To’ki tidak meletakkan harapan tinggi terhadap janji-janji manis berhubung soal karier yang ditaburkan beberapa pihak kepadanya.
Tidak berapa lama selepas didakwa hidup melarat dan kisah tersebut tular di laman sosial sekitar Mei lalu, nama penyanyi To’ki kembali panas dalam kalangan peminat dunia hiburan tanah air.
Sekian lama menyepikan diri, Tok’ki juga mencuri perhatian dan ditaburi janji manis banyak pihak.
Dalam sekelip mata juga nasib penyanyi berusia 50 tahun itu mengundang simpati ramai.
Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Hampa itu sama sekali tidak pernah meletakkan harapan terhadap janji-janji yang ditaburkan beberapa pihak kepadanya.
Pemilik nama sebenar Mohd. Zaki Mansur itu sebaliknya berkata, dia sentiasa berlapang dada, andai ada pihak yang sudi membantunya membina semula karier nyanyian seperti sediakala.
Terbaharu, Tok’ki membuktikan bahawa hayat seninya belum berkubur menerusi kemunculan single baharu berjudul Bayyati.
Ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan baru-baru ini, pelantun lagu Biasan itu turut berkongsi perkembangan terkininya.
KOSMO!: Tahniah To’ki di atas pelancaran single baharu. Boleh jelaskan serba sedikit tentang lagu berkenaan?
TO’KI: Alhamdulillah, lagu ini dilancarkan selepas mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan. Segala proses rakaman dilakukan di Studio Luncai Emas milik Datuk M. Nasir.
Lagu Bayyati membawa maksud salah satu daripada bacaan taranum al-Quran. Konsep lagu ini masih mengekalkan genre muzik yang saya bawa seperti dulu-dulu.
Biarpun terpaksa bersaing dengan genre muzik pilihan masa kini seperti balada 1990-an tetapi saya tidak boleh tipu peminat. Inilah jiwa saya. Jiwa Melayu saya.
Selepas Bayyati, adakah anda sudah ada material lain untuk diketengahkan kepada peminat?
Insya-Allah, dalam masa tiga bulan dari sekarang saya akan mengeluarkan sebuah lagi lagu baharu berjudul Pendamping Jiwa. Dalam lagu itu, saya akan selitkan dengan sedikit elemen pop rock dan slow rock.
Pelancaran single Bayyati juga seperti kembali memberi sinar dan semangat baharu terhadap karier dan hidup anda. Setinggi mana harapan terhadap lagu berkenaan?
Saya buat muzik bukan untuk main-main atau lagu pakai buang. Sudah lebih 30 tahun dalam industri, saya faham benar akan sepak terajang dunia hiburan.
Apa yang diperjuangkan dalam industri hanyalah satu iaitu mahu buat muzik untuk generasi anak dan cucu pada masa hadapan.
Saya mahu mereka kenal dan tahu muzik Melayu yang saya bawa. Apa yang lebih penting, saya mengharapkan sokongan peminat terhadap saya dan rakan artis lain dengan cara memuat turun karya kami menggunakan saluran yang betul.
Baiklah, beralih kepada perkembangan kehidupan sekarang selepas dakwaan mengatakan anda hidup melarat menjadi tular?
Saya masih okey macam biasa. Secara jujurnya, memang ada pihak yang mahu membantu tetapi sebenarnya mereka ada udang di sebalik batu. Di sebalik niat dan kata-kata ingin memberi pertolongan, sebenarnya mereka ada kepentingan tertentu yang saya tidak ketahui.
Politik berlaku di mana-mana tetapi harus diingatkan bahawa kisah saya dijadikan bahan tular sebelum ini berpunca daripada kesempitan hidup, dan bukannya saya dijumpai dalam keadaan gelandangan.
Saya masih hidup sebagai seorang pemuzik walaupun studio saya pernah dirompak pada tahun 2014 dan sekarang tidak mempunyai kelengkapan alat muzik untuk menghasilkan lagu.
Bagaimanakah dengan perancangan karier anda selepas ini?
Memang ada orang berjanji dengan macam-macam perancangan. Namun jauh di sudut hati, saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk mereka menunaikannya.
Saya tidak kisah orang mahu berjanji bulan dan bintang sekali pun, kerana mereka yang berjanji, bukannya saya yang minta.