Graduan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini bakal terlibat dalam teater Ola Bola The Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Populariti bukan satu jaminan dalam kerjaya seni yang baru hendak dilayari. Paling utama adalah minat dan kesanggupan menempuh perjalanan yang panjang dan barangkali bergelora.
Biarpun sudah mencipta nama menerusi filem Ola Bola, ironinya nama Luqman Hafidz jarang diuar-uarkan dan kelibatnya juga tidak begitu menyerlah selepas mencipta kejayaan hasil daripada filem pecah panggung yang meraih kutipan lebih RM16 juta itu.
Sedangkan usaha gigih anak sulung daripada empat beradik itu mengalirkan bakat menerusi watak pemain bola sepak legenda bernama Ali dalam filem pecah panggung itu cukup membanggakan.
“Saya tidak mempunyai kuasa untuk mengekalkan populariti yang diraih selepas berlakon dalam filem Ola Bola. Hakikatnya juga, saya tidak terlalu mengejar populariti. Saya percaya jika terlalu mengejar populariti ia tidak baik untuk perjalanan seni saya pada masa depan,” luahnya kepada Sensasi Bintang.
Rezeki dan peluang itu tertulis sebagai ketentuan Allah. Terkadang ia hadir di luar jangkaan dan buat yang menerima rasa bahagia itu, sudah tentu ia sukar dilafazkan dengan kata-kata.
Bagi Luqman, paling utama untuk dicarinya ketika ini ialah ilmu dan pengalaman dalam bidang lakonan. Maka, ia sekali gus dapat menaikkan profilnya sebagai pelakon berilmu dan bukan bersandar pada populariti semata-mata.
“Saya berharap agar ilmu lakonan yang diperolehi dapat dipraktikkan, seterusnya dapat memberikan persembahan lakonan yang baik sama ada untuk drama, filem mahupun teater,” ujarnya yang bakal berlakon di pentas teater buat pertama kalinya menerusi teater Ola Bola The Musical.
Walaupun nampak mudah pada pandangan mata tatkala menerima tawaran berlakon watak yang sama pernah dilakonkannya menerusi filem Ola Bola, namun hakikatnya Luqman juga mempunyai kesukaran sendiri.
“Saya belum pernah berlakon di mana-mana pementasan teater. Ini adalah teater pertama saya, bahkan terbesar dalam hidup saya kerana ia akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur di bawah produksi berkualiti iaitu Enfiniti.
“Maka, ketika ini ada tekanan yang dirasai. Masakan tidak, saya juga perlu menari dan menyanyi buat pertama kalinya menerusi teater tersebut.
“Bagaimanapun, saya akan memaksa diri memberikan yang terbaik untuk teater yang bakal dipentaskan selama sebulan dari 22 Februari 2018 hingga 22 Mac 2018 itu,” jelasnya mengenai teater kerjasama Astro Shaw, Golden Screen Cinemas dan Multimedia Entertainment berkenaan.
Pada usia 26 tahun, pemilik nama sebenar Muhd. Luqman Hafidz Mohd. Fauzi itu terus menghitung nasibnya dalam bidang seni. Dia juga tidak mendabik dada dan turut mempertaruhkan bakatnya menerusi beberapa rangkaian drama.
“Saya tidak memilih untuk berlakon di dalam filem atau di pentas teater semata-mata. Namun, saya suka bermain dengan watak yang besar. Sebagai contoh, watak antagonis yang mana memberi banyak kebebasan dan kepuasan sebagai pelakon untuk mengolah serta bereksperimen dengan watak tersebut.
“Selain teater Ola Bola The Musical, saya juga berlakon dalam filem Busker The Movie yang bakal ditayangkan pada Januari 2008. Pada masa sama, ketika ini drama lakonan saya iaitu Perempuan Paling Bahagia sedang bersiaran di Astro Oasis dan pada 25 Oktober nanti sebuah lagi drama lakonan saya iaitu Saka Sister akan disiarkan di Astro Warna,” kongsinya.