Belajar. Farah yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Kolej Segi memilih untuk menangguhkan perancangan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana kerana rezeki dalam bidang lakonan.
Khalayak tidak mengenalinya dengan nama Farah Nabilah sebaliknya, lebih mengingati wanita ini sebagai Aisy, watak seorang isteri teraniaya dalam drama popular Titian Cinta yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia. Tidak berkecil hati, namun itulah realiti yang sedang dilalui oleh pelakon baharu tersebut.
Pada saat drama tersebut kini menjadi perhatian, begitu juga empunya diri sering menggundang keterujaan peminat terhadapnya. Bagaimanapun, pada kebanyakan masa, dia disapa sebagai Aisy bukannya Farah. Suka atau tidak, itulah impak yang diterima Farah apabila terlibat dalam drama bersiri 28 episod tersebut.
“Perubahannya, orang lebih mengenali saya sekarang. Khalayak memanggil saya dengan nama Aisy dan ada yang sanggup menunggu semata-mata hendak bergambar.
“Terus-terang semua ini terlalu baharu buat saya. Namun, saya dalam fasa menyesuaikan diri dan menikmati segala perhatian yang diberikan. Setakat ini peminat masih terkawal, tidak ada yang melampaui batasan,” katanya sambil ketawa.
Selain itu, jumlah pengikutnya dalam laman sosial Instagram juga naik mendadak, iaitu daripada 60,000 kepada 218,000 dalam tempoh beberapa minggu sahaja.
“Saya agak terkejut kerana jumlah pengikut di Instagram naik mendadak. Jika dahulu saya masih boleh balas setiap komen peminat, sekarang tidak lagi kerana terlalu banyak.
“Apapun, saya masih membaca setiap komen peminat terutama yang menegur tentang mutu lakonan. Teguran mereka membolehkan saya sentiasa berpijak dibumi yang nyata dan memperbaiki mutu lakonan,” ujarnya yang mula berlakon pada tahun 2015 menerusi drama Inikah Cinta.
Bukan pilihan pertama
Sungguhpun begitu, wanita berusia 25 tahun itu mengakui gementar saat menerima tawaran drama Titian Cinta sementelah pengarahnya, Heykal Hanifah berterus-terang bahawa dia bukanlah pelakon pilihan pertamanya.
Menambahkan lagi gementarnya apabila diberitahu akan bergandingan dengan Zul. Justeru itu, Farah sanggup mengambil kelas lakonan bersama bintang senior, Fauziah Nawi sebelum penggambaran bermula.
“Drama ini cukup berat dan berlakon di samping pelakon yang sudah terkenal membuatkan saya tertekan sampai tidak tidur malam. Saya tidak mahu orang kata saya pelakon kayu, jadi perlu ada inisiatif sendiri untuk memperbaiki mutu lakonan.
“Peluang yang diberikan pengarah juga tidak boleh saya sia-siakan. Sebab itu, sewaktu mula penggambaran saya tidak meletakkan sebarang jangkaan terlalu tinggi, bimbang diri sendiri yang kecewa. Saya hanya fikir untuk memberi lakonan yang terbaik sahaja. Alhamdulillah, drama ini mendapat sambutan dan sokongan peminat,” kongsinya tentang drama yang menjalani penggambaran selama 90 hari itu.
Lakonan. Bakat Farah dikesan menerusi Instagram sebelum dipanggil uji bakat oleh pihak TV3. Drama pertama lakonannya berjudul Inikah Cinta.
Tumpang populariti
Berbicara tentang populariti, Farah sejak dari awal telah mempersiapkan mindanya bahawa penonton akan menonton drama Titian Cinta kerana Zul semata-mata. Dia pula sekadar menumpang populariti lelaki berbadan sasa itu.
Bagaimanapun sangkaan itu meleset apabila peminat mula memberi pujian terhadap mutu lakonannya.
“Pada mulanya saya jangka orang akan kata saya menumpang populariti Zul dan bimbang juga akan dibandingkan dengan Ayda Jebat daripada segi keserasian.
“Namun semua itu tidak berlaku, sebaliknya saya menerima banyak komen positif termasuk daripada peminat Zul dan Ayda sendiri. Ia secara tidak langsung memberi semangat untuk saya melakukan lebih baik lagi,” kata anak sulung daripada enam-beradik itu lagi.
Walaupun begitu, Farah masih berpijak di bumi yang nyata. Biar dipuji melambung peminat drama berkenaan, akuinya kehadiran Zul secara tidak langsung memberi tempias positif kepadanya.
Selain menarik peminat baharu kepadanya, lelaki itu banyak memberi tunjuk ajar untuk menjadi seorang pelakon yang bagus ketika di set penggambaran.
“Saya tidak boleh nafikan populariti Zul memberi tempias kepada saya sehingga dikenali di Singapura. Dia seorang pelakon yang bagus dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.
“Jika dia berasa lakonan saya tidak sampai, dia akan tegur dan minta buat sekali lagi dengan pengarah. Walhal bukan untuk dia, tetapi saya. Dia seorang yang mementingkan kesempurnaan. Melihat kesungguhannya, membuatkan saya berusaha untuk menjadi lebih baik,” tuturnya yang sebelum ini membintangi drama Papa Ricky.
Tambah Farah yang mula terlibat dalam bidang seni sebagai model iklan sejak berusia 16 tahun, meskipun semakin popular, dia tetap dengan pendirian untuk tidak berkongsi hal peribadi bersama umum.
Baginya, memadai berkongsi wajah sedih, marah dan suka sebagai pelakon di kaca televisyen.
Bagaimanapun Farah sedar, memilih jalan kerjaya sebagai pelakon kehilangan privasi adalah harga yang perlu dibayar.
Privasi
“Ada orang kata pada saya, jika tidak suka kehidupan peribadi diketahui umum lebih jangan jadi artis!
“Memang benar, itulah harga yang perlu saya bayar bila terjun dalam dunia seni.
“Cuma kalau boleh saya mahu dikenali kerana lakonan, bukannya kisah peribadi atau kontroversi merapu. Lakonan adalah kerjaya profesional. Seperti mana kerjaya lain yang habis kerja selesai segala tugas, saya juga mahu begitu.
“Sebab itu, saya kurang berkongsi gambar keluarga atau kehidupan peribadi di laman sosial. Bagi saya hidup adalah pilihan. Setiap apa yang dilakukan dan berlaku adalah atas pilihan sendiri,” kongsi pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Kolej Segi itu lagi.
Sebelum menamatkan bicara, Farah sempat berkongsi bahawa jadualnya telah penuh sehingga awal tahun depan gara-gara sambutan menggalakkan daripada drama Titian Cinta.
Sungguhpun letih, dia memilih untuk tidak bercuti dan terus bekerja kerana berasa rezeki sebegitu tidak datang selalu.
“Sebab drama ini orang mula yakin dengan saya dan jadual kerja telah penuh sampai awal tahun depan. Selagi orang mahukan khidmat sebagai pelakon, saya tidak akan menolak.
“Bukan selalu rezeki datang banyak seperti ini. Saya menyifatkan semua tawaran yang datang sebagai satu kepercayaan dan amanah yang perlu dilakukan sebaik mungkin,” ujarnya menutup bicara.