinya lebih ‘besar’ berbanding sebelum ini.
Namun, kegembiraan itu gagal menghapus dukanya kerana tidak dapat meraikan kejayaan misi tersebut bersama ibu kesayangannya, Rosnah Tuah, pulang ke pangkuan Ilahi kerana kanser pada tahun 2012.
“Kalau arwah ibu masih ada, mesti dia bangga kerana selama hidupnya, inilah yang dia ingin lihat. Dia ingin lihat anaknya berjuang, bekerja dan mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujar Bob terbata-bata sambil menyeka air matanya.
Tidak kejar popular
Tidak kering mengucapkan rasa syukur, kata kunci yang disemat dalam hati Bob adalah apabila bekerja, lakukan dengan ikhlas dan perlu sedar bahawa lapangan hiburan yang diceburinya ini bukan padang permainan untuk mengecap populariti dan glamor semata-mata.
“Sejak mula jadi penyanyi, saya tidak pernah kejar glamor dan populariti. Sebaliknya, saya lakukan sebab minat dan apa yang saya mahukan adalah perhatian terhadap bakat sekali gus ada ruang buat saya berkarya dan diterima. Itu sahaja,” katanya.
Menjadi pelaku seni bagi Bob juga adalah sebuah pekerjaan yang harus ditekuni dengan serius. Sama seperti pekerjaan yang dijalani khalayak, dia sentiasa memerlukan penambahbaikan untuk memastikan momentum kariernya kekal pada radar yang sama.
“Saya bukan manusia yang hidup dengan pujian. Jadi, walaupun saya menerima pujian atau kritikan yang diberi khalayak, pada akhirnya saya selalu merujuk semula kepada individu-individu yang berada di sekeliling saya. Merekalah yang banyak menyedarkan saya daripada khayalan dan kerap menolak saya ke hadapan untuk terus memperbaiki diri.
“Hal ini kerana walaupun khalayak mengatakan saya bagus misalnya, tetapi saya selalu tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan kerana dengan sikap sedemikian, saya akan terus berusaha memperbaiki diri termasuk mengikuti kelas vokal,” ujarnya serius.
Malah, sepanjang 13 tahun menjadi anak seni, dia tidak pernah berasa puas dengan pekerjaan ini. Hakikatnya, dunia seni juga merupakan satu-satunya pekerjaan yang kata pemilik nama sebenar Yusrizan Usop itu sebagai mata pencariannya. Justeru, adalah penting baginya sentiasa kekal dalam momentum dan relevan.
Biarpun begitu, akuinya, jalan yang dilalui tidak begitu mulus. Dalam tempoh 13 tahun, ada pada waktunya dia pernah tidak mendapat tawaran menyanyi untuk beberapa bulan.
Hal seperti diskriminasi layanan dan harga bayaran juga pernah dilaluinya. Namun, setiap kali berhadapan dengan cabaran seumpama itu, dia tetap bersyukur dan sentiasa mengingatkan diri agar tidak dengki dengan rezeki orang lain.
“Sekitar enam atau tujuh tahun lalu, saya pernah tidak mendapat undangan menyanyi sehingga empat bulan. Bagaimanapun saya tetap bersabar dan bertahan kerana saya sukakan bidang seni. Jadi, saya kutip semangat agar jangan berputus asa,” dedah Bob tanpa berselindung.
Diskriminasi
Bercakap tentang diskriminasi, dalam senyuman tawar, Bob menghela nafas panjang. Sambil menggelengkan kepalanya, dia menjelaskan, biarpun pernah tidak dilayan dengan baik, namun itu bukan hal utama yang perlu diperbesarkan.
“Sebab saya selalu percaya, setiap daripada kita mempunyai rezeki masing-masing. Terus-terang saya katakan, jika hanya dibayar sebanyak RM1, saya tetap ambil kerana itu rezeki saya. Saya juga tidak mahu persoal atau dengki dengan rezeki orang lain,” katanya.
Bob kemudian berulang kali mengatakan, ketidakadilan yang berlaku terhadapnya atau apa sahaja perjalanan yang ditempuh sepanjang menjadi pelaku seni, pada akhirnya tidak pernah membebankannya.
“Barangkali sebab saya selalu ingatkan diri supaya jangan cepat terasa hati atau berasa terbeban dengan hal-hal seumpama ini. Alhamdulillah, sehingga kini, saya tidak pernah terbeban dan menjalani kerjaya dengan baik,” katanya yang sentiasa optimis.