Raja Azura Muncul Semula Sekadar Meriahkan Dunia Seni


Raja Azura bakal berentap dalam Gegar Vaganza 4 yang akan bermula pada 29 Oktober ini.

Pengacara Raja Azura memberitahu dia menyertai pertandingan realiti Gegar Vaganza musim keempat hanyalah untuk memeriahkan industri seni sahaja.

Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku itu berkata, dia layak untuk menjadi peserta program nyanyian itu berikutan pernah mempunyai lagu berjudul Dan Bunga Berguguran dalam sebuah album yang diterbitkan pada 1998.

"Pengacara sudah, pelakon sudah, penyanyi pun sudah, penyampai radio pun sudah. Akhir sekali peserta sahaja belum. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya, yang tidak sokong pun terima kasih.

"Bagi netizen yang bertanya Kak Engku boleh nyanyi ke tidak, jawab saya bolehlah menyanyi untuk memeriahkan dan menghiburkan industri seni.


"Pada yang tidak tahu, lagu dari dalam album yang diterbitkan pada tahun 1998 berjudul Dan Bunga Berguguran. Doakan semua berjalan lancar dan mampu menghiburkan anda semua," katanya.

Pengacara itu menjawab beberapa soalan netizen yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi dalam program yang mengetengahkan penyanyi-penyanyi lama.

Dalam pada itu, Raja Azura berkata, dia menyedari kehebatan penyanyi-penyanyi lain yang akan bertanding dalam program berkenaan.

Dia enggan melayan komen negatif netizen dan menganggap perkara itu sebagai satu cabaran mengharungi pertandingan tersebut.

"Apa-apa pun tunggu sahaja konsert pertama nanti, kepada semua yang mesej saya dan beri komen negatif dan positif saya ambil ia sebagai cabaran.


Raja Azura pernah ada single popular berjudul Dan Bunga Berguguran.

"Kalau ada rezeki, adalah, kalau tiada saya nyanyi depan cermin dan dalam bilik air sahaja," ujarnya.

Selain Raja Azura, 11 lagi penyanyi yang turut bertanding ialah Liza Hanim, Elyana, Syura, dan Haida.

Manakala peserta lelaki pula Aqasha, Hazami, Ferhad, Tia (Jinbara), Lan (Kristal) dan Firman dari Indonesia.

Gegar Vaganza 4 bakal bersiaran secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur bermula 29 Oktober ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post