Aqasha menggunakan pentas GV4 sebagai platform buatnya menyemarakkan semula bakat nyanyiannya.
Barangkali banyak yang sudah terlupa fakta bahawa pelakon kacak, Firdee Akassya Rosli atau Aqasha sebenarnya diperkenalkan dalam industri seni sebagai seorang penyanyi.
Namun, disebabkan rezeki serta peluang yang lebih banyak diterima dalam dunia lakonan, sisi muzik lelaki berusia 35 tahun itu kurang diberi perhatian.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna aktor yang popular dengan filem Embun ini melupakan terus bidang nyanyian. Sesekali, dia tetap melakukan sesi latihan muzik bersama rakan-rakan.
Malah, untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa dia masih memiliki bakat nyanyian yang sudah lama tidak digilap, Aqasha memberanikan diri menyertai program realiti popular, Gegar Vaganza musim keempat (GV4).
Katanya, dia bukan bersetuju menerima tawaran GV4 untuk populariti namun demi kepuasan diri sendiri yang ada kalanya berasa ralat karier nyanyian tidak diketengahkan seperti bidang lakonan.
KOSMO!: Adakah GV4 merupakan peluang pertama yang ditawarkan kepada Aqasha?
AQASHA: Sebelum ini ada juga pihak GV merisik saya tetapi pada waktu itu, jadual kerja sudah dipenuhi dengan kontrak lakonan. Jadi, saya terpaksa menolak dan menganggap ia bukan rezeki saya untuk musim tersebut.
Mengapakah anda bersetuju untuk musim kali ini?
Pertama, kerana sudah banyak kali saya menolak jadi berasa seperti menolak tuah kerana tidak semua penyanyi yang mendapat peluang ke pentas besar seperti GV. Kedua, pastinya kerana kelapangan waktu saya daripada sebarang komitmen kerja lain. Akhir sekali ialah kerana saya perlu membuktikan kepada diri sendiri, saya masih boleh menyanyi dan bakat itu belum hilang dari dalam diri.
GV ialah sebuah rancangan popular, jadi anda secara automatik akan menjadi perhatian masyarakat. Anda tidak rimas untuk kembali digilai peminat?
Saya sedar mengenai impak besar yang akan diberikan oleh GV4 dan sebagai peserta saya perlu bersedia. Sebelum ini saya banyak menghilang di belakang tabir sehingga digelar tidak mesra media. Saya okey sahaja dengan perhatian, cuma biarlah ia melibatkan kerja dan bukan sekadar gosip murahan atau bercakap tentang hal peribadi.
Dunia muzik sekarang jauh berbeza dengan zaman anda sewaktu popular menerusi lagu Embun dahulu. Adakah anda bersedia jika perlu menyanyikan lagu-lagu generasi sekarang di GV4?
Saya terbuka untuk menyanyikan lagu siapa sahaja atau pelbagai genre, tetapi dengan cara saya kerana percaya kita perlu ada identiti sendiri. Saya sedar ini satu pertandingan dan sebarang keputusan untuk membuat gubahan baharu pada lagu orang lain akan meningkatkan risiko tersingkir, tetapi itulah bahagian paling seronok. Saya tidak suka berada dalam zon selamat. Bertanding maknanya kita perlu mencabar diri sendiri.
Memandangkan musim ini dibuka kepada penyanyi luar, adakah anda berasa itu satu tekanan buat penyanyi tempatan?
Tidaklah, memang ada peserta luar tetapi mereka juga penyanyi jadi saya tidak melihat ia sebagai satu masalah. Malah, ini mungkin salah satu cara untuk menarik penonton luar menonton GV4 sekali gus kami semua mendapat publisiti yang lebih meluas.
Siapakah pesaing yang paling kuat bagi anda?
Secara jujur dan klise, semua peserta ada kelebihan masing-masing tetapi saya perlu akui, Aishah adalah nama yang paling digeruni. Beliau memiliki pengalaman yang jauh lebih lama dalam dunia seni suara, itu senjata utama yang sukar ditandingi. Semua orang boleh menyanyi dengan bagus, tetapi pengalaman payah untuk dimiliki.
Bagaimanakah dengan sokongan keluarga?
Alhamdulillah, mereka sangat gembira apabila mendapat tahu saya terpilih. Ibu bapa saya merupakan peminat setia rancangan ini. Isteri saya, Noor Baizura Mohd. Sabri sudah mula membayangkan kemenangan, tetapi saya sudah pesan awal-awal, ini ialah pertandingan jadi jangan terlalu berharap.