Lima bulan memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan aksesori wanita tidak menghalang pelakon Cik Puan Juliana Evans untuk terus aktif dalam industri seni.
Bercerita tentang perkara tersebut, Juliana atau Juliana Sophie Johari Evans menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak akan meninggalkan dunia lakonan memandangkan itu adalah minat utamanya.
Apatah lagi mendapat sokongan daripada suami tercinta, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj membuatkan wanita berusia 28 tahun ini yakin dengan keputusannya.
Bagaimanapun pelakon filem Hantu Bonceng itu tetap dengan pendiriannya untuk selektif dalam menerima sesuatu tawaran.
“Saya tidak menjadikan rumah tangga dan perniagaan sebagai alasan untuk saya meninggalkan dunia lakonan. Kerjaya ini merupakan minat saya.
“Walaupun tidak terlalu sibuk memenuhi tawaran berlakon namun tidak terlintas di fikiran untuk saya berhenti dari bidang ini.
“Saya sangat bersyukur kerana mendapat sokongan suami dalam meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
“Pun begitu saya perlu peka dalam memilih watak bagi menjaga nama baik keluarga kami.
“Sebagai menantu, saya pastinya tidak mahu melakukan sesuatu yang tidak disukai keluarga suami.
“Jadi setiap kali mendapat tawaran, saya bertanya dan merujuk kepada suami terlebih dahulu. Jika dia memberi persetujuan dan keizinan, saya akan menerima tawaran tersebut.
“Sejak dahulu lagi saya selektif dalam menerima tawaran lakonan jadi apabila perlu mendapat keizinan dan sokongan suami, tidak menjadi masalah kepada saya,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran drama mini, Mata Cinta baru-baru ini.
Mata Cinta merupakan drama romantik komedi yang diinspirasi daripada drama Korea. Menurut Juliana, drama ini agak berbeza dengan yang pernah dilakonkan sebelum ini kerana merupakan drama mini dengan setiap episod hanya berdurasi tujuh minit.
Drama yang disiarkan melalui laman sesawang www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak ini amat sesuai dengan kehendak penonton masa kini yang banyak menggunakan telefon pintar untuk menonton video tanpa perlu menghabiskan masa panjang.
“Watak saya dalam drama ini sebagai Matahari. Sangat berbeza dengan sifat sebenar saya kerana selain daripada suka menjerit, Matahari juga seorang gadis yang ‘gila-gila’.
“Selain seronok dapat bekerjasama dengan pelakon baharu yang berbakat, drama ini turut memberi pengalaman baharu kepada saya kerana berbeza dari segi durasi tapi masih menyajikan jalan cerita menarik kepada penonton,” katanya.
Selain Juliana, Mata Cinta turut membariskan pelakon seperti Sasha Saidin, Dynas Mokhtar selain pendatang baharu, Julian Buteau, Syamin Farid, Aush Abdul Wahid dan Adery Chin.
Proses kenal hati
Berkongsi kisah kebahagiaan rumah tangga yang sedang dibina, Juliana mengakui dia dan suami masih lagi berada dalam fasa berbulan madu dan sedang menikmati hidup berdua.
Melancong ke negara luar menjadi aktiviti yang paling digemari pasangan sama cantik sama padan ini.
Menurut Juliana, melancong bukan sahaja dapat mengeratkan lagi cinta mereka malah memberi peluang untuk belajar mengenal diri masing-masing dengan lebih mendalam.
“Bagi saya, tempoh setahun dua ini begitu sesuai untuk kami banyak meluangkan masa untuk berbulan madu.
“Sebelum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata, saya dan suami mengambil peluang ini untuk kerap bercuti dan melancong apabila ada masa terluang.
“Dengan cara ini, kami dapat mengenali diri masing-masing dan mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Apabila bercuti berdua juga, saya dapat melihat sama ada dia boleh menerima atau tidak cara saya.
“Hidup berumah tangga bukanlah tentang perasaan cinta terhadap pasangan semata-mata sebaliknya melibatkan banyak perkara.
“Sebagai isteri saya banyak belajar tentang pengorbanan, tolak ansur dan saling mempercayai.
“Apabila sudah berkahwin juga barulah kita akan nampak sisi terbaik dan terburuk pasangan.
“Sebab itu, kami suka bercuti kerana kami dapat belajar tentang diri masing-masing,” jelas Juliana yang gemar bercuti di pulau.