Tujuh bintang AF Megastar yang masih tinggal kini merebut slot ke peringkat akhir. Mereka ialah (berdiri kiri dari belakang) Syamel, Shahir, Amir Jahari, Amir, Bob, Marsha dan Idayu.
Malam ini, hanya tinggal tujuh bintang yang akan bertanding pada peringkat separuh akhir AF Megastar. Mereka ialah Idayu, Bob, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Syamel dan Amir.
Selepas Indah Ruhaila tersingkir pada minggu lalu, pastinya saingan pada malam ini akan menjadi lebih sengit dengan tema carta lagu serta duet bersama artis jemputan.
Berdasarkan persembahan minggu lalu, beberapa nama sudah dipetik untuk mengisi slot ke peringkat akhir. Antara nama yang meniti di bibir juri tetap, Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat ialah Idayu, Bob, Syamel dan Marsha.
Tidak ketinggalan, nama Amir Jahari secara tiba-tiba menjadi sinonim untuk mara lebih jauh selepas menghadirkan persembahan cemerlang pada minggu lalu dengan rangkaian lagu popular dendangan asal Datuk Zainal Abidin, Kau Di Hatiku dan Orak Erek.
“Bukan mudah untuk menyanyikan lagu secara mash up. Namun beberapa peserta berjaya menterjemahkannya dengan cukup baik seperti Bob dan Marsha.
“Terutamanya Bob. Saya kagum dengan kemampuan vokal serta cara penyampaiannya di atas pentas. Bagaimanapun, persaingan semakin sengit dan siapa yang bagus, akan mara ke peringkat akhir,” ujar Ramli MS usai konsert suku akhir AF Megastar, pada Ahad lalu.
Sementara itu, Syafinaz ketika diminta mengulas lanjut tentang persembahan peserta kegemaran Syamel yang sedikit goyah ketika mendendangkan lagu nyanyian asal Datuk Ahmad Jais berjudul Umpan Jinak Di Air Tenang dan Gelisah, beliau masih percaya dengan kemampuan penyanyi itu.
Syamel berdepan sedikit kesukaran mendendangkan lagu asli pada konsert suku akhir minggu lalu.
Terkejut
“Pada mulanya saya agak terkejut juga apabila Syamel berada dalam kedudukan tiga terbawah kerana mengikut markah yang saya berikan kepada Syamel dia bukan tersenarai dalam tiga penyanyi yang mendapat markah terendah.
“Namun, dalam masa yang sama saya juga tidak terkejut kerana saya akui persembahan Syamel pada minggu ini agak kurang daripada bintang-bintang lain yang memberikan persaingan lebih hebat.
“Selain undian, dia berada di kedudukan tiga terbawah kerana lagu asli bukan forte Syamel dalam nyanyian. Sebagai penyanyi, memang dia boleh menyanyi pelbagai genre tapi lagu asli bukan untuknya,” ujarnya.
Mencuri tumpuan dengan persembahan paling stabil minggu lalu, Amir Jahari tidak meletakkan sebarang harapan untuk mara ke pusingan separuh akhir apatah lagi ke peringkat akhir.
“Saya cuma ingin melakukan yang terbaik dan tidak sangka mampu mara sejauh ini. Saya mula sedar bahawa saya bukan sahaja perlu melahirkan persembahan sebagai seorang penyanyi tetapi juga seorang pemuzik.
“Sebab itu apabila menyanyi di atas pentas tanpa gitar, saya rasa seperti telanjang. Hampir sampai ke penghujung pertandingan, saya perlu tunjukkan potensi sebenar tanpa menoleh ke belakang,” ujar Amir.
AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, pukul 9 malam.