Amyra Rosli dan Amar Baharin teruja tunggu kelahiran bayi baru


Menurut Amyra dan Amar, mereka sudah mempunyai beberapa pilihan nama anak yang bakal lahir, namun masih belum membuat pilihan muktamad. Sedikit petunjuk, pangkal nama anak sulung mereka bermula dengan huruf A.

Buat kebanyakan pasangan suami isteri, selain melayari bahtera perkahwinan, suatu perkara yang paling ditunggu-tunggu adalah apabila tugas dalam urusan rumah tangga bercambah kepada tanggungjawab besar baharu iaitu menjadi ibu dan bapa.

Fasa tersebut juga sedang dilalui pasangan selebriti popular, Amyra Rosli dan Amar Baharin yang sedang menunggu saat penuh bermakna dalam melengkapkan istana bahagia mereka dengan sebuah keluarga.

Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 26, kini sedang sarat hamil 33 minggu. Pada wajahnya sudah terserlah cahaya teruja untuk menyandang tugas sebagai seorang ibu apabila dijangka melahirkan bayi lelaki sekitar hujung Oktober nanti.

“Alhamdulillah, keadaan saya sekarang baik-baik sahaja. Kehamilan pada trimester pertama paling mencabar apabila saya mengalami alahan dan turun berat badan. Risau juga pada waktu itu.

“Apabila masuk trimester kedua dan ketiga, keadaan menjadi semakin baik. Berat badan saya pun sekarang sudah normal bagi seorang ibu yang mengandung iaitu 53 kilogram,” ujar Amyra ketika ditemui Kosmo! pada majlis sempena menyambut kelahiran bayinya di Happykiddo, Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buat suaminya, Amar, tiada kata dapat digambarkan apabila membayangkan dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi, seorang zuriat sendiri akan berada dalam pangkuannya.

“Sebenarnya, kami tidak kisah lelaki atau perempuan asalkan anak kami nanti dilahirkan dengan selamat dan sempurna. Saya punya teruja sampaikan kalau nampak stroller (kereta dorong), saya akan beli. Sekarang sudah ada lima di rumah.

“Saya dikawal oleh Amyra supaya tidak berlebih-lebih dalam soal berbelanja barangan anak. Alhamdulillah, banyak juga tajaan daripada beberapa pihak yang saya sifatkan sebagai rezeki anak,” kata Amar.

Berbicara lanjut, Amyra yang cukup popular menerusi drama Isteri Tuan Ihsan itu berkata, sepanjang proses kehamilan dia tidak mengidam perkara atau makanan yang bukan-bukan.

“Ada bakal ibu yang mengidam perkara bukan-bukan seperti makan sabun dan sebagainya. Alhamdulillah, saya berjaya kawal diri dan menguatkan mental agar tidak menyusahkan orang sekeliling.

“Kalau mengidam pun mungkin makan durian sahaja. Saya tahu ia tidak bagus untuk ibu mengandung. Kalau dapat rasa sedikit pun sudah memadai. Saya tidak mahu merisikokan kehamilan bayi pertama ini,” kongsi Amyra.

Persediaan

Kongsi Amyra lagi, sejak hamil dia lebih gemar menghabiskan masa di luar rumah dan bersantai dengan cara melakukan senaman untuk ibu mengandung sambil diawasi suami.

“Masa mula-mula mengandung, asyik tidur sahaja. Apabila perut semakin membesar, saya rasa tidak selamat duduk di rumah dan lebih suka keluar rumah melakukan apa-apa aktiviti.

“Biarpun sarat hamil, saya juga melakukan senaman yang diawasi oleh suami sendiri. Sebelum jadi pelakon, Amar ada pernah berpengalaman sebagai pelatih kecergasan. Jadi, saya melakukan senaman yang sesuai untuk ibu mengandung seperti dinasihatkan doktor,” jelasnya lagi.

Ditanya tentang perancangan selepas bersalin, Amyra akan berpantang selama 44 hari dan bercuti sehingga benar-benar sudah bersedia untuk kembali bekerja.

“Semestinya, saya akan berpantang selama 44 hari dan bercuti seperti dinasihatkan ibu.

“Gementar juga sebenarnya untuk bersalin kerana saya tidak sukakan keadaan di hospital, namun pada masa yang sama, teruja sebab akhirnya saya akan menjadi seorang ibu.

“Banyak perkara yang saya belajar semasa hamil. Pada usia kehamilan mencecah enam bulan dan apabila melakukan pemeriksaan jantina, saya tidak terkejut akan mendapat seorang anak lelaki kerana sering bermimpi tentang hal itu.

“Tambah lagi, orang tua-tua selalu berkata kalau perut tajam ke depan, memang anak lelaki,” terang Amyra.

Sambut bayi

Dijadualkan bersalin pada tanggal 25 Oktober di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Amar ketika diusik tentang kesediaan dirinya untuk menemani Amyra di dalam wad bersalin tersenyum dan memberikan jawapan yang membuatkan ramai tertawa.

“Kalau ikut hati, memang ingin berada di dalam wad bersalin. Niatnya, saya memang mahu sambut bayi dan potong tali pusat sendiri tetapi kalau saya pengsan nanti, tidak tahulah macam mana,” ujarnya secara berseloroh.

Menjadi lumrah pasangan selebriti, secara tidak langsung anak mereka pasti akan terkena percikan cahaya glamor walau sekuat mana pun mereka cuba mengelak.

Akui Amyra dan Amar, mereka sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan akan bersikap terbuka dengan pandangan orang ramai.

“Saya sedar apabila menjadi artis, kami memang tidak akan terlepas daripada kritikan dan pandangan orang ramai. Kami akan membesarkan anak nanti dengan cara kami sendiri.

“Kalau ditanya tentang privasi anak, sebelum anak dilahirkan pun sudah wujudkan akaun Instagram untuknya. Rasanya, benda yang baik tiada sebab untuk dirahsiakan. Selagi tidak mendatangkan keburukan, kami sedia berkongsi perihal anak dengan orang ramai,” getus Amyra.

Menggulung perbualan, Amyra dan Amar menzahirkan sikap optimis dan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada cahaya mata lelaki yang bakal dilahirkan.

“Kami bersyukur kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga. Hari demi hari, banyak perkara baharu yang kami belajar khususnya tentang persediaan menjadi ibu bapa.

“Semoga segala urusan nanti dipermudahkan. Amin,” ujar Amar menutup perbualan.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post