Siapa sangka aktres ini bukan saja pandai memasak, malahan memiliki sarjana dalam bidang undang-undang.
Kehadiran wanita bernama Sangeeta Krishnasamy dalam industri perfileman tanah air kini tidak lagi kerdil seumpama saiz nanobyte dalam simpanan data.
Segala-galanya hasil penangan filem Adiwiraku yang akhirnya memartabatkan Sangeeta sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 baru-baru ini.
Biar namanya baru saja dikenali khalayak waima telah menyarung jersi sang pelakon drama dan filem Tamil sejak enam tahun sudah, tidak pernah sekelumit ralat berjidar yang berbekas di hati aktres itu.
Tidak perlu hingar rawak seantero dunia, impak setiap watak yang dipotretkan lebih dijadikan keutamaan buat Sangeeta.
“Saya terasa seolah-olah masih bermimpi. Adakah apa yang berlaku ini semuanya benar? Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan untuk berdepan industri perfileman nasional,” ungkapnya membuka bicara kepada Sensasi Bintang.
Mengaku dirinya teruja kerana tidak pernah mendapat publisiti dan sokongan kuat media sebelum ini, Sangeeta percaya apa jua aturan terbentang selepas ini wajar disulami dengan usaha yang lebih keras, selain menumpukan perhatian terutamanya lebih selektif dalam pemilihan watak dan skrip.
“Ia perlu bagi menjaga jenama sebagai seorang pelakon, selain mendambakan watak yang diinspirasikan daripada kisah benar serta berupaya mencetuskan impak perubahan kepada masyarakat,” ceritanya lagi.
Melangkah masuk ke dunia industri perfileman nasional, Sangeeta sudah maklum dengan apa yang menantinya. Gosip, kontroversi dan kisah peribadi sememangnya menjadi kudap-kudapan netizen terhadap golongan selebriti.
“Artis juga manusia, jadi perlu pandai mengendalikan segala yang berbangkit. Ia berlaku sebab peminat sayangkan kita, sementelahan pula golongan artis memang sentiasa cuba dinilai oleh masyarakat.
“Saya harap boleh menjadi contoh, namun sebagai manusia biasa pasti tidak boleh lari daripada membuat kesilapan,” getusnya.
Berbanding untuk bertelagah dengan haters, anak kedua daripada empat adik-beradik itu lebih selesa berdiplomasi setiap kali berdepan komen remeh di laman sosial.
“Saya minta maaf jika ada mengguriskan hati haters, bukan semua orang gembira kerana berdepan cabaran tersendiri.
“Kalau orang marah kita, mana mungkin kita mahu marah mereka semula. Jika tidak, apa bezanya kita dengan mereka,” ujarnya.