Farawahida dan Alyah pertama kali bergandingan menerusi lagu Mengapa Harus Aku.
Dua nama ini, Datin Alyah dan Farawahida masing-masing sudah lebih sedekad bertapak dalam industri hiburan tanah air. Dalam tempoh itu juga, baik Alyah atau Farawahida, kedua-duanya mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Menariknya, kedua-dua mereka mempunyai keunikan tersendiri, lebih-lebih lagi dalam aspek vokal. Pada hari ini, siapa sangka dua nama itu kemudian bersatu suara menerusi karya berjudul Mengapa Harus Aku.
Minggu ini Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual Alyah dan Farawahida dalam satu sesi fotografi baru-baru ini untuk berkongsi mengenai cerita di sebalik kerjasama yang terjalin antara mereka berdua menerusi lagu edaran Warner Music Malaysia itu.
Alyah & Farawahida - Mengapa Harus Aku
SENSASI BINTANG: Boleh kongsikan mengenai single terbaharu kalian yang menjadi buah tangan baharu buat peminat yang selama ini menunggu?
DATIN ALYAH: Lagu terbaharu ini berjudul Mengapa Harus Aku. Lagu ini sebenarnya sudah menjalani proses rakaman di studio pada awal tahun. Apa yang saya boleh katakan, ia merupakan sebuah projek yang cepat dan ringkas.
FARAWAHIDA: Dalam masa dua minggu sahaja, segala-galanya sudah dapat disiapkan. Kami rekod lagu itu di sebuah studio di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Saya pun tidak perlu untuk datang ke studio buat kali kedua bagi proses touch-up.
Apakah istimewanya lagu Mengapa Harus Aku ini di mata kalian?
DATIN ALYAH: Lagu ini sebenarnya ditulis sendiri oleh saya. Saya menulis berdasarkan pemerhatian mengenai kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita sendiri. Ia lebih kepada cerita mengenai kisah kecurangan dalam satu-satu perhubungan.
FARAWAHIDA: Lagu ini saya anggap satu rezeki buat diri sendiri. Mana tidaknya, selepas lima tahun saya tidak keluar dengan lagu, ini kira buah tangan terbaharu buat peminat. Lagipun, saya sudah sembilan tahun bergerak sendiri. Sebelum ini, pernah muncul dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi, tetapi tidak berapa menjadi. Menariknya bukan hanya pada lirik, tetapi juga secara keseluruhan aspek termasuk susunan muzik.
Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk berkolaborasi dalam naskhah ini?
DATIN ALYAH: Kami pernah bersua sebelum ini, tetapi tidak pernah bekerja bersama-sama. Setakat bertegur sahaja. Sebenarnya, saya yang memilih Farawahida untuk bergandingan dalam lagu ini. Itu pun, selepas saya mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak. Saya melihat dia sebagai seorang yang cukup berbakat. Lagipun, saya sendiri tidak pernah berduet dengan mana-mana penyanyi wanita lain.
FARAWAHIDA: Apabila saya diberi peluang untuk berduet, memang berasa teruja sangat. Saya tidak ambil masa lama untuk bersetuju selepas mendengar material tersebut. Teruja untuk berduet itu mengatasi nak fikir material pula. Maklumlah, seperti yang sedia maklum, Alyah merupakan satu nama besar. Saya rasa bertuah apabila dalam ramai artis yang ada, beliau memilih saya.
Apakah kekuatan yang kalian lihat dalam diri pasangan duet?
DATIN ALYAH: Apabila saya membuat keputusan untuk berduet dengan penyanyi wanita, saya mahu carikan sesuatu yang lain daripada yang lain. Atas sebab itu saya memilih Farawahida kerana dia mempunyai ton suara yang berbeza. Rasanya ramai yang tahu dia mempunyai signatur sendiri dengan suaranya. Jadi, apabila orang dengar, orang sudah kenal itu suara Farawahida. Kalau sama nanti sukar, jadi kena cari yang berlawanan.
FARAWAHIDA: Persamaan kami adalah masing-masing lahir daripada program Radio Televisyen Malaysia (RTM). Beliau menerusi Bintang Hiburan Minggu Ini (MHI), manakala saya Bintang RTM. Dia lebih senior daripada saya. Kekuatannya, sudah pasti terletak pada kemantapan vokal beliau. Cumanya, sebelum ini saya pernah berduet dengan penyanyi wanita lain iaitu Endang Estorina.
Apakah antara cabaran yang kalian hadapi sewaktu menjayakan single Mengapa Harus Aku ini?
DATIN ALYAH: Ketika proses rakaman lagu, keadaan kesihatan Farawahida tidak begitu baik apabila dia demam pada masa itu. Bagaimanapun, itu tidak menjadi penghalang untuk kita teruskan jua.
FARAWAHIDA: Sebelum masuk ke studio, kami memang tidak tahu lagi bahagian masing-masing. Tambahan pula, saya pun turut selesema. Cuma, bahagian vokal itu, tidak berapa nak risau kerana kita ada komposer Sharon Paul yang memang memantau aspek vokal dan teknikal. Selain itu, penggambaran muzik video pun kami jalani pada bulan puasa yang lalu sebelum dilancarkan pada minggu lalu.
Sejauh mana keyakinan kalian terhadap karya ini memandangkan pendengar kini cenderung untuk tertarik kepada naskhah yang tular di media sosial?
DATIN ALYAH: Sebagai orang yang duduk dalam industri ini, adakalanya saya pun bimbang dengan situasi begini apabila orang suka perkara yang tular termasuk lagu. Kualiti belakang kira, yang penting tular. Apa pun, saya percaya dengan rezeki. Saya melihat keadaan ini seperti berputar mengikut masa, namun nak tunggu kembali semula itu tidak tahu bila. Saya akan kekal sebegini dan perjuangkan cara saya sendiri.
FARAWAHIDA: Sekarang ini zaman teknologi. Semua perkara orang cuba untuk popularkan dengan tular. Pada saya ini semua terpulang kepada rezeki. Adakalanya, individu itu tak sangka pun boleh ‘meletup’. Apa yang saya lihat, mereka yang muncul daripada platform ini (media sosial) bukan tidak berkualiti, ada juga yang boleh menyanyi bagus secara live.
Mungkin kalian boleh kongsikan serba sedikit mengenai perkembangan lain kepada peminat di luar sana?
DATIN ALYAH: Selain lagu ini, saya juga akan mempromosikan single berjudul Engkau Milikku yang merupakan lagu runut bunyi bagi filem Kau Takdirku dan Jutaan Purnama bagi drama bersiri Red Velvet.
FARAWAHIDA: Saya merancang untuk keluar dengan single solo pula selepas lagu ini. Sekarang ini dalam proses untuk mendapatkan material dan mendengar beberapa naskhah yang diberikan. Apabila bergerak secara bersendirian, saya jadi lebih terperinci dan ambil kira banyak aspek kerana semuanya ditanggung sendiri.