Fazura serius kembang kerjaya


Nur Fazura mengakui perjalanan kerjaya seninya di Indonesia kian sukses berkat usaha dan sokongan peminatnya.

Jelas Fazura, perkembangan positif yang dilalui kini nyata membuka ruang lebih besar buat pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin untuk mengatur langkah lebih jitu di dalam kerjaya seni.

“Insya-ALLAH mengikut perancangan, filem Ayat-Ayat Cinta 2 akan ditayangkan di negara ini Disember depan," kata Fazura yang juga peminat filem ini dan sudah banyak kali menontonnya lebih 10 tahun lepas.

“Berlakon dalam filem ini ibarat mimpi menjadi nyata. Inilah yang dinamakan rezeki, Alhamdulillah,” akui Fazura yang sebelum ini cukup sinonim menerusi drama, Hero Seorang Cinderella.

Menyifatkan perkara yang dilakukan kini adalah suatu misi serius, Fazura yang bakal muncul menerusi drama Wanita Terindah ini juga berterima kasih kepada produksi luar yang telah banyak memberi peluang.

“Sudah tentunya juga, bila terlibat di dalam lakonan di sana, saya juga ada bertemu dengan penggiat seni Indonesia. Seronok bila dapat berjumpa dengan keluarga baru,” kongsi Fazura ketika ditemui sejurus sesi ramah mesra bersama peminat dan pengguna produk penjagaan wajah, Nutox di pusat membeli-belah, One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Fazura, wajah untuk produk kecantikan Nutox juga mengakui bertuah kerana berpeluang bertemu peminat dan pengguna.

"Bangga dan gembira sebab dapat bersua dan isi masa bersama mereka.

“Sudah tentu, saya bersama jenama ini lebih lapan tahun dan Nutox merupakan produk terbaik dan cukup dekat dengan diri saya. Gembira bila ramai peminat yang bersama-sama memeriahkan sesi ramah mesra ini,” akhiri Fazura yang teruja kerana album sulungnya bakal dilancarkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post